SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

12 June 2008

Kelantan ikut kerajaan pusat bayar gaji dua kali sebulan

KOTA BAHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan mengikuti langkah kerajaan pusat membayar gaji dua kali sebulan kepada kakitangan awam kerana Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata ia sesuatu yang akan banyak membantu rakyat.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perkara itu semalam, Nik Aziz memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa pendekatan itu akan memudahkan kakitangan awam mengurus dengan lebih baik perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga bahan api.

Beliau tidak menyatakan sama ada pembayaran gaji dua kali sebulan itu akan bermula Ogos ini seperti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pusat.

Bagaimanapun Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, menyifatkan kerajaan pusat sebagai tidak bijak dalam menangani isu kenaikan harga minyak kerana, sebagai sebuah negara pengeluar minyak, Malaysia masih mempunyai cara lain untuk mengelak daripada turut merasai kesan kenaikan harga minyak global tanpa perlu menaikkan harga petrol dan diesel.

“Saya difahamkan kita ada rizab bekalan minyak untuk 20 tahun dan rizab gas asli untuk 35 tahun. Jadi kenapa tidak guna bahan lebih murah seperti gas asli kenderaan (NGV). Selain murah, gas ini juga boleh kurangkan pencemaran udara. Kenapa buat tidak peduli dengan perkara ini dan (sebaliknya) ambil jalan mudah naikkan harga minyak dan biarkan rakyat menderita,” katanya.
.
Nik Aziz mencadangkan agar kerajaan pusat memperbanyakkan stesen minyak yang menjual NGV di seluruh negara. “Setahu saya tak banyak kos yang perlu untuk kenderaan bertukar kepada NGV, cuma perlu tambah balang (tangki) untuk isi gas,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak dalam jumlah yang banyak sekaligus amat membebankan rakyat terutama yang berpendapatan sederhana dan rendah.

“Tak kena gaya, makin banyak kes rompak, curi dan peminta sedekah di Malaysia nanti,” katanya.

Pada 7 Jun lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol dinaikkan 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter, dan harga diesel pula dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58.

Mengenai ura-ura kononnya beliau akan meletak jawatan sekembalinya daripada mengerjakan umrah pada 9 Jun lalu, Nik Aziz sekali lagi menafikannya dengan berkata bahawa isu itu tidak timbul kerana beliau masih melaksanakan tanggungjawab dengan baik untuk negeri dan juga parti.

- Bernama