SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

31 October 2008

Perhimpunan agung Umno 24-28 Mac

Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini telah menetapkan perhimpunan agung Umno akan diadakan dari 24 hingga 28 Mac depan.

Perhimpunan kali ini juga bakal menyaksikan pertandingan jawatan tertinggi Umno.Keputusan itu sekaligus menamatkan spekulasi bahawa tarikh pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Umno akan dipercepatkan kepada Disember.

Bercakap dalan sidang akhbar selepas mesyuarat MT, PresidenUmno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ekoran keputusan tersebut, bahagian Umno yang telah bermesyuarat, diminta menghantar laporan kepada ibupejabat Umno.

Menurutnya, mesyuarat MT hari ini juga membincangkan tentang perbuatan melobi untuk merayu undi bagi calon-calon yang bertanding jawatan tertinggi parti kali ini yang didapati berleluasa sekarang.

Berikutan itu, katanya, MT akan mengeluarkan arahan mengenai aktivit pelobi dan perayu undi yang mendorong perwakilan mengundi calon mereka dan jangan calon lain.

"Gelaja ini berleluasa berlaku di hotel-hotel dan tempat-tempat pertemuan," katanya.

Sehubungan itu, Abdullah memberi amaran kepada mereka yang terbabit supaya menghentikan segera perbuatan tersebut sebelum mereka dikesan oleh pemantau parti.

Tegah guna jentera k'jaan

Beliau juga meminta calon-calon yang bertanding supaya jangan menggunakan jentera kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Abdullah tidak menyebut calon-calon yang dimaksudkan tetapi dipercayai ia dituju kepada mereka dari kalangan menteri dan timbalan menteri yang bertanding kali ini.

Beliau juga kesal dengan penyebaran SMS kempen yang berniat jahat dan menasihatkan mereka yang terbabit supaya menghentikan perbuatan tersebut.

Sebaliknya, beliau mahu mereka merujuk semula dan mematuhi tataetika ahli Umno yang telah ditetapkan.

Abdullah memberi amaran bahawa mereka yang didapati terbabit, akan dihadapkan kepada lembaga disiplin Umno.

Perdana menteri juga berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan kedudukan ekonomi negara sekarang.

Beliau berharap keadaan itu tidak sampai melemahkan ekonomi negara.

Beliau berkata, Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib akan mengumumkan langkah-langkah untuk menghadapi tekanan yang akan ditambil sewaktu sesi penggulungan bajet di Dewan Rakyat pada 4 November depan.

"Tidak payah tanyalah sekarang apa yang hendak dicerita," katanya.

"Harapan kita dengan pengumuman itu, insya-Allah kita harap rakyat akan lebih yakin untuk sama-sama menghadapi cabaran dan masalah yang mungkin timbul akibat daripada kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang ini," tambahnya.

Serah kuasa

Menurutnya, Najib yang juga timbalan perdana menteri akan membuat pengumuman tersebut supaya rakyat lebih yakin dengan langkah kerajaan dalam menghadap krisis ekonomi.

Abdullah juga berkata, ibupejabat Umno akan mengatur program kempen bagi calon-calon yang bertanding bagi merebut jawatan tinggi parti kali ini.

"Majlis tertinggi juga membuat keputusan untuk membolehkan calon-calon bertanding di peringkat Majlis Tertinggi, mereka akan dibenarkan bertemu dengan ahli-ahli parti. Tetapi ini akan dibuat, disusun... Ibupejabat akan aturkan.

"Setiap negeri, siapa juga akan menjadi calon, bertanding dalam jawatan-jawatan majlis tertinggi bolehlah pergi ke majlis-majlis berkenaan, mengambil kesempatan untuk bertemu (ahli-ahli parti).

"Tidak ada acara-acara lain untuk dijalankan. Jadi dengan cara ini saya percaya mereka dapat bertemu dengan ahli-ahli Umno di negeri-negeri tertentu," katanya.

Ditanya mengenai tempoh kempen yang lama, beliau berkata, garispanduan telah dikeluarkan dan panduan telah diberikan.

Abdulah turut ditanya mengenai kenyataan yang pernah dibuatnya sewaktu melawat Sabah bahawa Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam boleh bertanding Timbalan Presiden UMNO.

Menurut perdana menteri, beliau hanya mahu menjelaskan bahawa sesiapa juga berhak untuk bertanding.

"Kamu mahu bertanding, kamu bertandinglah. Kalau orang tanya bagaimana beliau (Mohd Ali) hendak bertanding. Biarlah dia bertanding, apa salahnya. Itu hanya menyuarakan seseorang itu ada hak untuk bertanding. Itu saja," katanya.

Mohd Ali telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno. Sehingga ini beliau mendapatkan 23 undi dan belum layak bertanding. Kelayakan minima bagi calon timbalan presiden ialah 39 pencalonan.

Setakat ini, Tan Sri Muhyiddin telah layak bertanding selepas memperolehi 65 pencalonan. Manakala seorang lagi calon, Tan Sri Muhammad Muhd Taib baru mendapat 17 pencalonan.

Ditanya sama ada kenyataan beliau di Sabah itu bermaksud meyokong Mohd Ali kerana Muhyiddin dilihat bersifat lantang dalam beberapa perkara, Abdullah secara berseloroh menjawab: "(Tan Sri) Muhyiddn kempen le tu..."

Beliau ditanya bila akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Selepas mesyuarat (perhimpunan agung) bagi saya beberapa hari untuk selesai perkara...," katanya.

.

Mahkamah bebaskan Razak Baginda

oleh malaysiakini.com

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan penganalisa politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.

Pihak pendakwa dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak itu.

Razak diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong. Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar manakala Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh pula bertindak peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.

Pihak mendakwa selesai berhujah pada 23 Jun lalu selepas mahkamah mendengar keterangan daripada 84 saksi selam 151 hari. Abdul Razak yang jelas kelihatan gembira dengan keputusan tersebut, meninggalkan mahkamah dengan ditemani isteri dan anak perempuannya pada kira-kira jam 10.10 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan yang menunggunya, dan hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah".

Sementara itu, Bernama melaporkan Keluarga Abdul Razak dicengkam emosi selepas Zaki memutuskan yang beliau mendapati tiada kes prima facie terhadap pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu.

"Prima facie" dalam bahasa Latin merujuk kepada kes yang mempunyai bukti yang cukup dan pada kadar minimum yang diperlukan untuk membolehkannya diteruskan dalam proses kehakiman.

Zaki berkata seluruh isi kandungan afidavit Abdul Razak mengandungi kenyataan pembuktian tidak bersalah yang patut diterima dan diberi pertimbangan sewajarnya.

Kenyataan pembuktian tidak bersalah ialah kenyataan yang dibuat oleh defendan atau tertuduh yang cenderung membebaskan defendan/tertuduh daripada kesalahan seperti pertuduhan, atau kenyataan yang cenderung memberikan justifikasi atau alasan bagi tindakan atau kehadirannya.

Abdul Razak yang mengenakan kemeja berjalur biru muda, pada awalnya kelihatan seperti tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh hakim namun riak wajahnya bertukar kepada lega dan tersenyum lebar.

Isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan, anaknya Rowena dan anggota keluarganya menitiskan air mata gembira dan kesemua mereka bergegas memeluk Abdul Razak sebaik sahaja keputusan itu diumumkan.

Abdul Razak enggan memberikan sebarang komen ketika ditanya oleh media mengenai perasaannya berhubung pembebasannya itu. Beliau beredar dari premis mahkamah di tingkat empat bangunan itu melalui tangga belakang.

Sementara Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Pertimbangan sewajarnya akan diberikan kepada tertuduh yang memilih untuk memberikan keterangan bersumpah, di mana tertuduh boleh diperiksa balas oleh pendakwaan. Keterangan yang diberikan dalam kandang tertuduh pula tidak akan diperiksa balas oleh pendakwaan.

Jika tertuduh memilih berdiam diri, tertuduh akan disabitkan dan dihukum mengikut penalti yang ditetapkan dalam seksyen yang tertuduh didakwa. Dalam kes ini, hukumannya ialah mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Zaki menerima kenyataan yang diberikan oleh Azilah dan Sirul Azhar kepada polis sebagai sebahagian keterangan. Azilah memberikan kenyataan yang mendedahkan lokasi tempat Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan manakala Sirul Azhar mendedahkan kepada polis tempat barangan kemas milik Altantuya disembunyikan.

"Saya berpuas hati bahawa wujud kes prima facie terhadap tertuduh pertama (Azilah) dan tertuduh kedua (Sirul Azhar) untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka. Saya dengan ini memutuskan tertuduh pertama dan kedua untuk membela diri," katanya.

Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masing-masing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Rusia di National University of Mongolia.

Pembunuhannya digambarkan sebagai amat kejam kerana mayatnya diletupkan dengan bahan letupan. Pakar forensik menemui cebisan dagingnya bertaburan di kawasan di Puncak Alam di Shah Alam.

Kes itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.

Mahkamah telah mengambil masa selama 151 hari bermula 4 Jun tahun lepas untuk mendengar keterangan daripada 84 saksi pendakwaan sebelum menangguhkan keputusan itu sehingga hari ini selepas kes pendakwaan ditutup pada 23 Jun lepas.

Hakim Zaki mengambil masa kira-kira 25 minit dari 9.40 pagi untuk menyampaikan penghakimannya. Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding kira-kira 15 minit bagi memutuskan tarikh bagi Azilah dan Sirul Azhar membela diri.

Apabila prosiding disambung semula, Hakim mahu mendengar pembelaan diri oleh tertuduh petang ini tetapi menetapkan 10 November selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Azilah, Datuk Hazman Ahmad, dan peguam bela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin.

Hazman memaklumkan kepada mahkamah yang beliau mungkin akan memanggil enam hingga tujuh saksi manakala Kamarul Hisham berkata beliau akan memanggil penulis blog Raja Petra Kamarudin dan memanggil semula penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk memberikan keterangan.

Raja Petra sedang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau telah membuat akuan bersumpah mengaitkan seorang ahli politik kanan dan isterinya dalam pembunuhan itu.

Balasubramaniam juga membuat akuan bersumpah serupa tetapi menarik balik akuan itu tiga hari kemudian dalam satu lagi akuan bersumpah.

Mahkamah juga membenar peguam bela Abdul Razak, Wong Kian Kheong untuk bertindak sebagai peguam pemerhati pada perbicaraan peringkat pembelaan.

.

Harga petrol, diesel turun 15 sen lagi


Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter berkuatkuasa esok.

Sehubungan itu, harga runcit petrol dan diesel adalah seperti berikut:
.
• Petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter;
.
• Petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter; dan
.
• Diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.
.
Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, penurunan itu dibuat ekoran harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini.Katanya, kerajaan juga telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya.

Ini merupakan penurunan harga kali keempat kerajaan mengumumkan bagi minyak petrol dan diesel.

Pada 15 Oktober lalu kerajaan menurunkan harga minyak petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada RM2.30 sen seliter manakala harga petrol RON92 diturunkan 10 sen kepada RM2.20 seliter. Harga minyak diesel pula diturunkan 20 sen kepada RM2.20.

Pada 4 Jun lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kira-kira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.

.