SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

05 August 2008

Muhyiddin pertahan jawatan Naib Presiden

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mengumumkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden Umno, sekali gus menamatkan spekulasi beliau akan bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden pada pemilihan parti, Disember ini.

Katanya, keputusan itu dibuat atas kesedaran dan prinsip yang didokongnya, iaitu sentiasa bersedia dan bersama menjamin keutuhan parti serta menampilkan barisan kepemimpinan tertinggi yang berwibawa dan kuat agar mampu memperjuangkan teras perpaduan dan nasib Melayu demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

"Saya akur keputusan Majlis Tertinggi yang bersetuju dan menghormati pelan peralihan kepemimpinan yang diusul secara tersusun dan berhemah.

"Jika suara saya kelihatan lantang dan tegas melalui teguran dibuat, percayalah bahawa saya tidak bermaksud menentang kepemimpinan tetapi dibuat atas niat tulus ikhlas kerana mahu melihat Umno terus kuat, perkasa dan berwibawa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas dua lagi cawangan Umno di Johor, iaitu Stulang Laut dan Permas Jaya, sebulat suara meluluskan usul agar beliau Muhyiddin dicalonkan bertanding jawatan Presiden parti. Pada 19 Julai, Umno cawangan Kampung Desa Jaya turut mengemukakan usul serupa pada mesyuarat cawangannya dan diluluskan sebulat suara.

Muhyiddin tidak menolak kemungkinan keputusannya itu mengecewakan sesetengah pihak dan ahli di beberapa peringkat, tetapi menegaskan setiap perjuangan memerlukan pengorbanan.

"Suara serta sokongan mereka akan sentiasa saya hormati dan hargai. Saya tidak bermaksud untuk menolak prinsip demokrasi dan hak bersuara ahli," katanya. Beliau berkata, Umno tetap memegang pada dasar demokrasi dan tidak sesekali menegah atau mengongkong ahli parti daripada menyatakan suara dan pendirian dalam membuat keputusan yang difikirkan baik untuk parti.

Muhyiddin juga berikrar akan terus membantu membaik pulih parti supaya dapat bersama merapatkan barisan bagi membuat perancangan dan memperkemaskan gerak jentera parti di semua peringkat serta bersiap sedia dari sekarang untuk berdepan dengan cabaran Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

"Saya memberi jaminan bahawa suara setiap ahli parti dan rakyat kepada pucuk pimpinan parti akan saya dokong tidak kira di mana peringkat pun saya berada supaya parti Umno akan terbuka, telus dan terus relevan sepanjang zaman," katanya.

Beliau berkata, Umno adalah parti demokratik dan mengamalkan muafakat dalam cara urus tadbir yang sentiasa mengikut peraturan dan perlembagaan. Sehubungan itu, beliau memohon sokongan daripada setiap ahli dan perwakilan di peringkat bahagian untuk memberinya kepercayaan bagi bertanding mempertahankan jawatannya sekarang.
.