SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

27 June 2008

Maksud tersirat kata Najib menjelang pemilihan?

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Politik tempatan kini menjurus kepada kenyataan ringkas Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak malam tadi.

Dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri di sisinya, Najib memberikan kenyataan ini: "Saya akan buat ketetapan apabila sampai masanya, ada masa lagi."

Najib, yang turut hadir mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang dipengerusikan Abdullah, mengeluarkan kenyataan yang tersirat maksudnya apabila ditanya sama ada beliau akan merebut jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri itu menarik perhatian banyak pihak dengan menyebut belum tiba masa untuk beliau mengumumkan mengenai perkara itu. Ramai menyangka beliau akan menyatakan dengan tegas "tidak".

Tidak dapat dinafikan 'demam' pemilihan menyelubungi keseluruhan parti buat masa sekarang. Hampir setiap pemimpin Umno ditanya mengenai kedudukan masing-masing. Begitu juga Najib nampaknya!

Jika demikian keadaannya, mengapa Najib harus mengatakan yang beliau masih belum bercadang dan akan membuat ketetapan apabila tiba waktu yang sesuai? Mengapa tidak Najib hanya mengatakan "tidak" untuk menutup sama sekali desas-desus yang mengatakan beliau akan mencabar Abdullah Disember ini.

Dalam satu temu bual dengan mStar Online dua minggu lalu, bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan bahawa tidak ada sesiapa yang berupaya melawan Abdullah dalam pemilihan kali ini. Ini termasuklah Najib dan Tengku Razaleigh Hamzah yang turut menawarkan diri untuk mencabar Abdullah.

Jika begitu, sekali lagi persoalan yang diketengahkan - mengapa Najib tidak menutup desas-desus sedemikian menerusi kata-kata bahawa "saya tidak akan menyaingi jawatan Presiden" atau "saya akan menyokong Abdullah untuk jawatan Presiden".

Persoalan ini juga dikaitkan dengan perkembangan politik tanah air khususnya yang berkaitan dengan Umno sejak dua minggu lalu.
Sekali lagi pemerhati politik cuba mengaitkan dengan perkembangan semasa kandungan akuan berkanun yang difailkan oleh editor portal berita secara online Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.

Perlu diakui Najib telah pun mengetepikan kandungan akuan berkanun itu dengan menyifatkannya sebagai "rekaan dan sampah."
Najib juga menegaskan dakwaan Raja Petra itu merupakan "cubaan terdesak dan teruk untuk mencemar dan memburukkan imej politik saya."

Sepuluh hari sebelum itu, Abdullah mengulangi beliau akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan Disember ini. Beliau berkata, tiada alasan bagi beliau untuk tidak bertanding.

Pada 13 Jun lalu di Kota Bharu, Abdullah mengumumkan beliau dan Najib telah sepakat menentukan masa yang terbaik bagi peralihan kuasa - yang disentuh banyak pihak ekoran kesan dan prestasi Umno dan BN dalam pilihan raya umum lalu.

“Saya dan Najib telah muafakat dan kita berdua telah sama-sama setuju bilakah masanya saya nak bersara dan bilakah masanya Najib akan ambil alih dan menjadi Perdana Menteri.

“Tiada masalah antara kami berdua, jadi tidak payahlah sesiapa pun nak timbulkan perkara ini kerana antara yang hendak menyerah dan menerima sudah ada persetujuan,” kata Abdullah.

Sehari sebelum itu di London, Najib pula menegaskan, beliau tidak akan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan UMNO, malah jauh sekali daripada menghancurkan parti itu hanya demi kepentingan untuk memegang kuasa.

Menurutnya, beliau percaya peralihan kuasa UMNO perlu dilakukan menerusi tradisi konvensional dan bukannya dengan mewujudkan puak-puak yang akan menyebabkan parti lemah serta tidak berupaya menghadapi cabaran pilihan raya.

Di sebalik perkembangan dua minggu lalu, kenyataan terbaru Najib menimbulkan spekulasi terbaru dalam kitaran politik Umno.

Apakah Umno yang nampak mula stabil dan mantap sejak sebulan lalu, lebih-lebih lagi selepas usul kenaikan harga petroleum dan barangan diluluskan di Dewan Rakyat, mula bergelora dengan Najib mahu memberi petunjuk bahawa beliau juga masih 'berminat' untuk bersaing jawatan Presiden.

Mesyuarat peringkat cawangan akan bermula dalam dua minggu lagi manakala peringkat bahagian pula Oktober ini, yang akan mencalonkan pemimpin pilihan masing-masing untuk jawatan-jawatan pusat.

Kenyataan terbaru Najib ini bertujuan mempersiapkan diri beliau sebelum terlambat dan diatasi Tengku Razaleigh yang kemungkinan dikatakan akan 'berganding' dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kedudukan nombor dua parti? Muhyiddin juga mengumumkan jawatan yang ingin beliau tandingi.

Maksud tersirat dan petunjuk Najib nampaknya sudah dilabuhkan.

Tidak mustahil PAS Selangor keluar Pakatan Rakyat - Muhammad

SHAH ALAM: Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, beliau tidak menolak kemungkinan PAS keluar dari Pakatan Rakyat (PR) di Selangor berdasarkan masalah dalaman gabungan parti itu yang semakin meruncing. Beliau berkata, kemungkinan itu dapat dilihat daripada program atau mesyuarat anjuran kerajaan PR di negeri itu yang banyak dipulaukan oleh PAS.

"Sekarang kepimpinan (PR Selangor) dah mula retak dan nampaknya PAS dah mula kecil hati kerana banyak majlis yang dianjurkan, PAS tak datang.

"Mereka (PR) memang mempunyai masalah dalaman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong di sini hari ini. Muhammad berkata, ketidakpuasan hati itu ditambah dengan tindakan penganjur sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan campuran di negeri itu yang memasukkan wang sumbangan syarikat swasta bagi program itu ke dalam akaun PKR (Parti Keadilan Rakyat).

Ini menimbulkan rasa kurang senang pengerusi penganjur sambutan itu, Datuk Dr. Hassan Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, kata Muhammad."Ini menyebabkan parti lain iaitu PAS dan DAP amat kecewa. Oleh itu mereka sekarang berpecah belah sesama mereka.

"BPR (Badan Pencegah Rasuah) pun dah masuk siasat pegawai dia sendiri dan berlaku tuduh menuduh sesama mereka dan ini menandakan bahawa sekarang kita tengok kerjasama antara mereka sudah mula retak, kata Muhammad.

"Lepas tu mereka juga bertelagah dalam melantik ahli majlis (Pihak Berkuasa Tempatan). Dulu kata nak lantik satu pertiga dari parti, satu pertiga dari profesional dan satu pertiga dari NGO (badan bukan kerajaan).

"Tapi bila diputuskan nampak lebih 80 peratus orang PKR, jadi rakyat tidak senang dengan tindakan mereka itu. "Kalau macam ini cara mereka mentadbir negeri saya takut gerakan pembangunan dan ekonomi Selangor akan terjejas dan akan berlaku pengangguran, orang susah, banyak social problem bila economic wave itu tidak digerakkan dengan kencang," katanya.

-BERNAMA

Ahli Parlimen BN marah Nazri hina mereka

KUALA LUMPUR: Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBCC) membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana melabelkan anggotanya yang mengalihkan sekatan terhadap wartawan di lobi Parlimen pada Selasa sebagai "kebudak-budakan dan dari kelab samseng".

Pengerusi BNBCC, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, wakil rakyat BN merasa terhina dianggap sedemikian sedangkan apa yang mereka cuba lakukan ialah membetulkan keadaan kerana merasakan wartawan tidak seharusnya dihalang daripada menjalankan tugas di Parlimen.

"Setelah kami gagal mendapat penjelasan (mengenai arahan sekatan itu) daripada Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia), jawatankuasa peraturan Parlimen dan menteri itu sendiri, kami merasakan sekatan itu perlu dialihkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Dua hari lepas, Nazri mengutuk perbuatan beberapa Anggota Parlimen daripada BN yang mengalihkan sekatan itu di kawasan lobi Parlimen tempat sidang akhbar diadakan, sambil menyifatkan mereka sebagai "kebudak-budakan dan dari kelab samseng".

Tiong berkata, tidak wajar bagi Nazri menganggap Anggota Parlimen sebagai samseng dan budak-budak kerana mereka merupakan wakil rakyat.

Katanya, BNBCC akan berbincang Isnin ini mengenai tindakan yang akan diambil seterusnya kerana mereka melihat kenyataan Nazri itu "melampau".

Naib Pengerusi BNBCC, Datuk Bung Moktar Radin pula berkata, isu sekatan terhadap wartawan itu turut dibangkitkan oleh wakil rakyat BN dan bukan hanya oleh wakil pembangkang.

"Pada masa rehat waktu makan tengah hari, kami pergi berjumpa Tan Sri Speaker, dan memandangkan tidak ada keputusan, barulah kami bertindak mengalihkan sekatan itu," katanya.

Ekoran bantahan oleh wakil-wakil media, pihak pentadbiran Parlimen semalam membenarkan mereka berada semula di situ.

- BERNAMA

.

Ada Exco Selangor arah buka semula tender

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mempersoalkan akauntabiliti serta ketelusan yang kerap diuar-uarkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim apabila kotak tender kerja-kerja di Majlis Perbandaran Klang (MPK) terpaksa dibuka semula selepas seorang Exco membuat panggilan mengarahkan demikian.

Ketua Pembangkang di Selangor itu percaya, tentu ada sebab mengapa Exco terbabit mengarahkan tender bagi kerja-kerja pembersihan yang dikeluarkan MPK pada Mei lalu diarah buka.

"Saya difahamkan pembukaan semula tender di MPK itu selepas salah seorang Exco membuat panggilan telefon. Selepas itu MPK buka balik selepas arahan Exco itu. Kalau nak buka tender selepas ditutup mesti ada peraturan tertentu. Sekarang ini kes itu disiasat Badan Pencegah Rasuah," katanya.

Menurut Dr Khir, tender itu diarah buka semula secara segera mungkin untuk beri peluang orang-orang tertentu sertai tender tersebut dan ini tidak sepatutntya berlaku.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, beberapa kontraktor berjumpanya dan memberitahu perkara itu yang kini sedang disiasat BPR.

Bercakap pada sidang media Rabu, Dr Khir juga mahu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan kebertanggungjawaban dan Keteluasan (SELCAT) Dewan Undangan Negeri Selangor memanggil Khalid memberi penjelasan mengapa kutipan sumbangan bagi sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di negeri itu masuk akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, kepala surat MB digunakan untuk minta sumbangan termasuk daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri.

"Kutipan patut masuk akaun kerajaan negeri bukan PKR.SELCAT patut panggil MB jelas kenapa ini berlaku," katanya yang menganggap perbuatan itu satu penyelewengan dan rakyat Selangor pula patut tahu jumlah kutipan dan perbelanjaannya.

Menurut Dr Khir beliau difahamkan, seorang rakyat Selangor sudah membuat aduan polis mengenai perkara ini di Subang Jaya, semalam.

"Beliau (Khalid) selalu cakap pasal akauntabiliti dan ketelusan tetapi kerajaan Pakatan Rakyat ni, cakap lain buat lain," katanya.

Dr Khir turut meminta Khalid memberi penjelasan mengenai bantuan beras dan gula kepada keluarga miskin yang diberikan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Dulu beliau janji semua urusan ikut tender. Saya dapat tahu setiap wakil rakyat dapat 500 bungkusan bantuan tetapi ke mana mereka salurkan dan syarikat mana yang dapat tender bekal bahan-bahan itu," katanya.
.

Najib: Saya belum cadang tanding jawatan Presiden

KUALA LUMPUR 26 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, belum tiba masa untuk beliau mengumumkan mengenai perkara itu.

"Saya akan buat ketetapan apabila sampai masanya, ada masa lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini malam ini.

Mengikut peraturan UMNO, calon jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan bahagian UMNO di seluruh negara.

- Bernama

Penjenamaan semula BN

KUALA LUMPUR 26 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penubuhan empat jawatankuasa khas memperkasa Barisan Nasional (BN) termasuk merangka strategi bagi penjenamaan semula parti pasca Pilihan Raya Umum ke-12.

Perdana Menteri berkata, penubuhan kesemua jawatankuasa itu juga adalah sejajar dengan usaha penting untuk mempertingkatkan hubungan antara parti-parti komponen.

Kata beliau, empat jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Kerangka Penyelidikan Untuk Penjemaan Semula BN yang dipengerusikan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Idris Jusuh, Jawatankuasa Memperkasa Pentadbiran BN oleh Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas.

Dua lagi jawatankuasa katanya, ialah Penjenamaan Semula dan Sistem Penyampaian Khidmat Awam yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Pemuda MCA, Dr. Wee Ka Siong dan Jawatankuasa Pengaruh Media dan Penghakisan Jenama BN oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nasar.

"Wakil daripada Pergerakan Wanita dan Pemuda akan menyertai setiap kumpulan (jawatankuasa) dan ahli setiap kumpulan boleh ditambah ikut kesesuaian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, penubuhan empat jawatankuasa itu adalah perkara penting yang diputuskan untuk memperkukuhkan parti.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat kali ini turut memberi perhatian terhadap isu-isu dan perkara yang dibangkitkan tentang pembangunan di Sabah dan Sarawak terutama berkaitan pembentangan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Dalam perbincangan tadi, saya dimaklumkan usaha-usaha akan diteruskan untuk tingkatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak di mana pembangunan di kawasan-kawasan pedalaman diberikan perhatian," katanya.

Tambah beliau, Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempengerusikan sebuah mesyuarat khas untuk mempertimbangkan beberapa perkara bagi meningkatkan penyertaan dan status pembangunan kaum India di negara ini.

"Datuk Seri Samy Vellu (Presiden MIC) akan turut hadir (dalam mesyuarat berkenaan) mewakili kaum India," katanya.

Katanya, Najib yang mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Menangani PATI akan memanggil mesyuarat pemimpin parti komponen BN Sabah dan Sarawak bagi merangka strategi menangani masalah itu.
.

Mohammad Nizar diselar kerana berdiam diri apabila Pengerusi DAP pertikai kuasa sultan

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dituduh takut kehilangan jawatan dengan berdiam diri selepas Pengerusi DAP, Karpal Singh mempertikai kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung arahan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury, April lalu. Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) berkata, Mohammad Nizar serba salah untuk mempertahan Sultan Azlan kerana beliau memerlukan sokongan 18 Adun DAP untuk memegang jawatannya.
.
Saarani berkata, Mohammad Nizar sepatutnya menunjukkan taat setia dan menjadi orang pertama mempertahan Sultan Azlan jika ada pihak yang mempertikai kewibawaan Istana Perak. “Menteri Besar dan 10 Exconya hanya berdiam diri ketika isu itu diperkatakan oleh akhbar dan media elektronik... kerajaan negeri menjadi bacul dan tidak berpendirian.
.
“Jangan memperlekeh kedudukan istana sehingga rakyat menjadi keliru," katanya ketika membahaskan usul menyokong titah ucapan Sultan Azlan ketika perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri.
.
Pada 29 April lalu, Mohammad Nizar mengarahkan Jamry bertukar ke jabatan lain dalam tempoh 24 jam kerana didakwa tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat tetapi tiga hari kemudian, Sultan Azlan menitahkan Mohammad Nizar menarik balik arahan itu. Dr Khalil Idham Abdullah (PAS-Titi Serong) yang cuba mencelah dengan membangkitkan isu krisis antara Umno dengan Istana Perlis dan Terengganu sebelum pelantikan Menteri Besar masing-masing, bagaimanapun tidak diberi laluan oleh Saarani.
.
Saarani berkata, Sultan Azlan dalam titah baginda turut mengulangi sekali lagi kenyataan yang dibuat ketika sambutan Hari Keputeraan baginda pada 19 April lalu, iaitu masjid dan surau di negeri ini tidak boleh dijadikan tempat untuk menyebarkan pengaruh parti politik.
.
“Titah itu diulangi kerana Sultan Azlan menyedari masih ada penyokong Pas menggunakan masjid untuk mengadakan tazkirah dan khutbah menghentam parti lain.
.
"Masjid dan surau ini bukan untuk penyokong Pas saja," katanya.
.
Saarani berkata, surat Exco Agama Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan negeri, Zainudin Yusof, bertarikh 26 Mei lalu meminta imam dan ahli Jawatankuasa Kariah Masjid (JKKM) menandatangani surat pelantikan selepas diperkenan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) tidak mengikut prosedur.
.

SAPP diberi 30 hari jawab surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Parti Maju Sabah (SAPP) supaya menjelaskan hasrat kepemimpinan parti itu untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata SAPP mempunyai masa 30 hari bagi membuat penjelasan dan sebarang perkembangan baru dalam tempoh berkenaan turut menjadi asas kepada Dewan Tertinggi BN menentukan sama ada parti itu hanya diberi amaran, digantung atau dipecat.
.
“Memandangkan keputusan SAPP itu adalah bertentangan dengan kepentingan BN selain menyentuh soal integriti dan disiplin BN, maka amat wajar keputusan memberi notis 30 hari kepada parti itu untuk menjawab pertuduhan terbabit.
.
“Apa-apa bentuk tindakan disiplin akan ditentukan selepas tempoh 30 hari. Ini adalah kerana kita mahu proses ini betul dari segi prosedur dan perundangan yang diamalkan dalam parti kita. Mereka akan diberi peluang membela diri sebelum keputusan muktamad dibuat.
.
“Jelas, apa yang SAPP lakukan ini bertentangan dengan disiplin dan permuafakatan BN. Kita tunggu apa jawapan mereka. Tak tahu apa yang dijangka berlaku, kita harapkan yang terbaik tetapi bersedia menghadapi yang terburuk,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu, di sini, malam tadi. Beliau memaklumkan, Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, meninggalkan bilik mesyuarat apabila isu SAPP dibincangkan kerana dirinya terbabit secara langsung dengan perkara itu dan berpendapat tidak wajar berada dalam bilik mesyuarat ketika keputusan dibuat.
.
Najib selaku Timbalan Pengerusi BN, mempengerusikan sesi mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang membincangkan tindakan terhadap SAPP. Pada 20 Jun lalu, majlis tertinggi SAPP memutuskan untuk menyokong supaya usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Abdullah, selaku Pengerusi BN, dikemukakan di Dewan Rakyat. Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan parti itu hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri dan dua Ahli Parlimennya, Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau), akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu tetapi ia tidak berlaku.
.
Menyusuli perkembangan itu, mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pengurusan BN yang dipengerusikan Najib Selasa lalu menggariskan beberapa cadangan kepada Dewan Tertinggi BN mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap SAPP.
.
Kata Najib, mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum itu tidak dapat membuat keputusan kerana Dewan tertinggi SAPP tidak lagi membuat keputusan berhubung perkara itu. Bagaimanapun, tegas beliau, kenyataan terbaru Yong bahawa mereka sanggup menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN atau pun mereka sendiri membawa usul itu adalah jelas tindakan serius yang boleh membawa mudarat kepada kepentingan BN.
.
Najib juga menafikan BN tidak tegas dalam tindakan terhadap SAPP dan terlalu banyak memberi ruang, sebaliknya menjelaskan bahawa ia dilakukan mengikut prosedur kerana setiap individu ada hak membela diri.
.
“Bukan soal tak tegas tapi ikut prosedur. Dalam Umno pun kalau kita pecat sesiapa dia diberi peluang bela diri sewaktu apa-apa tindakan disiplin, surat tunjuk sebab dikeluarkan. “Apatah lagi bila kita berurusan dengan parti, lebih-lebih lagi SAPP yang ada ramai ahli. Kalau individu kita boleh keluarkan surat tunjuk sebab kenapa parti tak boleh pula,” katanya. Najib berkata, setakat ini, BN tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pemimpin SAPP selain kenyataan rasmi secara terbuka oleh pemimpinnya menerusi media 20 Jun lalu. SAPP tidak dijemput menghadiri semua mesyuarat BN yang membincangkan isu membabitkannya.
.
Sementara itu, Yong, ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan sudah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu tetapi enggan mengulas lanjut selagi belum menerima surat tunjuk sebab daripada Dewan Tertinggi BN.
.

Anwar Ibrahim dan Mimpinya

oleh : Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyebabkan senario dan lanskap politik negara bertukar sama sekali. Perubahan ini berpusat daripada dua faktor iaitu faktor Anwar dan faktor yang menentukan pembebasan Anwar. Pendedahan saudara Ezam Mohd Noor mengenai usaha pembebasan Datuk seri Anwar membabitkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantu beliau, Khairy Jamaluddin membawa satu lagi persoalan baru kepada orang ramai khususnya pemimpin politik UMNO. Saya biarkanlah ia menjadi tanda tanya kita semua.

Saya juga akui kenyataan Ezam mengenai perjumpaan beliau dengan saya adalah benar dan memang ketika itu saya mencadangkan supaya Ezam kembali kepada UMNO. Ini kerana saya melihat hubungan beliau dengan Anwar tidak akan kekal. Dan ternyata perkara tersebut berlaku. Sungguhpun begitu kembalinya Ezam agak terlewat dan penuh kontroversi kerana ia dibuat berdekatan dengan pemilihan UMNO. Namun faktor Anwar sendiri perlu diberi perhatian. Anwar sudah diketahui umum sebagai ahli politik yang licik dan mempunyai banyak helah, bertopengkan pelbagai wajah, namun menyembunyikan agenda sebenarnya.

"Cuti sabatikal" Anwar selama enam tahun di Sungai Buloh turut memberi beliau ruang dan peluang untuk memikir dan merangka strategi politiknya. Ramai pemimpin UMNO tersalah baca gerak politik Anwar Ibrahim. Saya mula menyedari kelicikan beliau apabila berdepan secara terbuka dalam pilihan raya kecil DUN Ijok lalu.

Saya melihat kekuatan Anwar ialah mengenai keupayaan beliau memanipulasi isu dan melakukan character assassination. Anwar juga mempunyai kebolehan menukar "wajah-wajahnya" mengikut kaum yang menghadiri ceramahnya. Bagi Anwar nilai sebuah perjuangan adalah kemenangan peribadi. Sebab itu saya melihat pergerakan politik Anwar sejak sebelum pilihan raya lalu telah dirancang dengan teliti untuk meletakkan dirinya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Landasan Kedua Menuju Puncak

Anwar hampir di puncak sebelum jatuh kerana tersalah perancangan. Anwar kali kedua menuju puncak sudah mempelajari pelajaran dan pengajaran sejarah lalu. Juteru untuk kembali mengepalai landasan menuju puncak. Anwar perlu melakukan beberapa perancangan dan manipulasi dalam politik. Fasa pertamanya ialah pilihan raya ke 12. Beliau menggunakan menggunakan segala kelicikannya melakukan manipulasi politik melalui penawaran jawatan dan kedudukan bagi menyatukan parti-parti politik yang bukan sahaja berbeza ideologi tetapi bertentangan sama sekali.

Retorikal dan manipulasi politik Anwar telah berjaya menanggap imaginasi pengundi-pengundi di kawasan bandar sehinggalah gabungan longgar ini mampu mengambil alih lima negeri (termasuk Wilayah Persekutuan). Beliau berjaya meyakinkan Dap dan Pas untuk mengadakan satu kerjasama longgar. Yang untung pastinya Dap kerana hari ini mereka sudah boleh berhujah bahawa ada orang Melayu yang menyokong perjuangan "cauvinis" mereka. Malah mereka juga dilihat menguasai dua buah negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Melayu.

Pas yang terjebak dengan imej parti Islam telah cuba untuk mengurangkan persepsi tersebut dengan tema-tema perjuangan baru seperti kesamarataan dan menjadi parti kebajikan. Melalui kerjasama longgar ini, pas diberi kerusi Menteri Besar di Perak biarpun merupakan parti paling sedikit memenangi kerusi. Penampilan yang charming dan kekuatan orator telah memberikan kelebihan kepada Anwar dalam keadaan negara sedang membuat penilaian gaya kepimpinan baru Datuk Seri Abdullah berbanding gaya Tun Dr. Mahathir. Penampilan Pak Lah yang bersahaja telah membolehkan Anwar mengambil kesempatan menonjolkan diri.

Fasa kedua manipulasi politik Anwar sedang berlangsung sekarang ini. Anwar menyerang kredebiliti kepimpinan bagi memarakkan lagi krisis keyakinan itu. Anwar mengadakan pelbagai rundingan bagi dan melakukan tawar-menawar dengan Ahli Parlimen BN bagi menarik orang tertentu lompat parti. Serangan manipulasi kedua yang sedang dilancar ialah untuk menjatuhkan kredebiliti Datuk Seri Najib Tun Razak. Serangan ini ternampak jelas melalui salah seorang blogger, yang sememangnya pendokong setia Anwar Ibrahim.

Tujuan Anwar ialah untuk menunjukkan Barisan Nasional tidak lagi mempunyai pemimpin yang credible. Kenyataan lompat parti ahli-ahli parlimen merupakan dendangan lanjutan manipulasi tersebut. Sehinggakan hari ini kepimpinan negara dan rakyat tidak berfikir untuk maju ke hadapan tetapi merasa hidup dalam resah gelisah mencari kepastian sama ada kerajaan ini akan kekal atau sebaliknya. Taktik Anwar bukan sangat mahu menubuhkan kerajaan secara segera. Buat masa ini beliau hanya mahu mengukuhkan imejnya sebagai pemimpin berkarisma yang lebih dominan dan perancang kepada rentak politik tanah air. Dendangan lompat parti ini telah dialunkan oleh pemimpin PKR sahaja bukan DAP dan Pas. Parti seperti SAPP adalah parti opportunis, pasti gembira untuk libatkan diri dalam manipulasi Anwar Ibrahim ini.

Berdasarkan respon di blog saya dan laman-laman web lain, UMNO harus sedar bahawa manipulasi Anwar pada tahap kedua sudah berjaya. Ramai yang melihat bahawa Anwar Ibrahim adalah pemimpin harapan negara, manakala pemimpin UMNO dilihat sebagai pemimpin yang tidak berupaya. UMNO wajar mencari formula untuk melumpuhkan manipulasi Anwar Ibrahim. Kaedah terbaik ialah UMNO perlu kuat dan bersatu supaya peralihan kuasa berlaku dalam UMNO dahulu, bukan di Parlimen. Semua tindakan peralihan itu perlu dirangka dan dikongsi bersama oleh seluruh kepimpinan UMNO setiap peringkat, dan keputusan itu akan menjadi tangkal untuk UMNO terus kuat dan menghancurkan manipulasi Anwar Ibrahim.

Jika UMNO tidak berupaya memulihkan keyakinan terhadap kepimpinan, kesempatan ini akan diambil oleh Anwar Ibrahim melakukan manipulasi fasa ketiga. Beliau akan cuba menonjolkan dirinya sebagai pemimpin alternatif negara dengan menggunakan empat negeri Pakatan Rakyat sebagai landasan untuk meyakinkan rakyat bahawa beliaulah pemimpin terbaik untuk didokong dan disokong walaupun penuh helah.

Masalah Anwar

Malangnya Anwar sendiri berada dalam kedaan goyang apabila Sambutan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di Shah Alam telah menunjukkan pergeseran dalam parti-parti komponen PR. Saya dimaklumkan Pas tidak menyertai perhimpunan ini kerana sesuatu sebab dalaman. Jika kita lihat dari segi fizikal pun, tiada bendera Pas dan Dap kelihatan di sekitar Stadium Melawati tempat penganjuran majlis sambutan. Malah saya difahamkan krisis kian meruncing apabila tiga Menteri Besar Pas dikatakan telah "ditegah" oleh pucuk pimpinan Pas dari menghadri majlis tersebut.

Dap sungguhpun hadir tetapi tidak menunjukkan komitmen yang sewajarnya kepada Anwar Ibrahim. Ketika Anwar sibuk menggangu Barisan Nasional, ilusi politik Pakatan rakyat ciptaan Anwar juga tampaknya seumpama retak menanti belah.

Pengajaran Kepada Kita

Kita harus belajar daripada sahabat-sahabat rapat Anwar Ibrahim yang dulunya sanggup tenggelam timbul bersama, akhirnya mengambil keputusan meninggalkan beliau. Kita juga harus sedar manipulasi ini tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada rakyat. Bagi saya Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah opportunist yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kuasa. Janganlah kita membenarkan perjuangan politik yang berasaskan resam si Kitol, Mendeliar, atau menjadi si Tanggang yang merosakkan perjuangan sebuah bangsa kerana kepentingan diri.
.

Mahathir tanya sama ada kerajaan akan siasat Ian Chin

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bertanya sama ada kerajaan akan menubuhkan tribunal untuk menyiasat Hakim Ian Chin Hon Chong atas dakwaan melanggar kod etika hakim. Bekas Perdana Menteri mendakwa, Chin tidak mendedahkan bahawa terdapat laporan polis dibuat terhadapnya kerana mendengar kes yang beliau sendiri mempunyai kepentingan peribadi.

Dr Mahathir memberitahu sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini bahawa Chin mendengar satu kes membabitkan hartawan Sabah yang beliau (Chin) percaya bertanggungjawab terhadap penahanan bapa dan saudara lelakinya 20 tahun lalu.

Hartawan berkenaan pada masa itu ialah penasihat kepada Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Mustapha Harun. Merujuk kepada dakwaan Chin bahawa hakim dihantar ke “kem pemulihan”, Dr Mahathir berkata: “Kem pemulihan itu sebenarnya bukan kem pemulihan. Ia adalah Kursus Tatanegara yang telah dihadiri beribu-ribu kakitangan awam, eksekutif perniagaan dan ahli politik tanpa sebarang rungutan.”

Dr Mahathir juga mendakwa kenyataan Chin baru-baru ini kelihatan seperti beliau cuba mengampu kerajaan dengan memburuk-burukkan Perdana Menteri terdahulu.

Sementara itu, peguam Matthias Chang hari ini membuat laporan polis terhadap Chin berhubung dua kenyataannya yang dibuat secara terbuka di mahkamah di Sibu Sarawak iaitu menggunakan perkataan yang tidak wajar bagi seorang hakim dan kenyataan memfitnah terhadap Dr Mahathir.

“Saya berpendapat hakim ini telah melakukan perbuatan menghina mahkamah berikutan perbuatannya itu telah mencemarkan mahkamah dan menyebabkan badan kehakiman dipertikaikan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

- Bernama