SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

27 June 2008

Anwar Ibrahim dan Mimpinya

oleh : Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyebabkan senario dan lanskap politik negara bertukar sama sekali. Perubahan ini berpusat daripada dua faktor iaitu faktor Anwar dan faktor yang menentukan pembebasan Anwar. Pendedahan saudara Ezam Mohd Noor mengenai usaha pembebasan Datuk seri Anwar membabitkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantu beliau, Khairy Jamaluddin membawa satu lagi persoalan baru kepada orang ramai khususnya pemimpin politik UMNO. Saya biarkanlah ia menjadi tanda tanya kita semua.

Saya juga akui kenyataan Ezam mengenai perjumpaan beliau dengan saya adalah benar dan memang ketika itu saya mencadangkan supaya Ezam kembali kepada UMNO. Ini kerana saya melihat hubungan beliau dengan Anwar tidak akan kekal. Dan ternyata perkara tersebut berlaku. Sungguhpun begitu kembalinya Ezam agak terlewat dan penuh kontroversi kerana ia dibuat berdekatan dengan pemilihan UMNO. Namun faktor Anwar sendiri perlu diberi perhatian. Anwar sudah diketahui umum sebagai ahli politik yang licik dan mempunyai banyak helah, bertopengkan pelbagai wajah, namun menyembunyikan agenda sebenarnya.

"Cuti sabatikal" Anwar selama enam tahun di Sungai Buloh turut memberi beliau ruang dan peluang untuk memikir dan merangka strategi politiknya. Ramai pemimpin UMNO tersalah baca gerak politik Anwar Ibrahim. Saya mula menyedari kelicikan beliau apabila berdepan secara terbuka dalam pilihan raya kecil DUN Ijok lalu.

Saya melihat kekuatan Anwar ialah mengenai keupayaan beliau memanipulasi isu dan melakukan character assassination. Anwar juga mempunyai kebolehan menukar "wajah-wajahnya" mengikut kaum yang menghadiri ceramahnya. Bagi Anwar nilai sebuah perjuangan adalah kemenangan peribadi. Sebab itu saya melihat pergerakan politik Anwar sejak sebelum pilihan raya lalu telah dirancang dengan teliti untuk meletakkan dirinya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Landasan Kedua Menuju Puncak

Anwar hampir di puncak sebelum jatuh kerana tersalah perancangan. Anwar kali kedua menuju puncak sudah mempelajari pelajaran dan pengajaran sejarah lalu. Juteru untuk kembali mengepalai landasan menuju puncak. Anwar perlu melakukan beberapa perancangan dan manipulasi dalam politik. Fasa pertamanya ialah pilihan raya ke 12. Beliau menggunakan menggunakan segala kelicikannya melakukan manipulasi politik melalui penawaran jawatan dan kedudukan bagi menyatukan parti-parti politik yang bukan sahaja berbeza ideologi tetapi bertentangan sama sekali.

Retorikal dan manipulasi politik Anwar telah berjaya menanggap imaginasi pengundi-pengundi di kawasan bandar sehinggalah gabungan longgar ini mampu mengambil alih lima negeri (termasuk Wilayah Persekutuan). Beliau berjaya meyakinkan Dap dan Pas untuk mengadakan satu kerjasama longgar. Yang untung pastinya Dap kerana hari ini mereka sudah boleh berhujah bahawa ada orang Melayu yang menyokong perjuangan "cauvinis" mereka. Malah mereka juga dilihat menguasai dua buah negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Melayu.

Pas yang terjebak dengan imej parti Islam telah cuba untuk mengurangkan persepsi tersebut dengan tema-tema perjuangan baru seperti kesamarataan dan menjadi parti kebajikan. Melalui kerjasama longgar ini, pas diberi kerusi Menteri Besar di Perak biarpun merupakan parti paling sedikit memenangi kerusi. Penampilan yang charming dan kekuatan orator telah memberikan kelebihan kepada Anwar dalam keadaan negara sedang membuat penilaian gaya kepimpinan baru Datuk Seri Abdullah berbanding gaya Tun Dr. Mahathir. Penampilan Pak Lah yang bersahaja telah membolehkan Anwar mengambil kesempatan menonjolkan diri.

Fasa kedua manipulasi politik Anwar sedang berlangsung sekarang ini. Anwar menyerang kredebiliti kepimpinan bagi memarakkan lagi krisis keyakinan itu. Anwar mengadakan pelbagai rundingan bagi dan melakukan tawar-menawar dengan Ahli Parlimen BN bagi menarik orang tertentu lompat parti. Serangan manipulasi kedua yang sedang dilancar ialah untuk menjatuhkan kredebiliti Datuk Seri Najib Tun Razak. Serangan ini ternampak jelas melalui salah seorang blogger, yang sememangnya pendokong setia Anwar Ibrahim.

Tujuan Anwar ialah untuk menunjukkan Barisan Nasional tidak lagi mempunyai pemimpin yang credible. Kenyataan lompat parti ahli-ahli parlimen merupakan dendangan lanjutan manipulasi tersebut. Sehinggakan hari ini kepimpinan negara dan rakyat tidak berfikir untuk maju ke hadapan tetapi merasa hidup dalam resah gelisah mencari kepastian sama ada kerajaan ini akan kekal atau sebaliknya. Taktik Anwar bukan sangat mahu menubuhkan kerajaan secara segera. Buat masa ini beliau hanya mahu mengukuhkan imejnya sebagai pemimpin berkarisma yang lebih dominan dan perancang kepada rentak politik tanah air. Dendangan lompat parti ini telah dialunkan oleh pemimpin PKR sahaja bukan DAP dan Pas. Parti seperti SAPP adalah parti opportunis, pasti gembira untuk libatkan diri dalam manipulasi Anwar Ibrahim ini.

Berdasarkan respon di blog saya dan laman-laman web lain, UMNO harus sedar bahawa manipulasi Anwar pada tahap kedua sudah berjaya. Ramai yang melihat bahawa Anwar Ibrahim adalah pemimpin harapan negara, manakala pemimpin UMNO dilihat sebagai pemimpin yang tidak berupaya. UMNO wajar mencari formula untuk melumpuhkan manipulasi Anwar Ibrahim. Kaedah terbaik ialah UMNO perlu kuat dan bersatu supaya peralihan kuasa berlaku dalam UMNO dahulu, bukan di Parlimen. Semua tindakan peralihan itu perlu dirangka dan dikongsi bersama oleh seluruh kepimpinan UMNO setiap peringkat, dan keputusan itu akan menjadi tangkal untuk UMNO terus kuat dan menghancurkan manipulasi Anwar Ibrahim.

Jika UMNO tidak berupaya memulihkan keyakinan terhadap kepimpinan, kesempatan ini akan diambil oleh Anwar Ibrahim melakukan manipulasi fasa ketiga. Beliau akan cuba menonjolkan dirinya sebagai pemimpin alternatif negara dengan menggunakan empat negeri Pakatan Rakyat sebagai landasan untuk meyakinkan rakyat bahawa beliaulah pemimpin terbaik untuk didokong dan disokong walaupun penuh helah.

Masalah Anwar

Malangnya Anwar sendiri berada dalam kedaan goyang apabila Sambutan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di Shah Alam telah menunjukkan pergeseran dalam parti-parti komponen PR. Saya dimaklumkan Pas tidak menyertai perhimpunan ini kerana sesuatu sebab dalaman. Jika kita lihat dari segi fizikal pun, tiada bendera Pas dan Dap kelihatan di sekitar Stadium Melawati tempat penganjuran majlis sambutan. Malah saya difahamkan krisis kian meruncing apabila tiga Menteri Besar Pas dikatakan telah "ditegah" oleh pucuk pimpinan Pas dari menghadri majlis tersebut.

Dap sungguhpun hadir tetapi tidak menunjukkan komitmen yang sewajarnya kepada Anwar Ibrahim. Ketika Anwar sibuk menggangu Barisan Nasional, ilusi politik Pakatan rakyat ciptaan Anwar juga tampaknya seumpama retak menanti belah.

Pengajaran Kepada Kita

Kita harus belajar daripada sahabat-sahabat rapat Anwar Ibrahim yang dulunya sanggup tenggelam timbul bersama, akhirnya mengambil keputusan meninggalkan beliau. Kita juga harus sedar manipulasi ini tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada rakyat. Bagi saya Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah opportunist yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kuasa. Janganlah kita membenarkan perjuangan politik yang berasaskan resam si Kitol, Mendeliar, atau menjadi si Tanggang yang merosakkan perjuangan sebuah bangsa kerana kepentingan diri.
.