SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

20 March 2009

Tegas Pulih nama Umno : Najib

Datuk Seri Najib Razak semalam mahu ahli Umno membuat pendirian tegas sama ada mahu memulihkan nama baik parti atau terus membiarkan kegiatan tidak beretika setiap kali berlaku perebutan jawatan, berterusan.

Timbalan Presiden Umno itu menegaskan, jika ahli benar-benar ikhlas mahu melihat parti dibersihkan, mereka perlu memberi kepercayaan kepada Lembaga Disiplin dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

"Jadi kita kena buat pendirian tegas sama ada kita nak jaga nama baik Umno atau nak biarkan kegiatan apa saja dilakukan untuk merebut jawatan dalam Umno. Kita tak boleh berdolak-dalik, kalau kita nak bersihkan Umno.

"Jadi kita kena beri kepercayaan kepada Lembaga Disiplin. Saya percaya Lembaga Disiplin bukanlah satu kerja yang menyeronokkan. Ini satu beban yang mereka pikul dan mereka menghabiskan banyak masa untuk menjalankan tugas sebagai anggota lembaga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Perkhidmatan Elektronik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan kalangan tertentu menyifatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijadikan 'kambing hitam' apabila dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden oleh Lembaga Disiplin Selasa lalu kerana bersalah dalam politik wang.

"Tidak, tidak. Beliau bukan jadi kambing hitam. Ini bukan persoalannya. Kita sudah pilih mereka dan diberi amanah untuk menjalankan tugas sebagai anggota Lembaga Disiplin," kata Najib.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin dengan kredibiliti Lembaga Disiplin kerana ia diwujudkan selepas Umno mengadakan persidangan khas serta meluluskan etika parti.

"Lembaga Disiplin membuat siasatan dan bertindak berdasarkan maklumat yang diterima. Kalau kita rasa mereka buat kesalahan tapi tak ada maklumat, mereka tidak boleh mengambil tindakan.

"Tidak wajar untuk mempersoalkan sama ada lembaga itu mempunyai agenda tertentu kerana sekiranya parti mula mempersoalkan kewibawaan dan niat mereka, maka akan timbul banyak implikasi," katanya.

Ditanya mengapa Lembaga Disiplin mengambil tindakan berbeza terhadap ahli yang didapati bersalah, iaitu dilarang bertanding, digantung atau cuma diberi amaran, Najib berkata itu semua adalah pertimbangan lembaga berkenaan.

"Mereka adalah badan bebas. Sebarang keputusan berhubung urusan disiplin kena rujuk kepada lembaga. Kita tak campur tangan dalam urusan Lembaga Disiplin," katanya. Mengenai peranan Mohd Ali sebagai ketua jentera pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang dalam Parlimen Bukit Gantang, Najib berkata, buat masa ini Naib Presiden Umno itu akan terus meneruskan tugas berkenaan sehingga kepimpinan parti menyemak semula keputusan Lembaga Disiplin.

"Saya pun tak tahu apa keputusan itu... satu satu dulu. Marilah kita lalui pilihan raya kecil ini dan selepas itu kita tengok dari situ dan buat masa ini beliau masih menjalankan tugas di Bukit Gantang," katanya.

Mengenai persepsi terhadap Mohd Ali selepas didapati bersalah mengamalkan politik wang tetapi masih memegang jawatan Ketua Menteri, Najib berkata fakta yang membabitkan pemimpin itu adalah berlainan dan perbuatan politik wang itu dilakukan oleh orang tertentu.

"Sebab itu berdasarkan fakta, lembaga buat keputusan beliau boleh memegang jawatan Ketua Menteri," katanya. Mengulas desakan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya parti tidak melayan rayuan mereka yang terbabit, Najib berkata: "Dalam apa-apa kes lain pun, ada rayuan. Kita tidak boleh menafikan hak untuk orang membuat rayuan dan sama ada rayuan itu berjaya atau tidak, terpulang kepada Lembaga Rayuan untuk membuat keputusan."
.

Umno jemput saya ke perhimpunan : Dr Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan sudah menerima jemputan secara rasmi daripada Umno untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno, Selasa ini.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini, bekas Presiden Umno itu bagaimanapun belum membuat keputusan sama ada akan menghadiri perhimpunan itu atau tidak.

"Umno sudah jemput saya tapi bukan sebagai ahli, sebaliknya sebagai pemerhati.

"Saya belum buat keputusan lagi," katanya.

Rayuan kepada Agong datang dari orang tidak waras - Mahathir

Rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin agar jangan melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri datangnya daripada orang yang bukan betul-betul waras pemikirannya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad Khamis.

"Dia berhak berkata. Dia (cuma) satu orang (sahaja). Sama ada Yang di-Pertuan Agong mendengar pendapat satu orang itu adalah hak Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada media ketika diminta mengulas tentang rayuan itu yang dibuat oleh bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim semalam.

Beliau ditemui di satu sidang akhbar berkaitan penganjuran Forum dan Pameran Pembunuhan di Gaza: Penyelesaian untuk Palestin di sini.

"Orang yang membuat cadangan ini pun bukanlah orang yang disanjung tinggi (dan) dianggap orang yang betul-betul waras pemikiran dia."

"Saya fikir kalau saya jadi (Yang di-Pertuan) Agong saya tak mahu baca apapun pasal ini. Bodoh sangat. Siapa dia nak (jadi Perdana Menteri)?

"Dia (Zaid) tak terpilih untuk bertanding pun....orang macam ini dia lompat sehari 10 kali?macam katak aja. Tak kan (Yang di-Pertuan) Agong nak dengar cakap katak."

Ditanya sama ada beliau memberi sokongan penuh kepada Najib supaya dilantik sebagai Perdana Menteri, Mantan Perdana Menteri itu berkata, "Saya akan menyokong Datuk Najib tapi ia mempunyai syarat di mana beliau hendaklah jangan melantik mana-mana pemimpin yang korup dalam kabinetnya.

Beliau turut mengulas tentang persepsi umum yang mengatakan Najib adalah seorang yang korup.

"Saya bercakap mengenai tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin Umno dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya bukan bercakap tentang apa yang orang ramai percaya. Ramai orang percaya tentang sesuatu tapi tiada keputusan dari segi undang-undang sama ada Najib korup atau tidak.

Ditanya tentang calon pilihannya sebagai Timbalan Presiden UMNO, Dr Mahathir berkata, "Saya fikir apa yang tinggal ialah seseorang yang.. ialah, tidak boleh membaca Bahasa Inggeris dan oleh itu dia buat sesuatu yang salah di Australia.. jadi pilihan saya ialah (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin).

Perebutan jawatan itu meninggalkan Muhyiddin dan Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berikutan penggantungan Datuk Seri Ali Rustam untuk bertanding kerana terlibat dalam rasuah politik.

Dr Mahathir turut mengulas kenyataan Mohd Ali yang mengatakan beliau turut terlibat dalam keputusan Lembaga Disiplin baru-baru ini.

"Saya harap saya boleh tapi saya bukan anggota Umno. Jika saya terbabit, saya akan menghumban beliau keluar sejak awal lagi tapi saya tidak terlibat jadi.. minta maaf.

"Saya berasa berat hati untuk tunggu keputusan oleh lembaga itu dan saya tidak cukup gembira dengan keputusan," katanya.

Beliau berkata "layanan" yang sama perlu diberi kepada Mohd Ali sebagaimana yang diberi kepada bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad, dahulu.

"Ada satu kes (di mana) Isa Samad, yang dikeluarkan kerana terbabit dalam politik wang tapi dia juga hilang kedudukannya sebagai menteri. Tapi di sini kita ada keputusan yang pelik.

"Dia didapati korup tapi dia kekal sebagai Ketua Menteri (Melaka). Sekarang kita ada seorang yang disahkan sebagai korup tapi parti menerima beliau sebagai Ketua Menteri.

"Jika anda buat keputusan, ia mesti konsisten. Dalam cara yang sama, ia perlu meliputi semua orang, dengan jumlah yang sama. Anda tak boleh berkata, baiklah, dia bunuh orang itu dia patut digantung. Dia bunuh orang lain tapi orang itu tidak penting, jadi lepaskan dia," katanya.

Antara lain, bekas Presiden UMNO itu turut tidak menolak kemungkinan berlakunya usul "undi percaya" di Parlimen bagi mengekalkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

"Ia ada kemungkinan. Ia tidak bertentangan dengan undang-undang. Undang-undang membenarkan bahawa anda mesti mendapat undi majoriti dalam Parlimen tapi ia tidak sebut dari parti mana.

"Menurut perlembagaan, seseorang yang akan dijadikan Perdana Menteri adalah seseorang yang akan mendapat sokongan majoriti di Parlimen. Jika anda lantik seseorang yang gagal untuk mendapat sokongan majoriti, ia akan terkeluar.

Dr Mahathir berkata dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa Presiden Umno mesti menjadi perdana menteri.

"Tiada peruntukan. Ia merupakan aturan kita," katanya.

Dr Mahathir berkata bahawa dari segi undang-undang, perdana menteri sekarang boleh meneruskan tugas sehingga pilihan raya umum akan datang jika beliau mahu.

"Tapi sudah tentu beliau akan berdepan dengan undi tidak percaya di Parlimen. Jika dia pergi ke Parlimen, dia (Abdullah) punya peluang yang baik untuk menang dengan sokongan pembangkang tapi dia akan menjadi PM pembangkang," katanya.

Dr Mahathir berkata pembangkang juga mempunyai undi di Parlimen dan jika pembangkang, bersama-sama dengan sebahagian anggota Barisan Nasional, bagi mengundi Abdullah, "ketika itu dia akan menjadi PM".

- BERNAMA
.

Perhimpunan Agung Umno tamat awal, hadapi tiga pilihan raya kecil

Perhimpunan Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac ini dijadualkan tamat lebih awal bagi membolehkan anggota parti membuat persiapan bagi penamaan calon tiga pilihan raya kecil keesokkan harinya.

Setiausaha Kerja Umno Brig Jen (B) Datuk Husainay Hashim berkata perhimpunan agung yang kebiasaannya tamat pada sebelah petang akan tamat pada tengah hari 28 Mac bagi membolehkan anggota parti pergi ke kawasan pilihan raya kecil terbabit.

"Perhimpunan akan tamat selepas Presiden parti menggulung perbahasan. Kita jangka semuanya akan selesai sekitar pukul 1 tengah hari," katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas perjalanan perhimpunan parti itu pada 24 hingga 28 Mac di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.

Hari penamaan calon bagi tiga pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah dan DUN Batang Ai, Sarawak ditetapkan serentak pada 29 Mac manakala pengundian pada 7 April.

Selain perhimpunan tamat lebih awal, Husainay berkata majlis Makan Malam Bersama Presiden yang kebiasaannya diadakan pada malam ketiga persidangan diganti dengan majlis makan malam "Jasamu Dikenang" pada 26 Mac.

"Majlis 'Jasamu Dikenang' ini bagi menghargai jasa dan sumbangan Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata Husainay merujuk kepada proses peralihan kuasa yang akan menyaksikan Abdullah menyerahkan tampuk pimpinan parti kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata perbahasan usul pada 27 Mac dijangka diteruskan hingga ke lewat malam dan majlis Jamuan Bersama Timbalan Presiden yang kebiasaannya dilangsungkan pada hari keempat persidangan tidak akan diadakan.

Menurut jurucakap Unit Media ibu pejabat Umno, Norazilah Abdul Munir Perhimpunan Agung Umno bermula dengan perasmian serentak perhimpunan agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Dewan Merdeka pada 24 Mac.

Majlis yang bermula pada pukul 8 malam itu akan disempurnakan Najib.

Keesokannya, ketiga-tiga sayap Umno akan mengadakan perhimpunan dan pemilihan masingmasing di Dewan Tun Dr Ismail bagi Wanita Umno, Dewan Tun Hussein Onn (Pemuda Umno) dan Dewan Merdeka (Puteri Umno). Pada sebelah malamnya, berlangsung mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Hari ketiga persidangan akan menyaksikan upacara menaikkan bendera Umno pada pukul 8 pagi, sebelum diikuti majlis perasmian Persidangan Agung Umno di Dewan Merdeka yang akan disempurnakan Presiden Umno pada pukul 9 pagi.

Majlis akan diteruskan dengan pemilihan jawatan tertinggi parti pada 11 pagi sebelum persidangan diteruskan dan disusuli dengan majlis makan malam "Jasamu Dikenang".

Pada 27 Mac, perbahasan usul oleh perwakilan akan diteruskan sehingga ke lewat malam, sebelum presiden parti menggulung perbahasan dan perhimpunan tamat keesokan harinya.

- BERNAMA
.

Tiada sabotaj…tiada kambing hitam

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditemui para wartawan selepas satu majlis di Putrajaya pagi Khamis menolak cakap-cakap yang dakwa adanya usaha untuk sabotaj Datuk Seri Mohd Ali Rustam dari bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Katanya Ketua Menteri Melaka itu tidak dijadikan kambing hitam dalam siasatan Lembaga Disiplin UMNO mengenai politik wang. Najib juga menyatakan keyakinan penuh pada kewibawaan Lembaga Disiplin UMNO.

Datuk Seri Najib Razak, yang juga timbalan presiden Umno, berkata lembaga itu bertindak berdasarkan maklumat dan naib presiden itu tidak dijadikan kambing korban dalam usaha membanteras gejala rasuah dalam UMNO.

"Kita tidak boleh persoalkan nawaitu (niat) lembaga disiplin dan perlu memberi kepercayaan kepadanya sekiranya kita nak bersihkan Umno," katanya.
.