Isu Muzakarah ini sudah terheret terlalu jauh. Sejak 'terbongkarnya' isu muzakarah UMNO - Pas ini, pelbagai lapisan masyarakat memberikan respon positif dan berharap ianya akan menghasilkan sesuatu yang boleh memberikan keuntungan kepada bangsa Melayu dan Islam. Harapan rakyat membuak-buak agar detik-detik bersejarah Muzakarah ini akan membawa pulangan yang mana nikmatnya bukan hanya untuk Islam malah turut memberi faedah kepada seluruh rakyat negara ini.
Para pimpinan dan ahli UMNO seluruh negara menyambut baik pertemuan antara Perdana Menteri dan pimpinan utama Pas. Mereka senada memberikan kepercayaan penuh kepada Presiden UMNO itu untuk mencari jalan merungkaikan halangan utama kepada perpaduan di kalangan umat Islam di negara ini. Bukan rahsia lagi masalah yang menjadi penghalang kepada perpecahan di kalangan umat Islam negara ini adalah politik kepartian.
Justeru inisiatif yang diambil oleh Perdana Menteri dengan mengajak pimpinan Pas bersemuka bagi membincangkan masalah umat adalah satu langkah terpuji yang tidak seharusnya disangsikan oleh sesiapa yang beragama Islam.
Pak Lah sebagai orang yang paling berkuasa di negara ini tanpa segan silu mengajak 'orang yang tiada kuasa apa-apa' untuk berbincang dari hati ke hati perihal kepentingan agama Islam mencerminkan keikhlasannya sebagai pemimpin unggul yang ikhlas untuk melihat bangsa dan agamanya terus diperkukuhkan.
Pada peringkat awal, Muzakarah ini telah menampakkan kemajuan yang ketara dengan kedua-dua pihak dilihat mengutamakan kepentingan agama melebihi kepentingan parti masing-masing. Bukankah itu merupakan tuntutan Islam ? Meletakkan kepentingan Islam melebihi segala-galanya.
Tahniah juga diucapkan kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang mewakili Presiden Pas mengetuai beberapa orang pimpinan Pas bermuzakarah dengan Perdana Menteri.
Namun setelah berita Muzakarah ini tersebar, dalam Pas telah terbahagi dua antara golongan menyokong dan menentang.
Presiden, Timbalan Presiden, Timbalan Mursyidul Am Pas dan Majlis Syura adalah antara mereka yang beranggapan perlunya Muzakarah dengan UMNO ini.
Tetapi Mursyidul Am Dato' Nik Aziz Nik Mat menentang keras idea muzakarah dengan UMNO ini sehingga menampakkan perbezaan pendapat yang jelas dengan Presiden Pas sendiri. Ini tidak menghairankan kerana penasihat-penasihat rapatnya seperti Dato' Husam Musa dan Dato' Kamaruddin Jaafar adalah dikenali umum sebagai 'pengkagum utama Anwar Ibrahim'.
Lantas untuk merungkai perkara ini, Presiden mengetuai beberapa orang pimpinan Tertinggi Pas terbang ke Kota Bharu mengadap Nik Aziz di JKR 10 untuk memberikan penjelasan lanjut. Hasilnya setelah diberi penerangan sejelas-jelasnya, Nik Aziz akhirnya akur dan menerima idea Muzakarah tersebut dengan sedikit 'pindaan istilah' - Muzakarah haruslah digantikan dengan istilah Muqabalah.. yang sebenarnya untuk mewujudkan alasan penolakan Nik Aziz sebelum ini.
Tidak mengapalah istilah Muzakarah atau pun Muqabalah, asalkan maksud pertemuan itu yang sebenarnya menjadi keutamaan, bukan istilahnya.
Masyarakat yang mulanya agak khuatir dengan masa depan Muzakarah ekoran penentangan keras Nik Aziz sebelum ini, mula merasa lega dan seluruh negara mendoakan agar Muzakarah ini akan berlangsung dengan jayanya apabila melihat Ulamak-ulamak Pas mula merestui tindakan Presiden mereka untuk bermuzakarah dengan UMNO.
Tetapi Pas hari ini tidak sama seperti zaman awal penubuhannya. Pimpinan Pas kini juga tidak seikhlas seperti zaman Dato' Asri menjadi Presidennya. Ramai pemimpin Pas terutama yang baru hendak meningkat naik lebih mengutamakan kuasa dan 'hasil apabila berkuasa' dengan terus menerus membantah Muzakarah berkenaan. Kata-kata Presiden dibantah sewenang-wenangnya. Pandangan Majlis Syura diketepi. Pada mereka apa pun yang terjadi, Pas tidak boleh sekali-kali berhubung dengan UMNO walaupun atas kadar perbincangan biasa.
Tindakan ini tidak lain dan tidak bukan bagi menjaga hati sekutu mereka, DAP dan PKR kerana Muzakarah UMNO - Pas dilihat hanya akan menyebabkan mereka berkecil hati. Malahan lebih dari itu, muzakarah itu dilihat hanya akan menggagalkan angan-angan mereka untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada 16 Mei sebagaimana yang diratib oleh Anwar Ibrahim.
Pendapat Presiden mereka sudah tidak ada nilai. Pandangan Majlis Syura Ulama mereka juga sudah tidak releven lagi dengan tuntutan semasa kerana keghairahan membentuk kerajaan Malaysia bersama PKR dan DAP. Ini diakui sendiri oleh Timbalan Mursyidul Am, Dato Dr Harun Din yang mengatakan ahli UMNO lebih berdisiplin berbanding ahli Pas kerana menghormati dan patuh arahan Presiden berbanding Pas yang lebih banyak mempersoalkan.
Kini setelah mesyuarat panas selama 5 jam, Majlis Tertinggi Pas memutuskan isu Muzakarah bersama UMNO selesai dan tidak akan diteruskan lagi. Keputusan ini bukan sahaja telah mengecewakan masyarakat keseluruhannya malahan telah memberikan kemenangan peribadi kepada Anwar Ibrahim yang pastinya menjadi orang paling bimbang jika Muzakarah ini menjadi kenyataan.
Nampaknya pengaruh Anwar dalam Pas semakin kuat sehingga menenggelamkan suara ulama Pas dan secara tidak langsung memaksa Presiden Pas akur dengan desakan 'dalaman' yang menentang Muzakarah tersebut.
Orang yang kelihatan paling kecewa dengan pembatalan Muzakarah ini adalah Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas. Kecewa bukan kerana beliau merupakan watak utama dalam usaha menjayakan muzakah sebelum ini, tetapi kecewa kerana perjuangan Pas sudah hilang arah tuju kerana ketamakan kuasa dan harta dunia.
Kekecewaan beliau diluahkan dalam ucapan perasmian Muktamar Pemuda Pas Pusat yang mempersoalkan kenapa Pas tidak boleh berbincang dengan UMNO yang sama bangsa dan sama agama, sedangkan Pas boleh saja bergabung dengan DAP yang dari dulu sehingga kini menentang Islam dan sampai bila-bila pun akan terus menentang Islam.
Kekecewaan beliau amatlah berasas. Masakan tidak, untuk muzakarah dengan UMNO, Nik Aziz meletakkan pelbagai syarat antaranya mesti melaksanakan Hukum Hudud terlebih dulu tetapi tidak kedengaran pula syarat sebegitu apabila Pas bekerjasama dengan DAP dan PKR. Mungkin draf pelaksanaan Hudud di Pulau Pinang, Perak dengan Selangor sudah siap dan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat agaknya.
Nik Aziz juga memberi alasan tidak boleh bekerjasama dengan UMNO kerana kononnya UMNO tidak mengamalkan Islam. Apakah DAP dan PKR mengamalkan Islam sebagaimana yang dikehendaki PAS sehingga menghalalkan pakatan PAS dengan kedua-dua parti berkenaan? Atau adakah mungkin Pas telah berbincang dengan Karpal Singh atau Lim Kit Siang untuk melaksanakan pentadbiran Islam di Pulau Pinang dan Perak?
Jika alasan bergabung dengan UMNO juga akan menyebabkan undang-undang Islam tidak dapat dilaksanakan, apakah setelah menguasai 5 negeri sejak pilihanraya umum lalu Pas sudah dapat melaksanakan undang-undang Islam di negeri-negeri berkenaan?
Kemuncak alasan yang diberikan Pas setelah gagal memikirkan alasan-alasan lain adalah jika bersama dengan UMNO tidak menepati tuntutan Islam.
Kita terima sajalah alasan itu kerana rupa-rupanya tuntutan Islam dalam Pas adalah bersama dengan DAP yang sampai kiamat menentang Islam, bukannya bersama dengan UMNO yang telah memperjuangkan kemerdekaan negara, menjaganya sejak merdeka dan meletakkan Islam di tempat tertinggi dalam negara ini.
Kalau itulah matlamat negara Islam Pas, maka wajar sangatlah Muzakarah dengan UMNO tidak diteruskan.
Negara Islam Malaysia yang UMNO jaga ini adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasminya tanpa ada kompromi dengan agama-agama lain walaupun tidak pernah menghalang penganut agama lain mengamalkan ajaran agama masing-masing.
Negara Islam Malaysia yang UMNO jaga ini mengangkat institusi Islam seperti masjid dan surau melebihi tempat-tempat ibadat agama lain, bukan menyama-tarafkan kuil-kuil, gereja, tokong dengan masjid apabila memberikan mereka kebenaran membesarkan rumah-rumah ibadat tanpa had seperti keputusan kerajaan baru Selangor apabila berkuasa.
Negara Islam Malaysia yang UMNO jaga ini tidak akan sekali-kali membenarkan penternakan babi dikomersilkan, cukup sekadar memenuhi keperluan setempat masyarakat bukan Islam berbanding negara Islam gabungan PAS-DAP-PKR yang telah memperuntukkan RM100 juta duit rakyat untuk membina Pusat Penternakan Babi besar-besaran di Sepang. Apakah negara Islam Pas mahu menjadi pengeksport babi terbesar di dunia?
Negara Islam Malaysia yang UMNO jaga ini menyediakan masjid-masjid dengan pelbagai kemudahan agar dapat dimanfaatkan oleh umat, berbanding kerajaan Islam gabungan PAS-DAP-PKR di Selangor yang mana di bebarapa kawasan meminta volume azan diperlahankan dengan alasan mengganggu ketenteraman orang bukan Islam.
Isu Muzakarah rupanya tidak habis begitu sahaja. Ia dibincangkan dengan panjang lebar dalam Muktamar Pas Pusat yang berakhir semalam.
Antara Resolusinya adalah memberikan kepercayaan kepada barisan kepimpinan Pas untuk meneruskan Muzakarah dengan UMNO. Pulak dah. Kejap boleh, kejap tak boleh. Kejap perlu, kejap tak perlu. Rakyat pening memikirkan keputusan Pas yang macam biskut ini. Ternyata Pas sendiri masih keliru dengan pendiriannya sama ada untuk terus istiqamah memperjuangkan Islam atau duduk sekandang dengan DAP dan PKR.
Kepada Pimpinan dan pengikut Pas, usahlah bersandiwara dengan rakyat di sebalik kesediaan kembali bermuzakarah dengan UMNO. Berpeganglah dengan keputusan yang dibuat sebelum ini iaitu tidak akan ada lagi Muzakarah dengan UMNO.
Teruskanlah Muzakarah dan bergabung dengan DAP dan PKR kerana mereka lebih menepati syariat Islam berbanding UMNO. Teruslah Muqabalah dengan DAP untuk membina negara Islam dengan acuan mereka tiga beradik, PAS-DAP-PKR.
.