SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

17 August 2008

Muktamar PAS ‘ pecah kebisuan’

Oleh: BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ

Sejak tsunami pilihanraya umum lalu lagi, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim beria-ia benar pukul canang menyatakan beliau bakal menjadi Perdana Menteri. Bermula dengan angan-angannya pada bulan April, membawalah kepada Mei dan Jun dan terakhirnya 16 September 2008, mantan Timbalan Perdana Menteri itu bertegas menyatakan beliau tetap akan menjadi Perdana Menteri.

Malah, beliau sudahpun menjanjikan pelbagai tawaran termasuk menurunkan harga minyak sehari selepas memegang tampuk pemerintahan. Pilihanraya kecil bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh adalah landasan terakhir bagi membolehkannya bergelar Yang Berhormat dan kemudiannya dipilih oleh ahli-ahli parlimen lain, termasuk 31 orang yang didakwa akan melompat dari Barisan Nasional (BN) menjadi Perdana Menteri.

Demikianlah senario yang dilihat umum sebelum berlangsungnya Muktamar Agung PAS di Ipoh Jumaat. Sebelum itu, Dewan Pemuda dan Muslihatnya pada muktamar masing-masing telah menzahirkan suara-suara yang tegas. Bermula daripada perwakilan Pemudanya, hinggalah ke perwakilan umum, semalam, ahli-ahli dan pemimpin PAS senada menyatakan mereka mahu Presiden parti, Datuk Seri Hadi Awang diangkat menjadi Perdana Menteri kerana kewibawaan dan perjuangannya.

Kata mereka, selaku ulama, Hadi adalah lebih layak berbanding dengan Anwar.

Selama ini, PAS tidak pernah bersuara sepertimana Anwar berkokok di merata tempat. Tidak berkokok tidak bermakna tidak berminat, itulah yang ditonjolkan oleh PAS melalui Muktamarnya di Ipoh kali ini.

Lagipun, menurut parti itu, Anwar atau sesiapapun tidak pernah berbincang dan menyetujui Anwar menjadi Perdana Menteri jikapun berlaku sebarang perubahan kuasa pada bila-bila masa.

Adalah mustahil, ketika bermati-matian dalam perjuangan politik, PAS tidak berminat memegang tampuk pemerintahan. Lantaran itu, ia tidak mendabik dada tentang kemampuan dan kebolehan parti dan pemimpinnya. PAS lebih berpegang kepada semangat tunggu dan lihat tetapi pada waktu yang sama bekerja keras mencari kejayaan dan melonjak ke hadapan.

Kenapa muktamar di Ipoh menjadi ‘pemecah kebisuan’ para penyokong dan pemimpin PAS? Sebabnya agak mudah iaitu mereka tidak mahu berkokok siang dan malam kerana ‘ayam jaguh’ sebenarnya tidak begitu sifatnya. Yang berbunyi sepanjang masa itu adalah ‘tin kosong’

Muktamar atau perhimpunan agung adalah landasan yang betul untuk menyatakan hasrat dan matlamat. Namun, apabila PAS telah menyatakan hasratnya dan dibuat pula pada saat-saat kempen pilihanraya Permatang Pauh sedang bermula, adakah PKR dan Anwar sendiri faham maksud tersirat yang hendak disampaikan oleh PAS?

Para perwakilan ke muktamar itu sudahpun meleraikan perasaan mereka iaitu jika pakatan pembangkang meminggirkan perjuangan Islam, eloklah pakatan itu sendiri dipinggirkan.

Jika amaran itu ditujukan kepada DAP, memanglah semua orang mudah memahaminya kerana parti itu memang tidak akan menerima Islam. Peringatan itu sebenarnya ditujukan kepada PKR yang dilihat oleh semua pihak termasuk ahli-ahlinya sendiri tidak jelas matlamat dan landasan perjuangannya.

Parti itu bermula dengan hasrat menegakkan keadilan kononnya untuk membela Anwar yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya menghadapi pelbagai masalah perundangan yang berkesudahan dengan beliau duduk di rumah rehat Sungai Buloh.

Adakah masih sedemikian hasrat parti itu? Entahlah, tetapi yang menarik kini ialah PAS juga nampaknya seperti tertunggu-tunggu juga tarikh 16 September 2008 – tarikh Anwar mendakwa akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri.

Itu hasrat Anwar. Beliau sudah pujuk puluhan orang ahli parlimen BN untuk mencapai matlamat itu. Hasrat PAS pun sudah dijelaskan. Bagaimana pula hasrat baki ahli parlimen BN yang tidak melompat untuk menyokong Anwar?

Wakil-wakil BN atau sekurang-kurangnya UMNO yang tidak menyeberang, mungkin boleh fikir cara lain. Jika benar ada rakan-rakan yang akan meninggalkan BN mereka tentulah boleh berjabat tangan dengan rakan-rakan dalam PAS pula.

Dengan keadaan ini, tidaklah mudah sebenarnya untuk Anwar mencapai cita-citanya. Ada yang masuk dan ada juga yang boleh keluar, jadi jumlah ahli parlimen yang bersama-samanya tidak akan kekal seperti yang beliau hitung.

Dalam masa PKR sibuk berkempen di Permatang Pauh kini, parti itu juga harus mengukuhkan ‘pematangnya’ di kawasan-kawasan lain. Riak-riak yang dipamerkan oleh PAS masa kini boleh membawa maksud yang berbagai-bagai.

Anwar mungkin merasa selesa kembali bertanding di kawasan lamanya yang selama ini ditampung oleh isteri tersayang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Namun, menang atau kalah beliau di kerusi tersebut belum boleh dijadikan tiket untuk menjadi Perdana Menteri kerana Pas juga sudah bersiap dengan hasratnya dan hasrat itu pula tidak mungkin hasrat semata-mata. Pastilah hasrat itu juga disertai perancangan dan strategi.

Para pengundi di Permatang Pauh yang selama empat penggal lalu memberikan sokongan kepada Wan Azizah, pasti bukan semuanya berpaut kepada PKR. Sebaliknya, ramai adalah orang PAS. Kali ini mereka boleh mencorakkan atau menjadi penentu sama ada Anwar boleh menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya.

Jika mereka menyekat kemaraan Anwar di Permatang Pauh, terkuburlah hasrat penasihat PKR itu! Akan cerahlah peluang PAS……..! - 16/8/2008
.