SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

27 June 2008

SAPP diberi 30 hari jawab surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Parti Maju Sabah (SAPP) supaya menjelaskan hasrat kepemimpinan parti itu untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata SAPP mempunyai masa 30 hari bagi membuat penjelasan dan sebarang perkembangan baru dalam tempoh berkenaan turut menjadi asas kepada Dewan Tertinggi BN menentukan sama ada parti itu hanya diberi amaran, digantung atau dipecat.
.
“Memandangkan keputusan SAPP itu adalah bertentangan dengan kepentingan BN selain menyentuh soal integriti dan disiplin BN, maka amat wajar keputusan memberi notis 30 hari kepada parti itu untuk menjawab pertuduhan terbabit.
.
“Apa-apa bentuk tindakan disiplin akan ditentukan selepas tempoh 30 hari. Ini adalah kerana kita mahu proses ini betul dari segi prosedur dan perundangan yang diamalkan dalam parti kita. Mereka akan diberi peluang membela diri sebelum keputusan muktamad dibuat.
.
“Jelas, apa yang SAPP lakukan ini bertentangan dengan disiplin dan permuafakatan BN. Kita tunggu apa jawapan mereka. Tak tahu apa yang dijangka berlaku, kita harapkan yang terbaik tetapi bersedia menghadapi yang terburuk,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu, di sini, malam tadi. Beliau memaklumkan, Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, meninggalkan bilik mesyuarat apabila isu SAPP dibincangkan kerana dirinya terbabit secara langsung dengan perkara itu dan berpendapat tidak wajar berada dalam bilik mesyuarat ketika keputusan dibuat.
.
Najib selaku Timbalan Pengerusi BN, mempengerusikan sesi mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang membincangkan tindakan terhadap SAPP. Pada 20 Jun lalu, majlis tertinggi SAPP memutuskan untuk menyokong supaya usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Abdullah, selaku Pengerusi BN, dikemukakan di Dewan Rakyat. Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan parti itu hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri dan dua Ahli Parlimennya, Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau), akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu tetapi ia tidak berlaku.
.
Menyusuli perkembangan itu, mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pengurusan BN yang dipengerusikan Najib Selasa lalu menggariskan beberapa cadangan kepada Dewan Tertinggi BN mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap SAPP.
.
Kata Najib, mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum itu tidak dapat membuat keputusan kerana Dewan tertinggi SAPP tidak lagi membuat keputusan berhubung perkara itu. Bagaimanapun, tegas beliau, kenyataan terbaru Yong bahawa mereka sanggup menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN atau pun mereka sendiri membawa usul itu adalah jelas tindakan serius yang boleh membawa mudarat kepada kepentingan BN.
.
Najib juga menafikan BN tidak tegas dalam tindakan terhadap SAPP dan terlalu banyak memberi ruang, sebaliknya menjelaskan bahawa ia dilakukan mengikut prosedur kerana setiap individu ada hak membela diri.
.
“Bukan soal tak tegas tapi ikut prosedur. Dalam Umno pun kalau kita pecat sesiapa dia diberi peluang bela diri sewaktu apa-apa tindakan disiplin, surat tunjuk sebab dikeluarkan. “Apatah lagi bila kita berurusan dengan parti, lebih-lebih lagi SAPP yang ada ramai ahli. Kalau individu kita boleh keluarkan surat tunjuk sebab kenapa parti tak boleh pula,” katanya. Najib berkata, setakat ini, BN tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pemimpin SAPP selain kenyataan rasmi secara terbuka oleh pemimpinnya menerusi media 20 Jun lalu. SAPP tidak dijemput menghadiri semua mesyuarat BN yang membincangkan isu membabitkannya.
.
Sementara itu, Yong, ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan sudah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu tetapi enggan mengulas lanjut selagi belum menerima surat tunjuk sebab daripada Dewan Tertinggi BN.
.