SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

03 July 2008

LIWAT MELIWAT KERANA KUASA?

dipetik dari Blog Ruhanie Ahmad

Banyak pihak telah memprovokasi saya untuk membuat posting mengenai tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya mendiamkan diri buat beberapa ketika kerana mengkaji dan menyaksikan seluruh babak perkembangan harian mengenainya.

Saya bertindak begini kerana pada saat dan ketika ini wujud terlalu banyak teori konspirasi bertebaran di Malaysia - mengenai pelbagai hal, dengan aneka motif, membabitkan beberapa personaliti besar, segala-galanya kerana kuasa.

Tetapi, dalam diam saya saksikan betapa heronya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana menjamin keselamatan Anwar tidak akan tergugat. Dalam diam saya saksikan betapa kesiannya Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa menafikan pembabitannya dalam kontroversi liwat ini. Dalam diam saya saksikan betapa ghairahnya Datuk Seri Syed Hamid Albar membuat kenyataan demi kenyataan juga mengenai kes yang sama. Dalam diam juga saya saksikan betapa Amerika Syarikat cuba campur tangan dalam kelam-kabut ini.

Persada Kuasa

Maka, sikap hero Abdullah dalam perkembangan ini pun seolah-olah disanjung dan dipuji. Maka, seolah-olah terlupalah rakyat jelata akan soal Abdullah yang sepatutnya telah mengundurkan diri dari persada kuasa negara dan siasah UMNO sesudah PRU12. Maka, seolah-olah terlupalah rakyat jelata akan kedolak-dalikan Abdullah dalam soal peralihan kuasa kepada Najib yang indah khabar dari rupa. Maka, seolah-olah terlupalah rakyat jelata kepada tindakan-tindakan adhok kerajaan Abdullah dalam menangani kenaikan harga bahan bakar kebelakangan ini.

Pada waktu yang sama, seolah-olah terkapai-kapailah Najib dihambat penafian demi penafian yang sememangnya mesti beliau lakukan demi survival dan kerjaya siasahnya yang sedang diharu-birukan oleh kelompok-kelompok tertentu yang tidak mahu beliau mewarisi kuasa daripada Abdullah. Maka, terkapai-kapailah Anwar untuk menafikan tuduhan berkenaan yang dibuat oleh seorang pemuda berusia 23 tahun. Maka, hebat dan ghairah sungguhlah “adegan wayang” membelasah dan menyesah AS dilakukan oleh banyak pihak. [Moga-moga ini jadi pengajaran kepada AS supaya jangan sekali-kali masuk campur urusan dalaman kita.]

Bagaimanapun, dalam diam juga saya dapati seolah-olah wujud satu common denominator mengenai Najib dan Anwar dalam senario ini. Kedua-duanya jadi defensif. Najib jadi defensif kerana telah ditohmah sebagai pihak yang mendalangi perkembangan ini. Anwar pula jadi defensif dalam usahanya untuk menafikan tuduhan ke atas dirinya sendiri.

Siapakah yang membuat strategi supaya Najib dan Anwar jadi defensif sedemikian rupa? Adakah ianya pihak yang tidak mahu Najib mewarisi kuasa daripada Abdullah? Adakah ianya pihak yang cuba menyekat Najib daripada menandingi Abdullah untuk jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti Disember 2008 ini? Adakah ianya pihak yang cuba menghalang Anwar daripada menggugat masa depan politik Abdullah menerusi pelbagai cara dan pendekatan? Adakah ianya pihak yang cuba melakukan psywar untuk mencipta kesan reversed psychology yang memihak kepada Anwar? Siapakah tangan ghaib sebenarnya di sebalik percaturan ini?

Proksi Dan Boneka

Ketika ini saya tidak terdaya untuk memberikan jawapan kepada seluruh persoalan di atas. Tetapi, mustahilkah jika matlamat akhir kepada segala-galanya ini adalah mengenai kuasa? Fikirkanlah sendiri, siapakah antara pemain utama dalam peraturan kuasa di Malaysia mutakhir ini? Siapakah individu utama di sebalik takhta dan kuasa selama ini? Siapakah yang tergamak meliwat politik dan masa depan siapa semata-mata kerana kuasa? Siapakah antara individu yang didakwa bermain kuasa secara proksi? Siapakah antara individu yang dikatakan melaksanakan kuasa secara boneka? Siapakah individu yang sanggup menghalalkan apa jua cara kerana kuasa? Siapakah yang telah tergamak berbohong kerana kuasa?

Berapa ramai antara kita sudi menganalisa situasi mutakhir ini secara tajam dan rasional? Berapa ramai di kalangan kita sedia melihat babak-babak sarkas media mutakhir ini dan sanggup mempersoalkan mengapakah ianya jadi sebegitu ghairahnya? Berapa ramai antara kita sanggup merungkai pelbagai kemungkinan di sebalik kegawatan suasana ini?

Berapa ramaikah antara kita yang berani menganggap bahawa senario mutakhir ini adalah satu diversion, satu operasi bendera palsu, satu kaedah untuk melalaikan kita semua daripada memfokus kepada soal politik yang amat mendesak untuk diselesaikan dengan segera? Berapa ramaikah juga antara kita yang berani mengatakan bahawa apa yang sedang berlaku sekarang adalah tindakan terancang untuk memesongkan kita semua daripada soal kesengsaraan hidup yang kita alami akibat kenaikan harga minyak yang nampaknya ditangani oleh pihak berkuasa menerusi kaedah yang kurang berkesan dan kurang bijaksana?

Kembali Fokus

Lantaran itu, wajarlah kita kembali fokus kepada masalah semasa kita yang lebih penting – menyelesaikan krisis kepimpinan dan keyakinan yang membabitkan Abdullah dan mengatasi masalah kesulitan hidup yang juga wujud dalam era kepimpinan Abdullah. Lantas, wajarlah kita serahkan soal liwat meliwat ini kepada kebijaksanaan polis untuk menyiasatnya secara rapi dan professional.

Oleh itu, kalau ada pihak yang hari ini menyindir kononnya saya mendimkan diri dalam hal ini kerana sedang bertapa di sebuah gua, tulisan ini adalah hasil pertapaan minda saya kebelakangan ini. Saya serahkan tulisan ini untuk diadili oleh masa dan keadaan.

Kini, kita tunggu dan kita lihat, siapakah yang akhirnya akan beroleh manfaat paling besar daripada kisah liwat meliwat mutakhir ini. Dan, tanyalah juga kepada diri sendiri, adakah senario mutakhir ini juga merupakan mukadimah kepada kemungkinan Malaysia akan dilanggar todak? Fikir-fikirkanlah!