SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

25 August 2008

Rencana : Berkubur di kubu sendiri

dipetik dari utusan_online

.
BERDASARKAN kepada kehebatan dan kehangatan kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh serta isu-isu yang timbul sejak hari penamaan calon 16 Ogos lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan yang tepat untuk bertanding di kawasan itu menggantikan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Jika Anwar bertanding di kawasan lain seperti Bandar Tun Razak atau Kuala Kangsar, di atas kertas, beliau sudah pun tewas.

Sebelum ini Anwar diuar-uarkan mahu bertanding di Bandar Tun Razak di kerusi Parlimen yang kini dipegang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang memenanginya pada 8 Mac lalu hanya dengan majoriti 2,515 undi.

Sebelum Mahkamah Pilihan Raya membuat keputusan mengenai petisyen pilihan raya Parlimen Kuala Kangsar bulan lalu, beliau juga mengacah-acah kononnya ingin mencabar Tan Sri Rafidah Aziz daripada Barisan Nasional (BN) yang memenangi Parlimen Kuala Kangsar dengan kelebihan 1,458 undi.

Di Permatang Pauh, angin politik sedang hebat bertiup dalam kempen yang sering berlangsung dalam hujan gerimis. Jangkaan Anwar akan menang mudah pada hari pengundian 26 Ogos ini nampaknya mungkin tidak berlaku. Lawannya, Datuk Arif Shah Omar Shah daripada BN memberikan tentangan sengit. Malah, ada keyakinan di kalangan para pemimpin BN bahawa keajaiban mungkin terbit di Permatang Pauh.

Ketika majlis-majlis Anwar bertemu pengundi Cina disusun oleh para pemimpin DAP yang kini menguasai kerajaan Pulau Pinang, Arif Shah yang mendapat sokongan para pemimpin MCA dan Gerakan diberi sambutan yang lebih hebat oleh orang Cina di Permatang Pauh kerana beliau - dengan keupayaannya bercakap dalam dialek Mandarin, Kantonis dan Hokkien - boleh berkomunikasi dengan lebih baik dan dapat menyelami perasaan para pengundi Cina.

Ada tiga kumpulan pengundi yang akan menentukan masa depan politik Anwar. Pertama, pengundi muda; kedua, pengundi bukan Melayu khususnya orang Cina; dan ketiga, para penyokong Pas yang mengundi di Permatang Pauh. Undi mereka banyak membantu kemenangan isteri Anwar, Wan Azizah, pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Dalam pilihan raya itu, Wan Azizah yang memperoleh 30,338 undi mengalahkan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail yang cuma mendapat 16,950 undi. Majoriti Wan Azizah ialah 13,338.

Bagaimanapun, keputusan di peringkat pilihan raya tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Permatang Pauh memperlihatkan pola yang sedikit berlainan. Di tiga DUN di kawasan itu iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti, calon-calon BN memperoleh undi terkumpul yang lebih besar daripada jumlah undi yang diperoleh oleh Pirdaus di peringkat Parlimen.

Calon-calon BN di tiga DUN itu iaitu Arif Shah (Seberang Jaya), Ahmad Sahar Shuib (Permatang Pasir) dan Datuk Abdul Jalil Abdul Majid (Penanti) dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu mengumpulkan sebanyak 20,093 undi daripada keseluruhan 47,305 orang yang keluar mengundi.

Di peringkat DUN, calon-calon BN mendapat 20,093 undi manakala tiga calon parti pembangkang daripada PKR dan Pas mendapat undi terkumpul 27,212.

Ini memberikan kelebihan majoriti parti pembangkang di peringkat DUN di Permatang Pauh cuma kira-kira 7,119 undi. Mengapa wujud perbezaan besar antara undi majoriti yang diperoleh oleh Wan Azizah (13,338) di peringkat Parlimen dengan undi majoriti tiga calon pembangkang di peringkat DUN (7,119) amat menarik untuk dianalisis.

Perbezaan undiPerbezaan antara 13,338 dan 7,119 menunjukkan sejumlah 6,219 pengundi yang memilih Wan Azizah sebagai Ahli Parlimen pada 8 Mac lalu, di peringkat DUN mereka mengundi calon-calon BN.
.
Di atas kertas, jika 20,093 undi kepada calon BN di peringkat DUN itu dijadikan panduan, BN memerlukan hanya sekitar 3,700 undi tambahan untuk memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh dan mencipta sejarah menewaskan Anwar di kubunya sendiri.

Di kawasan Permatang Pauh, pengundi Melayu membentuk kira-kira 68 peratus daripada keseluruhan 58,459 pengundi berdaftar. Selebihnya 25 peratus ialah pengundi kaum Cina, 6.7 peratus pengundi India dan sebanyak 228 orang pengundi kaum 'lain-lain'. Di kawasan itu juga terdapat hampir 700 orang pengundi pos terdiri daripada anggota polis dan tentera.

Berdasar pilihan raya 8 Mac lalu, Seberang Jaya ialah kubu kuat BN manakala Penanti yang dimenangi oleh PKR merupakan kawasan pengaruh PKR. Permatang Pasir pula menjadi benteng Pas dengan calon Pas di kawasan itu, Mohd. Hamdan Abdul Rahman (memperoleh 11,004 undi) menewaskan calon BN, Ahmad Sahar Shuib yang cuma mendapat 5,571.

Kedudukan Pas memang kukuh di Permatang Pasir. Sekiranya para pemimpin BN dapat menyusun kempen mereka dengan baik dan berpeluang untuk menyampaikan mesej-mesej kepada para penyokong Pas dan pengundi atas pagar di kawasan itu serta menyedarkan mereka tentang nasib agama dan bangsa, tidak mustahil Anwar boleh tewas. Tanpa undi para penyokong Pas, Anwar akan belayar ke lautan politik yang tiada daratan.

Selain para penyokong Pas, satu lagi faktor dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh ialah pengundi muda. Pada pilihan raya umum 2004, peratusan undi pengundi muda di bawah 40 tahun yang diterima oleh BN di ketiga-ketiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh adalah tinggi.

Bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, bilangan pengundi muda yang menyokong BN merosot dengan mendadak iaitu 4,166 di Seberang Jaya, 2,507 di Permatang Pasir dan 2,157 di Penanti. Dalam pilihan raya itu parti pembangkang mendapat sokongan besar daripada pengundi muda iaitu 4,641 di Seberang jaya, 5,456 di Permatang Pasir dan 3,210 di Penanti.

Memujuk para pengundi muda supaya berfikir dengan rasional, jangan mempertaruhkan kepentingan nasional dan sentiasa memikirkan masa depan bangsa menjadi cabaran besar kepada jurukempen BN.

Isu lain yang dihadapi oleh jentera BN dan PKR di Permatang Pauh sekarang - yang juga mungkin menyakitkan kepala Anwar dan membuatkannya berdebar-debar - ialah apakah mood pengundi di Permatang Pauh dalam pilihan raya 8 Mac 2008 masih sama atau ia telah bertukar.
Sekiranya mood itu masih serupa, Anwar akan selamat.

Namun, kalau mood tersebut telah berubah - dan jika para pengundi di kawasan itu mula yakin bahawa hukuman mereka ke atas BN pada 8 Mac lalu mencukupi kerana mesejnya telah difahami, sebab sudah muncul kesedaran daripada kerajaan BN manakala UMNO memperlihatkan ia sedia bersatu tenaga menentang musuh bersama - politik Anwar mungkin dikebumikan di tanah kelahirannya sendiri pada 26 Ogos ini.

Pada hari Khamis lalu, ketika berkempen di kawasan Semilang Pantai di Seberang Jaya, Anwar dalam ucapannya merayu supaya beliau diberi peluang. Katanya, apabila beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh nanti, beliau akan membawa ahli- ahli Parlimen BN melompat ke pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan baru di Malaysia.

"Beri tiga bulan pada Pakatan Rakyat, kita akan selesaikan masalah-masalah Malaysia," janji bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam ucapannya yang digelapi berita penangkapan dua Exco PKR di Perak sehari sebelum itu atas dakwaan terbabit dengan rasuah wang dan seks, iaitu lima bulan selepas PKR bersama DAP dan Pas menguasai kerajaan negeri Perak.

Anwar ialah seorang yang pandai berdrama dan kadangkala kepetahannya menyembunyikan sesetengah fakta. Kepintarannya bermain kata-kata tidak dapat ditandingi oleh Arif Shah yang terkenal dengan komitmennya untuk membantu penduduk kawasan yang diwakilinya. Isu harga minyak, Bajet 2009 dan kelembutan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi antara bahan kempen Anwar.

Anwar juga menyerang kredibiliti Polis Diraja Malaysia, memperlekehkan Datuk Seri Najib Tun Razak selain mendakwa rakan- rakannya di Sabah 'akan melompat' menyertai Pakatan Rakyat apabila beliau kembali ke Parlimen.

Beliau tidak henti-henti membuat dakwaan itu walaupun pada malam yang sama beberapa pemimpin BN Sabah termasuk Ketua Menterinya Datuk Seri Musa Aman, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Pairin Kitingan dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup turut berkempen membantu Arif Shah di Kampung Bagan Serai, kira-kira dua kilometer dari Semilang Pantai.

Dalam nada geram, Musa mengingatkan pengundi Permatang Pauh mengenai kelicikan Anwar. "Jangan anggap orang Sabah bodoh! Jangan dengar cakap-cakap manis Anwar… cakap-cakap kononnya orang Sabah mahu lompat itu semua tidak betul, itu bohong, ia cakap bagi senang-senang hati saja."

PembangunanMalah, Musa menasihatkan penduduk Permatang Pauh tentang betapa beruntungnya dari segi pembangunan kalau mereka memilih Arif Shah. Katanya, Arif Shah ketika ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya.

"Di DUN, beliau ialah wakil rakyat pembangkang. Tidak banyak yang boleh dilakukannya kerana kerajaan Pulau Pinang dikuasai oleh parti lain, tetapi kalau YB Arif Shah dapat jadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, beliau mewakili kerajaan Persekutuan. Ketika itu beliau boleh meminta peruntukan Persekutuan dibawa ke Permatang Pauh. Orang Permatang Pauh akan beruntung."

Para pengundi Permatang Pauh tentulah menimbangkan semua hujah ini. Dalam pilihan raya, para pengundi adalah raja dan mereka biasanya menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan bijaksana. Perkara yang sama juga berlaku di Permatang Pauh.

Anwar boleh berkempen dengan mendakwa dirinya teraniaya, Arif Shah juga boleh berharap dia mencipta sejarah menjadi 'Monster Killer', bukan setakat 'Giant Killer'. Tetapi akhirnya pada 26 Ogos ini nasib mereka tertakluk kepada apa yang para pengundi rasakan baik untuk politik.

Arif Shah Omar Shah ialah calon underdog yang menentang Anwar Ibrahim yang hebat - yang nasibnya menjadi sebutan di bibir Al Gore, pemimpin Amerika Syarikat yang secara terbuka menyokong hak-hak golongan homoseksual, dan Gus Dur, bekas Presiden Indonesia yang gambarnya meriba seorang wanita muda masih tidak dapat dilupakan oleh sebahagian besar orang Islam di Malaysia.

Menjelang pilihan raya kecil 26 Ogos ini, Anwar membawa bersamanya ke Permatang Pauh satu beban politik yang terlalu berat yang di dunia ini hanya beliau dapat mengusungnya. Dalam satu upacara mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan yang menjanjikan laknat Tuhan hingga ke hari kiamat, bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah menuduh Anwar meliwatnya.

Bagi seorang yang sentiasa mencipta strategi politik yang tidak dapat diimaginasikan, termasuk dengan beraninya sanggup bersembunyi di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu iaitu sehari selepas Mohd. Saiful membuat laporan polis dia diliwat oleh Anwar, Penasihat PKR itu tidak garang dalam kes-kes tertentu. Dengan sumpah laknat Mohd. Saiful membayangi pertimbangan para pengundi, Anwar menunggu tarikh 26 Ogos ini dengan penuh debaran.

Perbuatan beliau melakukan tindakan yang tidak terfikirkan seperti bersembunyi di Kedutaan Turki tetapi pada masa yang sama tidak berani bersumpah menafikan tuduhan Mohd. Saiful tentunya diambil kira oleh para pengundi yang menyedari bahawa sebagai manusia dan orang Islam, bagi mereka, kebenaran adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli dalam politik.

Permatang Pauh akan menghakimi Anwar. Permatang Pauh akan menentukan masa depan Arif Shah.

Sesuatu yang pasti ialah keputusan pilihan raya kecil itu akan menjadi turning point kepada politik orang Melayu dan negara. Prospek sama ada percakaran politik Melayu akan berterusan selama beberapa tahun lagi atau perbalahan dimatikan serta-merta bergantung kepada tekad para pengundi di Permatang Pauh.

Jika mereka memilih Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, orang Melayu di Permatang Pauh dan di luar Permatang Pauh harus bersedia memakai perisai untuk menghadapi pertempuran politik seterusnya - satu senario yang tentunya disukai oleh kawan- kawan Anwar dalam sesetengah parti cauvinis yang anti ketuanan Melayu.

Dengan perisai itulah, yang memberatkan perjalanan mereka, orang Melayu bakal menghadapi perang saudara dalam politik yang terus dicirikan dengan kebencian, pertelingkahan yang tidak produktif dan mungkin juga anarkisme.

Nasib politik orang Melayu dan bukan Melayu selepas 26 Ogos ini nampaknya telah disiapkan. Ia ditentukan oleh takdir politik lelaki berusia 61 tahun bernama Anwar Ibrahim.
.