SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

26 May 2008

Malaysia Perlu Buat Persediaan Untuk Laksana Keputusan ICJ Dengan Segera - PM

Malaysia perlu membuat segala persediaan untuk memastikan apa jua yang perlu dilaksanakan ekoran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) dan Terumbu Karang Selatin (South Ledge) dengan segera, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga perlu dengan cepat menentukan garis sempadan Terumbu Karang Selatin di dalam kawasan perairan Malaysia.

“Dengan itu, menentukan South Ledge benar-benar di kawasan perairan kita, maka tentulah nanti pulau itu akan dianggap sebagai pulau milik Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei Mengenai Masa Depan Asia ke-14.

Apabila ditanya sama ada Malaysia yakin akan memiliki Terumbu Karang itu, Perdana Menteri berkata: “Apa yang saya dimaklumkan, South Ledge bukan jauh sangat dari Middle Rocks. Hanya 1.7 kilometer. Ia berada di dalam kawasan perairan kita.”

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan ICJ di The Hague yang menetapkan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Malaysia memiliki Terumbu Karang Tengah, manakala Terumbu Karang Selatan pula adalah milik negara di mana terletaknya perairan wilayah.

Abdullah yang sedih dengan keputusan ICJ yang menetapkan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kerajaan serta rakyat Malaysia kepada semua pegawai dan pakar Malaysia yang bertungkus lumus membuat persediaan untuk membawa kes itu ke mahkamah serta terlibat dalam perbicaraan yang memakan masa begitu lama.

“Saya tahu mereka telah berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.

Abdullah turut menasihati rakyat supaya memastikan mengelak keadaan yang boleh membawa kepada apa-apa perbalahan atau situasi yang boleh menimbulkan kesusahan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata Malaysia memahami bahawa keputusan ICJ yang dibuat itu cukup jelas berdasarkan fakta-fakta.

“Menang pun tak menang semua, kalah pun tak kalah semua,” katanya.

Beliau berkata: ” Walaupun kita berasa sedih kerana tidak berjaya, kita mesti sedar bahawa keputusan itu adalah keputusan yang dibuat oleh mahkamah antarabangsa. Keadilan mahkamah itu kita perlu akui.”

“Kita perlu bersyukur Middle Rocks adalah milik kita. Yang perlu ditentukan ialah South Ledge,” katanya.

Beliau berharap pegawai dari kedua-dua negara serta pegawai pemetaan dapat menentukannya mengikut undang-undang yang ada.

Di peringkat menteri, Abdullah berkata beliau tidak perlu berjumpa dengan pemimpin Singapura mengenai kes ini, “tetapi Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim akan berjumpa rakan sejawatannya di Singapura untuk menentukan tindakan yang akan diambil oleh kedua-dua pihak.”

Abdullah berkata beliau akan menghadap Sultan Johor mengenai keputusan ini, dan juga Dr Rais, yang akan menerangkan dengan lebih terperinci mengenainya.

– BERNAMA