SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

01 July 2008

Amerika tidak perlu campur tangan dalam hal ehwal Malaysia, kata Ali Rustam

MELAKA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengingatkan Amerika Syarikat agar tidak campur tangan dalam hal ehwal Malaysia mengenai dakwaan liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Amerika Syarikat tidak boleh mencampuri hal ehwal Malaysia yang merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat.

"Kita (Malaysia) sebuah negara yang merdeka, bebas dan demokrasi, kita bukan negara yang dijajah oleh Amerika Syarikat, jadi tidak ada sebab mereka hendak beri amaran kata dua kepada kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pembekalan beras super tempatan 15 peratus hancur oleh Pemasaran Melaka Sdn Berhad kepada peruncit di sini, hari ini.

Mohd Ali mengulas kenyataan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey semalam yang menyatakan Amerika Syarikat menentang siasatan atau pendakwaan ke atas Anwar yang bermotifkan politik.

Seorang bekas pembantu Anwar telah membuat laporan polis pada Sabtu lepas mendakwa diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu di sebuah kondominium mewah di Damansara, Kuala Lumpur.

Anwar telah menafikan dakwaan itu yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, dan telah mengemukakan saman terhadap lelaki itu.

Mohd Ali mempersoalkan siapa Amerika Syarikat untuk memberi amaran kepada Malaysia tidak boleh menjalankan undangundangnya sendiri.

"Kita bukan berada dalam zaman penjajahan di mana negara lain menentukan perundangan negara lain, kita hidup dalam negara yang bebas merdeka, kita ada undang-undang kita sendiri dan kita berhak menentukan negara dan nasib kita," kata Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka.

Beliau berkata campur tangan Amerika Syarikat itu berkemungkinan terdapat konspirasi dengan Anwar untuk menekan Malaysia.

Malaysia sebagai sebuah negara merdeka tidak perlu takut untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan undang-undang negara ini, katanya.

-BERNAMA