SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

14 July 2008

Polis berjaya sekat perhimpunan haram, tiada tangkapan dibuat

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menyekat penganjuran perhimpunan 'haram' di luar bangunan Parlimen yang sepatutnya diadakan hari ini setelah mengadakan sekatan jalan raya sejak tiga hari lalu bermula Sabtu.

Perhimpunan itu dikatakan dirancang untuk memberi sokongan moral kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Notis usul itu dikemukakan Khamis lepas oleh Wan Azizah dan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata sekatan di beberapa buah jalan utama menuju ke Parlimen dibuat berdasarkan maklumat yang diterima.

"Pihak polis menyiasat secara terperinci maklumat yang diterima sebelum mengambil keputusan untuk mengadakan sekatan lalu lintas," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Jelas beliau, polis menyedari tindakan sekatan lalulintas menyukarkan pengguna jalan raya untuk ke tempat kerja, namun langkah demikian perlu diambil bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

"Hingga kini, polis masih menjalankan sekatan seperti biasa. Namun, kemungkinan besar kita akan hentikan sekatan pada lewat petang atau malam ini berdasarkan perkembangan semasa," katanya.

Antara jalan yang mengalami kesesakan teruk ialah Jalan Parlimen, Jalan Mahameru, Jalan Duta dan Jalan Kuching.

Ditanya samada wujudnya perhimpunan tanpa permit di tempat lain, beliau berkata hanya satu perhimpunan kecil dikenalpasti dilakukan di kawasan Pasar Seni kira-kira 2 petang tadi.

"Tiada perhimpunan dikesan di tempat lain kecuali di Pasar Seni. Namun, jumlah yang hadir adalah kecil iaitu 20 hingga 30 orang.

"Polis berjaya mengawal kumpulan itu dan tiada sebarang tangkapan dilakukan," katanya tentang perhimpunan yang turut melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Muhammad Sabtu turut memberitahu media, tiada sebarang tangkapan dibuat sepanjang sekatan dilakukan sejak Sabtu lalu walaupun pihak polis banyak menerima cemuhan daripada orang ramai.

"Polis telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota untuk jalankan sekatan mengikut lunas undang-undang. Kita tidak melakukan sekatan sewenang-wenangnya melainkan demi kepentingan awam," katanya.

Diminta mengulas mengenai penafian beberapa pemimpin parti pembangkang mengenai perhimpunan 'haram' ini, beliau berkata, "Itu perkara biasa, ini mainan mereka setelah melihat kekuatan polis.".

Beliau juga ditanya tentang persediaan pihak polis bagi mengawal keadaan semasa debat kenaikan harga minyak yang dijadualkan esok antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, polis akan menempatkan anggotanya bagi mengawal kemungkinan yang bakal berlaku.

Beliau turut menjelaskan kira-kira 20 peratus kekuatan anggota polis Kuala Lumpur digunakan dalam sekatan sejak tiga hari lalu.

Polis semalam mendapat perintah mahkamah untuk melarang orang ramai daripada menyertai perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sofian Md Yassin berkata perhimpunan itu adalah perhimpunan haram dan mengingatkan orang ramai yang menyertai, atau menganjur perhimpunan tanpa permit itu, akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Polis 1967.

.