SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

27 July 2008

Pertemuan UMNO-Pas satu anjakan paradigma

IPOH 26 Julai - Pertemuan antara Pas dengan UMNO merupakan satu anjakan paradigma yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar kedua-dua belah pihak dapat mengemukakan masalah masing-masing.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, pertemuan atau muqabalah itu secara tidak langsung membolehkan kedua-dua belah pihak memahami secara jelas tentang segala masalah yang berlaku.

''Ini satu anjakan yang berlaku kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membuka peluang kepada kita untuk kemukakan masalah-masalah atau perkara yang perlu diselesaikan oleh kerajaan.

''Pas kemukakan pandangan untuk Barisan Nasional (BN) buat perubahan. Antaranya menghapuskan diskriminasi kepada negeri-negeri yang kita perintah. Amalan lalu hendaklah dihentikan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak Kali Ke-13 di Dewan Orang Ramai Rapat Setia, di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, antara isu lain yang dibangkitkan dalam pertemuan dengan UMNO ialah berkaitan dengan isu badan kehakiman negara.

Beliau mendakwa, badan kehakiman sedia ada merupakan warisan daripada UMNO lama dan bukan dilakukan oleh Perdana Menteri sekarang.

''Jadi Abdullah mesti sanggup buat perubahan dengan berani, itu sahaja. Kita tak boleh kemukakan (semua masalah) sekali gus, satu-satulah.

''Kita lihat dulu, dia tak boleh buat perubahan dalam serta merta atau tiga empat hari," katanya.
Ditanya mengenai kebimbangan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat ekoran pertemuan tersebut, Abdul Hadi menjelaskan, Pas perlu memenuhi jemputan yang dilakukan oleh UMNO.

''Mengikut Islam, bila orang jemput, kita mesti penuhi jemputan itu. Apa masalah kita dan apa masalah dia telah disebut dalam pertemuan itu dan ini bukan kali pertama kita pernah bertemu.
''Dulu dalam isu Bosnia, Palestin dan Majlis Pembangunan Ekonomi Negeri (Mapen) juga, kita adakan pertemuan dengan kerajaan dan kita kemukakan idea untuk selesai masalah," jelasnya.

Justeru, Abdul Hadi berkata, sekutu Pas atau parti lain dalam Pakatan Rakyat tidak perlu bimbang kerana pertemuan berkenaan langsung tiada kaitan dengan soal Pas mahu bergabung dengan UMNO atau masuk BN.

''Jadi pertemuan seumpama itu akan diadakan pada masa akan datang sekiranya perlu dan bergantung kepada keadaan.

''Tidak ada perpecahan (dalam Pakatan Rakyat). Kenyataan saya sebelum ini ialah kita tidak buat muzakarah. Yang ada cuma muqabalah. Kita tidak mengadakan perdebatan. Yang ada kita cuma kemukakan apa masalah yang berlaku," katanya.
.