SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

13 August 2008

Cadangan Khalid berbaur politik, kata ahli akademik dan persatuan belia

KUALA LUMPUR: Beberapa ahli akademik dan pemimpin persatuan belia hari ini menyifatkan cadangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya 10 peratus kuota kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing berbaur politik.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ismail Hussein berpendapat cadangan itu sangat "relevan" dengan sikap Pakatan Rakyat yang tidak mempedulikan masalah yang dihadapi orang Melayu.

"Pihak pemerintah Selangor perlu selesaikan masalah perkauman yang semakin meningkat dan bukan menambahkan lagi kecurangan ekonomi, sosial dan pendidikan antara kaum," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Abdul Khalid ketika mencadangkan perkara itu dua hari lepas berkata, langkah itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi itu.

Dr Ismail berkata semua pihak perlu sedar UiTM dibina untuk menyelesaikan sebahagian daripada kecurangan yang wujud di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera.

Presiden Majlis Belia Malaysia Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula berkata, kenyataan Abdul Khalid itu umpama ingin meraih sokongan daripada kaum bukan Melayu dalam Pakatan Rakyat.
"Kenyataannya berbaur politik. Bukan untuk menjaga kepentingan dan kualiti kaum Melayu. Mereka perlu faham matlamat penubuhan UiTM, iaitu untuk memberi kemahiran kepada pelajar Bumiputera sejak dari awal penubuhannya," katanya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Datuk Reezal Merican Naina Merican pula dalam SMS beliau kepada Bernama menyifatkan perbuatan Abdul Khalid seperti mengkhianat amanah teras orang Melayu.

"Seharusnya orang Melayu membuka mata dengan kenyataan Tan Sri Abdul Khalid. Saya juga percaya UiTM tidak pernah berkompromi soal merit dan pencapaian para pelajarnya walaupun ia diwujudkan khusus untuk kaum Bumiputera," katanya.

Reezal berkata dakwaan Abdul Khalid bahawa langkah membuka peluang kepada kaum bukan Bumiputera memasuki UiTM itu sebagai satu usaha untuk wujudkan persaingan yang sihat adalah cadangan tidak berasas.

Tokoh sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata cadangan Abdul Khalid itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana perkara itu pernah dibangkitkan dan cuba dilaksanakan beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun menurut Dr Khoo, cadangan itu tidak mendapat sambutan daripada kaum bukan Bumiputera kerana mereka kurang senang berada dalam universiti yang didominasi oleh satu kaum sahaja.

Sejarah UiTM bermula sebagai Dewan Latehan Lembaga Kemajuan Perusahaan dan Kampung (Rida) yang beroperasi mulai November 1956 di Petaling Jaya sebagai pusat percubaan menawarkan kursus persediaan untuk remaja luar bandar aliran Inggeris.

Kemudian pada Jun 1965, Dewan Latehan Rida diletakkan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan namanya ditukar kepada Maktab Mara. Pada tahun 1967, ia bertukar menjadi Institut Teknologi Mara (ITM) dan dinaik taraf sebagai universiti pada tahun 1996 dan ditukar nama kepada UiTM pada tahun 1999.

Walaupun beberapa kali bertukar nama namun objektif dan matlamat penubuhannya masih kekal ke hari ini iaitu untuk mempertingkat dan menjamin keutuhan status sosio ekonomi Bumiputera.

- BERNAMA
.