SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

10 July 2008

Abdullah serah jawatan Presiden Umno kepada Najib Jun 2010

ABDULLAH Ahmad Badawi (kanan) bersama Mohd. Najib Tun Razak pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur petang tadi.

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan jawatan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Ketika ditanya sama ada sebarang keputusan dibuat bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti nanti, Abdullah berkata tidak ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu dan berharap Najib akan terus menjadi timbalannya sehingga beliau menyerahkan kuasa nanti.

"Saya dapati hubungan itu adalah baik. Niat dan tujuan saya ialah untuk mengukuhkan parti dan meneruskan program-program yang banyak dirancang termasuk janji-janji pilihan raya.

"Maka saya rasa senang hati jika sekiranya timbalan saya Najib sampai tarikh (itu) nanti, (apabila) saya menyerahkan jawatan saya. Inilah penghargaan saya kepadanya dan saya memilih beliau menjadi pengganti saya kerana saya yakin dan percaya beliau dapat memimpin parti dengan baik," katanya.

Dalam tempoh peralihan itu, Abdullah berkata mereka berdua akan berusaha meningkatkan kekuatan parti dan mengembalikan semula parti kepada kedudukan yang mendapat sokongan kuat daripada rakyat dengan bilangan yang lebih ramai daripada dahulu iaitu sewaktu parti menghadapi pilihan raya dan melaksanakan program-program yang lain.

Perdana Menteri berkata sepanjang tempoh itu juga beliau berhasrat untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi membasmi kemiskinan tegar di negara ini selain melaksanakan program-program lain.

Abdullah juga menghargai kesediaan Najib untuk menerima cadangannya itu yang mendapat restu baik daripada pemimpin Umno pada pertemuan tertutup hari ini iaitu dengan mendapat tepukan dan "standing ovation" dari mereka.

Ditanya mengapa pertengahan tahun 2010 dipilih untuk peralihan kuasa itu, Abdullah berkata jangkamasa itu dilihat mencukupi untuk beliau melaksanakan pelbagai projek dan rancangan yang diaturkan bersama dengan Najib.

"Dalam tempoh itu juga segala perancangan termasuk pembaharuan dalam perundangan dan juga Suruhanjaya Anti Rasuah juga, InsyaAllah akan selesai dilaksanakan," katanya. Beliau berkata timbalannya itu juga memerlukan masa untuk membuat persediaan mengambil alih untuk pilihan raya seterusnya iaitu 2012 atau 2013.

Ditanya mengapa beliau mengumumkan peralihan kuasa itu sekarang, beliau berkata : "Saya fikir adalah penting proses penyerahan itu perlu mengambil sedikit masa. Dalam masa ini juga saya akan memberi peluang kepada Datuk Seri Najib untuk menghadiri forum-forum, mesyuarat yang lazimnya saya hadir mewakili kerajaan". Katanya tempoh sepanjang proses peralihan kuasa itu juga memberi peluang kepada Najib untuk berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin negara lain.

Persidangan akhbar yang turut dihadiri Najib itu berlangsung dalam suasana ceria dan selepas selesai membuat pengumuman Abdullah telah meminta Najib untuk bercakap kepada pemberita sebelum mereka menjawab pertanyaan-pertanyaan. Abdullah berkata kerjasama dan persefahaman baik antara beliau dengan Najib mengenai isu yang sama-sama dihadapi dalam parti dan kerajaan adalah dihargai. Katanya mereka banyak menganggotai mesyuarat jawatankuasa kabinet berkaitan isu-isu penting dan Najib juga menjalankan tugas-tugas lain dan mempengerusikan jawatankuasa lain yang ditugaskan kepada Najib.

Mengenai pandangan anggota MT berhubung keputusan beliau itu, Perdana Menteri berkata mereka telah memberi pandangan masing-masing dan akhirnya mempersetujui keputusannya. Beliau menganggap "standing ovation" oleh pemimpin parti peringkat bahagian dalam Dewan Merdeka hari ini sebagai tanda mereka bersetuju.

"Kita harap perkara ini disampaikan ke peringkat anggota akar umbi yang tentunya bertanya apa yang berlaku dan apa yang terjadi.

"Jadi saya harap kepimpinan peringkat bahagian ini memaklumkan apa yang dipersetujui antara saya dan Datuk Seri Najib," katanya.Ketika ditanya sama ada beliau tidak akan mencampuri urusan kerajaan selepas mengundur diri, Abdullah berkata: "Untuk itu, anda perlu tunggu. Apabila ia berlaku baru anda akan tahu".

Mengenai Najib yang dikaitkan dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, beliau berkata ia merupakan suatu perkara yang lain dan tidak berkaitan dengan keputusan parti pada hari ini.

Mengenai usul undi tidak percaya yang cuba dibawa oleh Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail di Parlimen hari ini, Abdullah berkata Presiden Parti Keadilan Rakyat itu bebas membawa usul apa pun dan ia tidak akan menjejaskan peralihan kuasa berkenaan.

Pemberita juga bertanya kenapa beliau dilihat tidak menunjukkan sebarang emosi dan tidak dilihat sedih mengenai keputusannya itu, secara spontan dan berseloroh, Abdullah membuat reaksi seperti orang menangis dan tergelak kemudiannya bersama-sama Najib dan beberapa pemimpin Umno yang turut hadir pada sidang akhbar itu.

"Saya berasa sedikit sedih. Tetapi saya rasa ada banyak pencapaian. Saya rasa saya sudah dapat mengambil satu-satu tindakan terutamanya yang sudah diterima baik. Itulah yang kita kehendaki," katanya. Perdana Menteri berkata peralihan kepimpinan dalam parti harus merupakan satu proses yang baik, disenangi parti agar sesiapa yang menjadi pengganti akan menjadi pemimpin kepada parti bukannya kepada setengah daripada parti atau kepada kumpulan penyokongnya sahaja.

"Biasanya kalau jadi pertarungan atau pertandingan, biasa berlaku sesiapa yang menang ada rasa terkilan, susah sikit dengan kumpulan yang kalah.

"Ada sajalah. Maklumlah... Yang kita tak mahu ialah pemilihan yang melibatkan persaingan, pertandingan yang akan berlaku perpecahan kepada parti dan merunsingkan ahli Umno sendiri dan mereka rasa tak senang," katanya. Dengan cara ini (peralihan kuasa) menjadi satu pendekatan yang paling baik dan parti tidak bergolak, katanya. Beliau berkata keadaan itu akan membolehkan kepimpinan seterusnya tidak perlu menggunakan banyak masa untuk memperbaiki dan memperelokkan parti kerana proses peralihan sudah berjalan dengan baik.

Ditanya sama ada rancangan peralihan kuasa itu dibuat atas desakan pihak tertentu, Abdullah berkata ia adalah keputusan yang wajar dan jika ada tekanan ia sudah lama berlaku dan pelbagai pandangan yang diberikan mengenainya.

"Ada yang suruh tunggu sampai pilihan raya seterusnya. Macam-macam...Tapi yang penting perasaan saya dalam hal ini dan saya mesti serahkan jawatan saya kepada pengganti saya," katanya. Menjawab soalan sama ada keputusan itu adalah satu kemenangan kepada pembangkang yang mendesak beliau meletak jawatan beliau berkata : "Saya akan berdepan dengan mereka. Mereka mahu mengusir saya dan BN. Tak cukup lagi mereka nak buat itu ini. Pembangkang boleh cakap apa saja," katanya. Katanya, inilah masa untuk memberi perhatian kepada pelaksanaan janji kepada rakyat dan bukannya terlibat dalam persengketaan parti dan sebagainya yang mana Umno bertanggungjawab tanpa dipesongkan dengan perhatian lain.

Ditanya mengenai harapan beliau kepada Tengku Razaleigh Hamzah selepas pengumuman hari ini, Abdullah menyerahkan kepada Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu untuk membuat keputusannya sendiri. Abdullah juga berkata beliau tidak akan mendesak projek-projek yang dirancang oleh beliau dilaksanakan kerana apabila seseorang lain memimpin kerajaan, tentunya beliau mempunyai caranya yang sendiri dan mengikut apa yang difikirnya terbaik.

"Apa yang baik adalah baik dan ini tidak bermakna bahawa ia tidak boleh diberi nilai tambahan," katanya. Abdullah yang mengakhiri sidang akhbar selama 27 minit itu berkata beliau sudah membuat keputusan dan tidak akan menarik balik keputusan itu. Suasana sidang akhbar itu tenang dan ceria dihadiri berpuluh-puluh wartawan media cetak dan elektronik tempatan.

Pada suatu ketika sebelum menerima soalan dari pemberita, Abdullah juga berganjak sedikit mengalih kerusi yang didudukinya untuk memberikan ruang kepada Najib untuk memberikan kenyataan kepada pemberita mengenai peralihan kuasa.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Bendahari Umno Datuk Abdul Azim Zabidi.

- BERNAMA