SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

09 June 2008

Bot peronda negara jiran halang nelayan Malaysia di Pulau Merambong

JOHOR BAHRU 9 Jun — Nelayan-nelayan di Gelang Patah kini tidak lagi dapat menangkap ikan di perairan Pulau Merambong, kawasan yang kaya dengan sumber ikan, berikutan tindakan bot-bot peronda negara jiran menghalang nelayan.

Menurut nelayan itu, walaupun pulau itu terletak dalam sempadan maritim Malaysia, pihak berkuasa negara jiran sering menghalang mereka daripada menangkap ikan di kawasan terbabit terutamanya pada waktu malam.

"Walaupun kita tahu kita berada di dalam perairan Malaysia berdasarkan kedudukan boya penanda sempadan, mereka (bot peronda negara jiran) tetap bertindak menghalau kita dengan alasan berada terlalu dekat dengan sempadan perairan negara mereka,” menurut nelayan di Kampung Pendas Laut, Mohd Rosli Abu, 58, kepada Bernama hari ini.

Anggota bot peronda pengawal negara jiran itu dakwanya, juga pernah beberapa kali merampas kad pengenalannya ketika beliau sedang menangkap ikan berhampiran pulau itu pada waktu malam.

Mohd Rosli berkata, mereka memberi alasan mahu memeriksa sama ada beliau mempunyai rekod jenayah, sebelum memulangkan kembali kad pengenalannya itu.

"Kadang kala ada di antara bot-bot peronda terbabit dipandu laju berhampiran bot kecil saya, sehingga hampir mengakibatkan bot saya terbalik disebabkan ombak,” katanya, dan menambah, ini sebagai usaha untuk menghalaunya.

Pulau Merambong yang tidak berpenghuni itu terletak berhampiran sempadan maritim Malaysia dan Singapura. Ia hanya terletak kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan bot dari Tuas, Singapura berbanding 30-45 minit dari Gelang Patah.

Nelayan, Tarmizi Jailani, 46, pula berkata, tindakan agresif bot peronda negara jiran itu mengakibatkan nelayan-nelayan tempatan kini tidak menjadikan kawasan perairan sekitar Pulau Merambong sebagai kawasan tangkapan ikan.

"Apabila masuk sahaja 7 malam, nelayan akan meninggalkan kawasan perairan sekitar Pulau Merambong kerana bimbang akan gangguan dari bot-bot peronda negara jiran,” katanya.

Nelayan-nelayan tempatan menurutnya, mengetahui tentang kedudukan sempadan maritim di antara Malaysia dan Singapura di sekitar Pulau Merambong itu berikutan terdapatnya beberapa tanda sempadan yang didirikan oleh Jabatan Laut.

"Kita sudah bertahun-tahun menangkap ikan di sini, kita tahu di mana perairan Malaysia dan perairan Singapura,” kata Tarmizi.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya Datuk Abdul Aziz Sapian meminta pihak berkuasa negara ini menjalankan rondaan dengan lebih kerap di perairan Pulau Merambong bagi menangani masalah gangguan bot peronda negara jiran terhadap nelayan tempatan.

"Kita terima banyak laporan dari nelayan-nelayan tempatan tentang gangguan daripada bot peronda negara jiran walaupun mereka (nelayan tempatan) jelas berada di dalam perairan Malaysia,” katanya.

Beliau yang membawa media tempatan melawat Pulau Merambong menggunakan kapal Jabatan Laut Wilayah Selatan hari ini mahukan pulau yang terletak di lokasi strategik di Selat Johor itu dibangunkan.

Menurutnya, Pulau Merambong itu amat strategik kerana ia terletak di tengah-tengah laluan perkapalan yang sibuk untuk ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), loji janakuasa Tanjung Bin dan Asia Petroleum Hub serta laluan ke kawasan industri Tuas di Singapura.

— BERNAMA