SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

15 June 2008

Laporan Berita Sekitar Lawatan Pak Lah

Abdullah Tiba Di Kelantan Untuk Lancar Pelan Meningkatkan Beras Negara


KOTA BAHARU, 13 Jun (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini tiba di sini bagi lawatan sehari ke Kelantan untuk melancarkan pelan meningkatkan pengeluaran beras negara.


Perdana Menteri tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa pada 8.50 pagi diiringi isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

.

Ketibaan Abdullah disambut Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed dan pemimpin-pemimpin parti. Beliau kemudiannya ke Hotel Renaissance di sini bagi menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri.


Perdana Menteri kemudian akan menghadiri majlis makan tengah hari bersama pemimpin di hotel yang sama sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid negeri, Masjid Muhammadi di sini.Pada petang, Abdullah dijadual ke Kampung Bendang Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas untuk menghadiri Majlis Pecah Tanah Pelancaran Pelan Meningkatkan Pengeluaran Beras Negara.


Sebelah malam, Presiden Umno itu akan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, 20 kilometer dari sini. Perdana Menteri dijangka bertolak ke Kuala Terengganu selepas menghadiri majlis itu.


**************************************************************************



Umno Kelantan Ikrar Tetap Setia Kepada Abdullah


KOTA BAHARU, 13 Jun (Bernama) - Umno Kelantan berikrar akan tetap setia dan menyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menerajui parti dan negara walaupun beliau mungkin ditentang oleh "anak Kelantan" sendiri dalam pemilihan parti Disember ini.


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata Umno Kelantan tetap menaruh keyakinan terhadap keupayaan Abdullah sebagai orang nombor satu parti."Walaupun jawatan presiden dicabar Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) yang juga anak Kelantan tetapi Umno Kelantan tetap berdiri di belakang Pak Lah.


"Dulu pun Ku Li pernah mencabar presiden (terdahulu) Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi Umno Kelantan pada waktu itu tetap setia kepada Dr Mahathir," katanya semasa berucap di hadapan Abdullah pada majlis makan tengah hari Perdana Menteri bersama pemimpin masyarakat dan pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan di sini. Majlis itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed.


Annuar berkata Tengku Razaleigh berhak untuk bertanding jawatan itu dan Umno Kelantan menghormati hak itu."Itu hak peribadi Ku Li dan apa sahaja yang dilakukan ia tidak memecahbelahkan perpaduan parti," katanya. Umno Kelantan yakin Abdullah mampu memulihkan semula imej parti yang tercalar selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.


"Kami yakin Pak Lah mempunyai resipi untuk memulihkan imej parti dan kerajaan. Kami barisan Umno Kelantan tetap berada di belakang Perdana Menteri dan menyokong sepenuh apa yang akan dilakukannya," katanya.


Beliau berkata pada era pemerintahan Tun Dr Mahathir, kerajaan ketika itu juga turut diuji dengan pelbagai ujian namun dengan sokongan kuat akar umbi, Umno dan kerajaan mampu menanganinya dengan baik," kata Annuar. Sebelum itu Abdullah menghadiri mesyuarat selama dua jam dengan Badan Perhubungan Umno Kelantan.


**************************************************************************



Abdullah Harap Rakyat Faham Rasional Kenaikan Harga Minyak


KOTA BAHARU, 13 Jun (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat memahami rasional kenapa kerajaan menaikkan harga bahan api baru-baru ini tanpa sedikit pun niat untuk menambah beban mereka. Beliau berkata apa yang dilakukan kerajaan sehingga terpaksa menaikkan harga sebanyak 78 sen untuk petrol dan RM1 untuk diesel adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan walaupun memahami ia amat perit untuk ditanggung rakyat.
.
"Harga minyak kini terus naik dan kerajaan terpaksa menambah subsidi lagi," katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan hari ini. Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa.
.
Abdullah mengulangi jaminan bahawa harga bahan bakar itu tidak akan dinaikkan lagi tahun ini walaupun kerajaan akan terus menanggung subsidi yang meningkat.

"Kita (kerajaan) memahami masalah rakyat dan sedang berusaha memastikan kenaikan minyak baru-baru ini tidak akan menambah beban mereka dan sebab itu kita beri jaminan harga tidak dinaikkan lagi (tahun ini)," katanya.

Beliau berkata isu kenaikan harga bahan bakar itu akan diperincikan lagi dalam pertemuannya dengan rakyat di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala di sini, malam ini.


**************************************************************************


Abdullah Mahu Petani Bersungguh-Sungguh Bantu Jadikan Pertanian Sektor Utama Negara


PASIR MAS, 13 Jun (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa petani supaya turut serta dalam agenda kerajaan untuk menjadikan pertanian antara sektor paling utama negara. Perdana Menteri berkata sektor pertanian semakin berkembang dan kini bersaing dengan sektor perkilangan sebagai penyumbang utama pendapatan negara selepas sektor perkhidmatan.


"Alhamdulillah, sekarang ini kita boleh lihat perkembangan sektor pertanian semakin hebat."Sekiranya petani boleh bersungguh-sungguh meningkatkan hasil pertanian, lama-lama ia akan menjadi sektor penting yang membantu pembangunan ekonomi negara," katanya ketika melancarkan Pelan Peningkatan Pengeluaran Beras Negara di Kampung Bendang Perangkap, Bunut Susu, di sini.


Abdullah yang diiringi isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah sedang dalam rangka lawatan sehari ke Kelantan. Abdullah berkata sektor pertanian juga mampu memberi pulangan lumayan kepada petani yang kebanyakannya tinggal di kampung dan desa.


"Bukan mustahil rakyat yang bekerja sebagai petani dapat pendapatan yang lebih tinggi daripada yang bekerja di bandar," katanya.Beliau memberi contoh negara Belanda yang menjadi antara pembekal makanan utama dunia.


"Walaupun Belanda hanya sebesar negeri Pahang, ia kini mampu jadi negara nombor dua pengeksport makanan ke seluruh dunia," katanya.Perdana Menteri berkata Pelan Peningkatan Pengeluaran Beras Negara ditubuhkan bertujuan untuk memastikan bekalan makanan negara mencukupi dan mengurangkan penggantungan terhadap beras import.


Abdullah berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM64 juta bagi program meningkatkan pengeluaran padi negara serta memberikan geran bantuan kepada petani untuk membeli traktor. Katanya kerajaan merangka pelan tindakan jangka pendek yang antara lain melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran, perataan tanah sawah, meningkatkan kesuburan tanah dan mengawal makhluk perosak padi.


Di bawah rancangan jangka panjang pula, tindakan akan diambil untuk membangunkan infrastruktur pengairan dan saliran seperti pembangunan sumber air baru, pembinaan rangkaian jalan ladang dan pembinaan struktur pengawalan banjir.


**************************************************************************


"Saya Juga Tidak Akan Pecah Belah Umno," Kata PM


KOTA BAHARU, 13 Jun (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melahirkan kenyataan senada dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau juga tidak akan merosakkan Umno. Menurut Perdana Menteri, seperti yang dinyatakan oleh Najib yang menegaskan bahawa beliau tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan parti yang diasaskan oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak, beliau juga tidak sekali-kali akan memecahbelahkan parti keramat Umno.


"Saya tidak akan memecahbelahkan Umno. Di utara, Umno di asas oleh bapa dan datuk saya sendiri," katanya pada majlis makan malam anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini malam ini. Katanya, apa yang berlaku kepada Umno selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas tidak melemahkan Umno dan parti itu tetap mempunyai kekuatan untuk bangkit semula.


"Saya sedih dan terharu menerima keputusan pilihan raya yang lalu. Tetapi kita masih lagi ada tenaga, kita masih ada kekuatan," katanya.Yang turut hadir ialah Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa serta lebih 2,000 anggota Umno. Merujuk kepada keputusan pilihan raya umum lepas, Abdullah berkata anggota Umno tidak perlu merasa kecewa sehingga sanggup berbalah sesama sendiri dan akhirnya boleh merosakkan parti.


"Umno telah melalui pelbagai ujian sejak sebelum merdeka lagi sehinggalah sekarang, tetapi Alhamdulillah Umno masih kukuh dan mempunyai pejuang untuk mempertahankan bangsa dan negara."Sepertimana PAS di Kelantan yang pernah menang tipis tetapi kali ini kuat semula, dan saya yakin Umno juga akan seperti itu," katanya. Perdana Menteri berkata dalam lawatannya ke beberapa negara lain, beliau pernah ditanya mengenai Barisan Nasional (BN) yang kini memerintah negara tanpa memprolehi majoriti dua pertiga.


"Kata mereka, BN menang selesa sebenarnya dan tidak ada sebab bagi kerajaan yang ada tidak berbuat sesuatu untuk membangunkan negara dan rakyat.


"Saya berazam untuk pulihkan semula Umno," katanya. Menurutnya, lawatan seharinya ke Kelantan hari ini, beliau mendapati Umno Kelantan masih kuat walaupun kekuatannya masih belum mencukupi untuk merampas kembali Kelantan. Sehubungan itu, beliau meminta anggota Umno di peringkat cawangan untuk lebih berusaha keras bagi memperkasakan cawangan masing-masing.

.

"Kuatnya cawangan kuatlah bahagian dan saya gembira perpaduan yang ada di kalangan mereka cukup kuat," katanya.