SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

13 June 2008

Muhyiddin: Ahli Umno berminat berkhidmat harus diberi peluang

MELAKA: Ahli-ahli Umno yang berminat untuk menawarkan khidmat kepada parti harus diberi peluang untuk bertanding pada pemilihan parti, kata Naib Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang demokratik, calon yang menawar diri itu, jangan disekat dan dihukum tidak boleh memegang jawatan dalam kerajaan, jika calon terbabit kalah dalam pemilihan.

"Jadi tidak harus dikaitkan dengan jawatan dalam kerajaan kerana jawatan dalam kerajaan adalah jawatan yang dilantik atau dipilih atas pertimbangan Perdana Menteri atau Ketua Menteri atau sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat tertutup Tataetika parti kepada Umno Melaka di sini, hari Khamis.

Turut hadir Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Anggota Dewan Undangan Negeri Penaga, Datuk Azhar Ibrahim yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang bahawa calon yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden Umno supaya melepaskan jawatan dalam kerajaan jika kalah dalam pemilihan itu.

Azhar dilaporkan berkata, cadangan itu bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar berwibawa dan berkebolehan menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, proses pemilihan itu adalah sesuatu yang baik sebagai usaha untuk sentiasa meremajakan Umno.

Beliau berkata, sebelum ini, tidak ada usul sebegitu, malahan ada calon yang kalah tetapi masih diberi kepercayaan untuk terus memegang jawatan dalam kerajaan termasuk di peringkat negeri.

"Implikasi daripada syor itu (cadangan Azhar), mungkin lebih besar daripada yang dia fikirkan. Bagi saya kita tidak boleh campuradukkan dalam soal itu (pemilihan dalam parti dan jawatan dalam kerajaan," katanya.

Mohd Ali ketika diminta mengulas cadangan Azhar itu, berkata "itu pandangan beliau dan dalam perlembagaan tidak menyatakan demikian, maka terpulanglah kepada mereka yang hendak menawarkan diri."

Beliau berkata, dalam perlembagaan membenarkan sesiapa sahaja untuk bertanding jawatan dalam Umno.

Ditanya mengenai taklimat tataetika parti, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Umno berkata beliau sedang menjelajah ke negeri-negeri untuk menjelaskan tataetika yang diperbaharui itu supaya benar-benar difahami anggota parti.

Beliau berkata kefahaman anggota parti penting bukan sahaja mereka patuh kepada perlembagaan tetapi semangatnya, amalannya, tingkah laku dan sebagainya.
.
"Ini suatu yang kita anggap penting supaya maruah dan imej Umno tidak akan tercemar oleh perilaku yang dianggap bertentangan dengan tataetika ini," katanya.Beliau berharap dengan kefahaman tataetika yang diperbaharui itu, tidak ada perkara yang bertentangan dengan tataetika berlaku dalam tempoh pemilihan parti yang akan bermula bulan depan di peringkat cawangan.

"Lembaga Disiplin ada kuasa untuk mengambil tindakan tetapi kita harap apabila semua anggota parti sudah faham semangat dan perjuangan, sepatutnya tataetika ini tidak menjadi masalah atau menganggap kita tidak bebas, tidak boleh bertindak secara demokratik, ini bukan tujuan tataetika ini diwujudkan," katanya.
.
Taklimat itu telah diadakan di Sabah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah dan Melaka manakala negeri lain akan diadakan dalam beberapa minggu akan datang.

- BERNAMA