SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

04 August 2008

Soal Jawab: BN kena cari calon sehebat saingan

Strategi kempen boleh hasil keputusan mengejut di Permatang Pauh KELMARIN, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi ruang kepada suaminya yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding pada pilihan raya kecil.

Ikuti pandangan penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, mengenai perkembangan terbaru ini kepada wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Mohd Azis Ngah.


BAGAIMANA Dr melihat perkembangan terbaru politik negara berikutan keputusan Dr Wan Azizah? Politik negara kini memang dalam keadaan tidak menentu atau ketidakpastian. Umno sedang sibuk dengan persediaan Perhimpunan Agung dan persaingan dalam parti. Seiring dengan itu, hambatan daripada luar seperti cabaran Anwar banyak mewarnai politik negara ini ?

Dalam tempoh beberapa bulan ini hingga Disember atau pertengahan tahun 2010, pelbagai perkara boleh dan akan berlaku. Perancangan peralihan kuasa ditakuti tidak berlaku seperti diharapkan jika muncul perkara luar duga seperti disaksikan sekarang. Ini belum lagi dengan cerita cross over atau lompat parti yang dibayangkan Anwar. Dalam MCA juga penuh dengan pelbagai keputusan menarik, terutama apabila Presiden tidak mahu bertanding.

Saya tertarik dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ulasannya mengenai tindakan pemimpin Gerakan, Lee Kah Choon, menyertai DAP sebagai jumping from a sinking boat (melompat dari bot yang tenggelam) yang mempunyai makna sangat mendalam. Oleh itu, memang politik negara kini benar-benar berada dalam satu pusingan tidak menentu dan agak sukar diduga. Apa lagi dalam politik sebagai satu seni serba mungkin dan dalam politik juga tidak ada rakan dan musuh yang kekal ... yang kekal ialah kepentingan.


Apakah ini sebahagian strategi PKR dan Pakatan Rakyat untuk merealisasikan impian membentuk Kerajaan Pusat yang digembar-gemburkan pada September ini?

Strategi ini sudah dapat dibayangkan oleh orang ramai dan pemerhati politik. Anwar pernah menyatakan berulang kali bahawa beliau akan bertanding pada pilihan raya kecil. Ketika perdebatan dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, baru-baru ini, beliau mengulanginya lagi.

Saya berpandangan bahawa Pakatan Rakyat memang akan meneruskan rancangan yang sudah dinyatakan. Cuma sejauh mana perancangan boleh direalisasikan dan apakah berjaya untuk mendapat kuasa pada September ini masih menjadi tanda tanya kerana bukan mereka menentukan semua jadual dan percaturan politik negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis, mahkamah (berhubung kes liwat) dan sebagainya masih berupaya memainkan peranan untuk mempercepat dan memperlahankan perancangan Pakatan Rakyat. Malah, mereka boleh melakukan lebih daripada itu jika ada sesuatu di luar dugaan berlaku.


Pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan. Oleh kerana Ramadan dijangka bermula 1 September ini, ada kemungkinan pilihan raya kecil ini diadakan pada bulan ini?

Walaupun memiliki tempoh 60 hari, SPR biasanya tidak menunggu hingga saat akhir untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Sebagai contoh, pilihan raya kecil tidak diadakan hingga hari ke-50 atau lebih kerana bimbang sebarang kemungkinan tidak diingini berlaku seperti bencana banjir atau sebarang kekacauan yang tidak mudah diatasi dalam jangka masa singkat. Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh yang bersesuaian, biasanya dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Oleh kerana September adalah bulan umat Islam berpuasa, saya berpendapat pilihan raya akan diadakan akhir bulan ini atau awal September.


Adakah tindakan Dr Wan Azizah adalah kali pertama seorang Ahli Parlimen memberi laluan kepada suaminya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil?

Sepanjang yang diketahui, tidak ada lagi kes seperti ini, apa lagi di negara ini. Ahli Parlimen wanita di Malaysia juga tidak ramai dan boleh dikira siapakah yang meletak jawatan untuk suami. Paling hampir ialah memberi laluan kepada anak seperti pada pilihan raya umum lalu, itu pun tidak dalam bentuk mengosongkan kerusi dengan meletak jawatan.


Kebanyakan pilihan raya kecil sebelum ini diadakan kerana penyandang jawatan meninggal dunia. Apakah tindakan seseorang penyandang sengaja meletakkan jawatan supaya suatu pilihan raya kecil diadakan boleh dilihat mempermainkan proses demokrasi untuk kepentingan peribadi?

Memang selama ini penggantian Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri lazimnya berlaku secara semula jadi atau tidak dapat dielak seperti kematian, keuzuran yang serius atau alasan teknikal seperti kejayaan satu bantahan melalui petisyen.

Kaedah meletak jawatan begini pernah berlaku dalam kes pilihan raya kecil Parlimen Ampang Jaya pada 1989 apabila Lim An Koon meletak jawatan dan diikuti pertandingan antara Datuk Ong Tee Keat dan Allahyarham Datuk Harun Idris yang mewakili Semangat 46.

Sebelum itu, pada 1988 di Parlimen Johor Bharu, Datuk Shahrir Abd Samad bertanding dengan calon BN, Mas'ud Abdul Rahman. Ini tidak seharusnya digalakkan kerana undi dan amanah diberi rakyat seperti tidak dihargai dan mengembalikan kepada mereka untuk mengundi semula sedangkan pemenang sepatutnya memikul tanggungjawab itu selama sepenggal. Lebih baik saja menanti hingga tempoh itu tamat agar amanah yang diberikan itu dilaksanakan.

Ini boleh dipersoalkan walaupun Wan Azizah mempunyai ruang secara perundangan untuk berbuat demikian.


Pada masa depan, pilihan raya kecil boleh diadakan kerana sebab remeh-temeh. Sebagai contoh, seseorang mencabar penyandang untuk meletak jawatan supaya mereka bertanding dalam pilihan raya kecil untuk membuktikan kehebatan masing-masing. Ini bukan mustahil ?

Ya! Memang tidak mustahil. Malah, ia pernah berlaku, tambahan pula dengan kewujudan ruang dan kelonggaran perundangan yang ada setakat ini. Ia memang boleh disalahgunakan untuk menunjukkan pengaruh dan kekuatan. Kita juga biasa mendengar pemimpin yang saling cabar mencabar seperti, 'kalau berani silalah letak jawatan dan kita bertanding.'

Ini yang menyebabkan di beberapa negara lain, ada aspek perundangan yang tidak mengadakan pilihan raya kecil apabila wakil rakyatnya meletak jawatan. Bagaimanapun, kesedaran politik dan kepentingan memegang amanah itu adalah lebih penting berbanding aspek perundangan kerana kesedaran dapat mendidik masyarakat kepada nilai positif dalam politik.


Anwar sinonim dengan Permatang Pauh yang kali pertama diwakilinya pada 1982 dan ini diwariskan kepada Dr Wan Azizah dalam tiga pilihan raya umum lalu. Adakah ini suatu kelebihan kepada Anwar?

Pandangan seimbas lalu, memang kelihatan Permatang Pauh adalah kawasan selamat kepada Anwar. Dr Wan Azizah yang mengambil alih kawasan itu mulai 1999 pun menang sedangkan itu adalah kawasan asal Anwar. Permatang Pauh adalah pangkalan politik Anwar, tetapi beliau juga tidak boleh terlalu mengambil mudah. Pilihan raya tetap pilihan raya apabila ada persaingan, kempen, pujukan dan strategi lawan.

Perkembangan beberapa hari sebelum pilihan raya turut boleh mengubah keadaan. Walaupun nampak seperti kawasan selamat, beliau masih perlu turun padang dan berkerja keras. Calon Barisan Nasional (BN) pun tidak diketahui lagi. Jika calon BN boleh melakukan kempen yang baik dengan pelbagai sumber atau 'perbelanjaan kempen' yang menarik, calon berkenaan boleh melakukan kejutan. Sama seperti persaingan perniagaan, pakej yang baik daripada penjual boleh menarik pembeli walaupun dalam fikiran pembeli sudah ada jenama pilihannya.

Demikian juga dalam politik. Tawar-menawar dalam pilihan raya kecil ini akan sangat menarik diperhatikan nanti. Walau siapa pun yang bertanding, yang pasti pemenangnya ialah penduduk Permatang Pauh. Dua minggu sebelum pilihan raya adalah musim durian runtuh kepada mereka. Malah, mulai sekarang, mereka boleh memikirkan apa yang perlu disuarakan daripada kempen ini. Perlu tambahan sekolah, jambatan atau hospital?


Anwar adalah calon 'heavyweight' dan sewajarnya lawannya juga 'heavyweight'. Adakah bakal calon BN perlu anak Pulau Pinang atau lebih khusus, anak Permatang Pauh sendiri?

Sudah tentu untuk meningkatkan peluang kemenangan, lebih baik BN meletakkan calon 'heavyweight' menentang Anwar, kecuali memang difikirkan tidak mahu cuba merampas kerusi itu dan meletakkan sesiapa saja asal ada pertandingan. Setakat ini, tidak nampak ada calon yang setanding dari segi latar belakang. Anwar adalah pemimpin Pakatan Rakyat walaupun bergelar Ahli Parlimen.

Beliau juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Pertanian, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan banyak lagi jawatan penting dalam kerajaan dan Umno. Agak sukar mencari calon yang setara ketokohan dan pengalamannya.

Selain faktor calon, saya fikir BN dan Umno harus memikirkan cara lain untuk meningkatkan peluang seperti strategi kempen yang luar biasa, pujukan dan lain-lain untuk menang.


Ada ura-ura bahawa bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd Shariff Omar, akan dipilih bertanding di Permatang Pauh. Adakah ini percaturan bijak dan tepat?

Mungkin beliau boleh menjadi calon berdasarkan latar belakang Umno Pulau Pinang dan kawasannya, tetapi dari sudut pandangan pengundi, beliau bukan benar-benar popular di kalangan orang ramai.

Mohamad Ezam Mohd Nor juga menawar diri, tetapi lebih banyak isu yang Anwar ada untuk dihamburkan dalam kempen jika bekas Ketua Angkatan Muda PKR itu bertanding. Memang agak menyulitkan bagi Umno untuk mencari saingan setanding. Calon BN yang dipilih mesti memenuhi kriteria seorang yang bersih dan rekod yang baik agar tidak dapat diburukkan dalam kempen Pakatan Rakyat.


BN memang diketahui mempunyai kelebihan dari segi kewangan untuk berbelanja besar dalam pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil. Adakah ini akan dilakukan di Permatang Pauh dan bagaimana pula dengan Pakatan Rakyat?

Jika Umno benar-benar berhasrat menyekat Anwar, memang perbelanjaan besar perlu digunakan. Bagaimanapun, apa yang menyulitkan seperti pada pilihan raya umum lalu, Pakatan Rakyat juga menggunakan perbelanjaan besar. Lihat saja poster dan pelbagai bentuk kempen yang dilaksanakan. Dari mana Pakatan Rakyat mendapat perbelanjaan itu tidak diketahui, ini memang menjadi tanda tanya.

Namun, bukan itu yang menjadi perkiraan sekarang. Bagaimana untuk mengimbangi ketokohan yang diperkuatkan pula dengan sokongan perbelanjaan yang Pakatan Rakyat ada. Saya berpandangan, untuk bertanding seperti dalam pilihan raya kecil yang lain, tidak perlu sampai berhabis-habisan kerana ia tetap menyulitkan.


Anwar kini disiasat berhubung kes liwat membabitkan bekas pembantunya. Siapakah yang mendapat kelebihan berhubung kes ini dalam pilihan raya akan datang?

Kes ini akan menjadi modal yang lebih kukuh untuk Pakatan Rakyat dan bukan untuk BN. Berikutan kebocoran laporan perubatan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), ternyata Anwar mendapat banyak kelebihan. Saya percaya isu ini dipergunakan sebaik-baiknya nanti.

Saat ini digunakan untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil kerana orang ramai dengan bantuan media alternatif memberi gambaran yang bersih kepada Anwar. Saya tidak fikir BN dapat menggunakan isu liwat untuk berkempen bagi memburukkan beliau, melainkan laporan itu tidak didedahkan atau menggambarkan sebaliknya.


Adakah keputusan bertanding ini suatu strategi untuk mengalihkan perhatian rakyat berhubung dakwaan kes liwat yang beliau hadapi, terutama jika kes itu dihadapkan ke mahkamah?

Dari satu segi, boleh juga dilihat seperti itu. Ketika masyarakat menumpukan perhatian kepada kes itu, sudah tentu perhatian orang ramai secara tiba-tiba beralih kepada pilihan raya kecil. Ia memang dapat mengalih perhatian orang ramai kerana kemunculannya pada pilihan raya adalah satu isu yang sangat menarik perhatian orang ramai, sama ada dalam atau luar negara.

Namun, dari satu segi lain, ia memang dalam perancangan Pakatan Rakyat yang sudah menyatakan lebih awal mengenai perkara ini. Bagaimanapun, polis kelihatan akan terus melaksanakan tugas dalam kes ini dan dipercayai tumpuan kepada kes ini tetap mendapat liputan dan perhatian, apa lagi jika dibawa ke pengadilan dan proses seterusnya.

Oleh itu, percubaan mengalih perhatian tidak juga berjaya sepenuhnya.


Rumusan terhadap persoalan yang dibincangkan.

Keadaan ini agak menyulitkan kepada BN. Politik tidak semesti dilihat berakhir dengan persaingan dan kemenangan dan kekalahan kepada satu pihak. Politik juga boleh disulam dengan perbincangan, tawar menawar dan tolak ansur.
.