SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

04 August 2008

Analisis: Semua tumpu Permatang Pauh


Kali pertama Anwar bertanding selepas dipecat 10 tahun lalu dari kerajaan

PADA hari penamaan calon Pilihan Raya Umum 2008, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyatakan kesediaan mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh jika beliau menang bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil.

Kelmarin, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenangi kerusi itu selepas mengalahkan Datuk Pirdaus Ismail, mengotakan kata-katanya.

Pengumuman itu juga menamatkan teka-teki mengenai kawasan Parlimen yang bakal ditandingi suaminya selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu layak bertanding kerana hilang kelayakan selepas dipenjarakan.

Kini, semua pihak termasuk negara luar memerhati dengan penuh minat terhadap pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh kerana ia bakal menentukan nasib Anwar yang sebelum ini begitu ghairah meuar-uarkan bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil alih pentadbiran negara menjelang 16 September ini.

Apakah Anwar yang pertama kali mencuba nasib di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum 1982 dan mengalahkan calon Pas, Zabidi Ali dengan majoriti 14,352, masih mendapat sokongan pengundi Permatang Pauh?

Dengan pelbagai isu dan kontroversi yang melingkari perjalanan hidup Anwar khususnya dalam tempoh 10 tahun lalu, sama ada beliau masih mendapat sokongan mahupun simpati pengundi Permatang Pauh yang kini berjumlah 58,449 orang, adalah sesuatu yang subjektif.

Tetapi, apa yang pasti Parlimen Permatang Pauh adalah kubu kuat Anwar selepas beliau pertama kali menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan. Pengaruh Anwar di kawasan kelahirannya itu tidak siapa boleh nafikan. Jika melihat sejarah permulaan Anwar menjadi wakil rakyat bagi Parlimen Permatang Pauh, anak kelahiran Cherok To' Kun, Bukit Mertajam itu terus menang besar dalam tiga pilihan raya.

Pada pilihan raya umum 1986 dan 1990, beliau mengalahkan calon Pas, masing-masing Muhamad Sabu dan Mahfuz Omar, dengan majoriti 10,479 dan 16,150 undi. Selepas itu, beliau mengalahkan pencabarnya, Abdul Rahman Manap daripada DAP dengan majoriti 23,515 undi pada 1995.

Selepas dipecat daripada Umno pada 1998 dan tidak boleh aktif dalam politik sehingga April lalu, beliau terlepas tiga pilihan raya umum. Kerusi yang dipegang selama empat penggal, diwarisi isterinya. Wan Azizah yang pertama kali bertanding pada pilihan raya umum 1999, memperoleh simpati pengundi Permatang Pauh dan menang dengan majoriti 9,077 undi apabila berdepan dengan calon BN, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad.

Ketika Barisan Nasional (BN) memperoleh kejayaan cemerlang pada pilihan raya umum 2004, Wan Azizah masih mampu mempertahankan kerusi Permatang Pauh walaupun dengan majoriti 590 undi apabila menundukkan pencabarnya, Datuk Pirdaus Ismail. Sekali lagi pada pilihan raya umum lalu, Wan Azizah mendapat sokongan penduduk Permatang Pauh dan kali ini majoriti lebih besar iaitu 13,388 undi, menewaskan Pirdaus buat kali kedua.

Dalam tempoh kira-kira 26 tahun lalu, pengundi Permatang Pauh begitu 'menyayangi' Anwar dengan memberi undi kepada beliau dan isterinya. Walaupun Wan Azizah bertanding atas tiket pembangkang, mereka yang sebelum ini ahli Umno sebagaimana dibuktikan sejak 1982 hingga 1995, sanggup berpaling tadah dengan memberi undi kepada PKR dalam tiga pilihan raya.

Tiada siapa menafikan Anwar mempunyai pengaruh besar terhadap pengundi Permatang Pauh dan pada pilihan raya kecil kali ini, beliau berpeluang besar untuk terus mempertahankan kawasan lamanya. Bukan mahu memperkecilkan Barisan Nasional (BN), khususnya Umno tetapi hakikatnya BN hanya menguasai dua daripada 13 kerusi Parlimen dan 11 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

BN, khususnya Umno perlu mengakui mereka bakal berdepan cabaran paling sengit untuk merampas semula Permatang Pauh walaupun rakyatnya tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada wakil rakyat mereka.

Bagaimanapun, bukan mustahil untuk menewaskan Anwar pada pilihan raya kecil tidak lama lagi. BN, khususnya Umno Bahagian Permatang Pauh mesti bekerja keras dan yang lebih penting lagi bersatu dalam satu barisan.

Isu tiada keserasian di kalangan pemimpin Umno Bahagian Permatang Pauh bukan cerita baru, malah sudah lama berlaku dan kini semakin ketara berikutan persaingan merebut jawatan ketua bahagian menjelang pemilihan Oktober depan.

Pada pemilihan kali ini, bahagian itu mungkin menyaksikan persaingan lima penjuru untuk merebut ketua bahagian apabila Datuk Abdul Jalil Majid dijangka dicabar oleh Pirdaus yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian; Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah; bekas Pemangku Ketua Umno bahagian, Datuk Ahmad Saad dan bekas Ketua Pemuda bahagian, Razak Osman.

Perebutan itu sudah tentu akan menjejaskan permuafakatan di kalangan ahli Umno, sedangkan pada masa sama akan berdepan dengan lawan lebih besar. Perpaduan kalangan pemimpin dan ahli Umno bahagian itu amat penting bagi menghadapi perjuangan lebih besar kerana merekalah yang akan menentukan sama ada Anwar boleh ditundukkan atau tidak.

Dengan bilangan pengundi Melayu sebanyak 69.63 peratus, usaha meraih sokongan padu daripada mereka tidak boleh dikompromi.

Justeru, perpecahan di dalam Umno Permatang Pauh pada saat sebegini genting perlu dielak sama sekali. Apa yang lebih penting, pemimpin Umno Bahagian Permatang Pauh perlu mengetepikan kepentingan peribadi dengan bersatu menguatkan parti dengan mengembalikan sokongan orang Melayu kepada BN.

Kemenangan pada pilihan raya kecil kali ini yang pertama selepas BN menerima tamparan hebat pada pilihan raya umum lalu bukan satu pilihan lagi. Ia bukan setakat merampas semula kerusi Permatang Pauh tetapi mempunyai implikasi amat besar kepada politik negara, sekali gus menguburkan impian Pakatan Rakyat ke Putrajaya.
.