Kerajaan disaran supaya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM30 billion untuk bajet mini yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Mac ini bagi merangsang ekonomi negara yang terjejas berikutan kemelesetan ekonomi dunia.
Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata jumlah berkenaan akan mampu menangani masalah berkenaan yang mungkin mengambil masa dan membebani rakyat. Sambil menyifatkan bajet mini itu antara usaha yang terbaik dilakukan kerajaan, beliau berkata, jika peruntukan yang disediakan itu terlalu kecil dan amat sukar untuk menangani suasana tersebut dalam masa singkat.
Tengku Razaleigh, yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang, berkata cadangan yang disyorkan itu setelah mendapat pandangan pelbagai pihak termasuk pakar-pakar ekonomi. Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Renok Baru, di sini, hari ini.
Tengku Razaleigh berkata setiap peruntukan yang hendak dibelanjakan itu perlu mengambil kira banyak faktor termasuk bebanan rakyat bagi menghadapi tekanan hidup berikutan kemelesetan ekonomi global.
"Kita menganggap kemelesetan ekonomi yang kita hadapi sekarang ini ke arah lebih serius sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah segera untuk menanganinya walaupun sesetengah rakyat belum merasai kesan itu.
"Kita tidak dapat menentukan tempoh bila keadaan itu berlarutan dan kita sama-samanya merasainya nanti dengan penuh kesabaran dan bijaksana dalam menguruskan perbelanjaan rumahtangga," katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil remeh mengenai perkara itu kerana kesan amat buruk jika mereka menganggap masalah tersebut sebagai amalan biasa dalam hidupnya.
- BERNAMA
.