SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

04 February 2009

Sia-Sia Cabar Keputusan SPR - Peguam

Adalah sia-sia untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu, masing-masing sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Behrang dan Changkat Jering, di mahkamah, kata Pengerusi DAP Karpal Singh.

Karpal Singh, yang juga seorang peguam kanan, berkata ia "akan hanya membazirkan usaha dan masa" untuk mencabar keputusan SPR itu yang diumumkan hari ini, kerana ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1982 dalam kes serupa.

Pada 1982, Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Ong Kee Hui lawan anggota parti ketika itu Sinyium anak Mutit, memutuskan tindakan menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh kepada speaker adalah bercanggah dengan kepentingan awam dan dengan itu adalah tidak sah.

"Keputusan SPR itu boleh dicabar dan tiada siapa boleh menghalang perkara itu dibawa ke mahkamah, tetapi mereka akan berdepan tugas amat sukar berikutan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan pada 1982.

"Dalam kes ini, saya pasti SPR telah dinasihatkan oleh pejabat Peguam Negara dan agensi berkaitan yang lain. Ini merupakan keputusan yang jelas di pihak SPR yang terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Selasa.

Pandangan Karpal Singh itu bagaimanapun bercanggah dengan pendirian veteran parti itu Lim Kit Siang, yang dalam satu kenyataan berkata SPR telah bertindak mengenepikan perlembagaan dan di luar bidang kuasanya apabila menolak keputusan speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar berhubung kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan DUN Behrang dan diadakan pilihan raya kecil.

Tugas berperlembagaan SPR, katanya ialah mengambil tindakan terhadap notis rasmi Speaker DUN Perak mengenai kekosongan di dua kerusi itu dan menetapkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.

"SPR tidak berhak untuk bertindak dan merampas bidang kuasa mahkamah untuk mempertikaikan keputusan speaker, kerana cabaran perundangan seumpama itu sepatutnya diambil oleh Jamaluddin dan Mohd Osman jika mereka mahu mencabar kesahihan peletakan jawatan mereka di kerusi DUN masing-masing," kata Lim.

Hari ini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata keputusan itu dibuat kerana Jamaluddin dan Mohd Osman telah menulis surat kepada speaker DUN Perak yang menyatakan peletakan jawatan mereka adalah tidak sah.

Kemelut politik di Perak meletus dua hari lepas apabila dua Adun itu dikatakan "hilang", menimbulkan kebimbangan yang mereka telah berpaling tadah dengan menyertai Barisan Nasional (BN).

Kedua-dua mereka mengadakan sidang akhbar bersaingan, tanpa kehadiran mereka, yang hanya dihadiri wakil masing-masing untuk menyatakan yang mereka tidak berpaling tadah tetapi mahu menjadi wakil rakyat Bebas. Mereka juga menyatakan yang mereka tidak meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Selepas kedua-dua mereka didakwa telah "menghilangkan diri", Sivakumar selaku speaker, menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh daripada dua wakil rakyat itu kepada SPR, meminta SPR mengisytiharkan dua kerusi itu kosong dan diadakan pilihan raya kecil.

Surat itu didakwa ditandatangani oleh kedua-dua Adun itu selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Sementara itu, seorang lagi peguam kanan, Naran Singh, ketika dihubungi berkata speaker sepatutnya mengesahkan kedua-dua surat itu kerana ia ditandatangani oleh wakil rakyat.

"Speaker sepatutnya bertanya kepada dua wakil rakyat itu jika mereka telah keluar daripada parti yang mereka wakili atau mereka telah meletakkan ajwatan sebagai wakil rakyat. Kedua-dua mereka berhak untuk membuat pengesahan," katanya.

Naran Singh berkata pilihan raya kecil tidak boleh diadakan sewenang-wenangnya hanya berdasarkan surat, dihantar oleh pihak ketiga tanpa sebarang pengesahan.Beliau juga sependapat dengan Karpal Singh bahawa SPR mempunyai kuasa untuk memutuskan perkara itu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1982.

Seorang lagi peguam kanan, Akbardin Abdul Kader berkata SPR membuat keputusan betul dan isu bagi diadakan pilihan raya kecil di dua kerusi itu tidak timbul kerana kedua-dua wakil rakyat menafikan yang mereka telah mengosongkan kerusi itu.

"Ketulenan surat itu juga boleh dipersoalkan, kecuali SPR mahu menyiasat lebih lanjut dengan memanggil saksi untuk membuktikan yang surat itu adalah tulen.

"Tetapi ini akan menimbulkan banyak masalah kerana kedua-dua wakil rakyat telah menyatakan yang mereka tidak meletakkan jawatan. Lagipun, bukan bidang kuasa mereka untuk menyiasat perkara itu," katanya.

-BERNAMA
.