Cekati Tembaga memetik daripada Agendadaily
Majlis Syura Pas yang diketuai oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 
sepatutnya memecat presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang 
kerana mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah 
Ahmad Badawi untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Md. Alwi Che 
Ahmad berkata, Abdul Hadi telah datang ke kediaman rasmi Perdana Menteri
 untuk membincangkan perkara tersebut dan bersetuju membentuk kerajaan 
perpaduan dengan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Utusan melaporkan, beliau yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) 
Kelantan bagaimanapun berkata, rancangan itu tidak menjadi kenyataan 
kerana ditentang oleh Nik Abdul Aziz dan beberapa pemimpin lain dalam 
Pas.
"Abdul Hadi bersetuju untuk tubuh kerajaan perpaduan. Saya tahu 
kerana pada ketika itu saya adalah Setiausaha Politik kepada Perdana 
Menteri, malah saya terlibat secara langsung bertemu dengan beberapa 
pemimpin Pas untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.
"Kalau bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dipecat 
maka Nik Abdul Aziz sewajarnya memecat Abdul Hadi kerana membelakangi 
parti. Nik Abdul Aziz adalah Mursyidul Am Pas yang mengetuai Majlis 
Syura dan kedudukannya lebih tinggi daripada Abdul Hadi.
"Sebab itu saya melihat tindakan Pas pecat Hasan tidak mengikut 
syariat tetapi mengikut kepentingan parti selepas ditekan oleh DAP dan 
Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Pas memecat Hasan 
kerana mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar parti itu.
Kontroversi membabitkan Hasan bermula apabila dia bersetuju dengan 
tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan 
terhadap sebuah gereja di Damansara tahun lalu yang disyaki memurtadkan 
beberapa orang Islam.
Hasan menjadi tumpuan lagi apabila mempertikaikan perubahan dasar 
perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.
Kelantangan Hasan dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan agama Islam 
telah mengundang rasa tidak senang DAP serta beberapa pemimpin tertinggi
 PKR sehingga ada yang menganggap beliau sebagai 'duri dalam daging' 
kepada pakatan pembangkang.
Hasan sekali lagi menjadi perhatian apabila tidak menyokong 
perhimpunan Bebaskan Anwar 901 kelmarin dan menyarankan orang ramai 
khususnya mahasiswa tidak menyertainya.
Kenyataan tersebut mengundang kemarahan PKR selaku penganjur 
perhimpunan sehingga Timbalan Presidennya, Azmin Ali menggesa Pas 
mengambil tindakan terhadap Hasan.
Md. Alwi yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri 
Kelantan berkata, Hasan perlu dipertahankan supaya beliau dapat 
meneruskan agenda menegakkan Islam, Melayu dan mempertahankan institusi 
kesultanan Melayu.
"Pas pecat Hasan kerana perbuatan mencegah nahi mungkar. Orang macam 
Hasan patut dipertahankan bukannya terus pecat serta merta, tetapi 
disebabkan DAP dan PKR, Hasan dipecat.
"Pas adalah parti 'remote control'. Pas tidak perjuangkan Islam, 
disebabkan itu Nik Abdul Aziz buat keputusan pecat Hasan. Bohong kalau 
dia letak Islam di depan," katanya