Cekati Tembaga menulis...
GUA MUSANG 24 Ogos - Barisan Nasional (BN) akan dapat mencipta kejayaan dan mengekalkan kuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 berdasarkan kejayaan pelan transformasi yang memberikan kesan positif kepada rakyat.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tiada sebab untuk BN gagal pada pilihan raya umum akan datang kecuali pemimpin serta ahli-ahlinya cuai atau ditolak rakyat.
Beliau berkata, transformasi dilakukan oleh kerajaan telah membuahkan hasil dengan prestasi ekonomi yang amat baik pada masa sekarang.
"Sebagai penyandang kita dapat mempengaruhi keadaan lebih baik daripada orang lain, jadi tidak ada sebab kita hendak kalah kecuali kita cuai atau ditolak rakyat. Saya tidak fikir itu (tidak diterima rakyat) akan berlaku kecuali kita tidak mengatur strategi dengan betul.
"Dengar laporan kerajaan nampaknya (transformasi) berkesan, ternyata sekali dengan prestasi ekonomi yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia pada suku kedua tahun ini melebihi apa yang dijangka oleh kerajaan.
"Kalau itu menepati unjuran yang dibuat oleh kerajaan, maka tidak ada sebab bagi seluruh tahun dapat mencapai pertumbuhan pada kadar yang diharapkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat, Bukit Cekati di sini hari ini.
Tengku Razaleigh yakin dengan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa kini bagi memastikan keadaan ekonomi bertambah baik.
"Kalau keadaan yang muram di barat, kita yakin dengan dasar kerajaan, kita akan dapat hadapi keadaan ini kerana di masa lepas, kita dapat hadapi masalah ini dengan jayanya," kata beliau.
Menurut Tengku Razaleigh, UMNO dan BN telah menghadapi pelbagai cabaran termasuk hilang majoriti dua pertiga pada 2008.
"Kekalahan 2008 memberi tamparan teruk kepada kita dan terpaksa menghadapi pilihan raya paling getir dalam sejarah tetapi saya yakin kita boleh menghadapi kemungkinan ini dan kita akan menjadi parti yang berjaya dan berkuasa.
"Bagaimanapun ia bergantung kepada kita semua. Menang kalah terletak di atas bahu kita, kalau tiap-tiap pilihan raya rakyat beri sokongan yang besar, saya tidak hairan jika rakyat beri kemenangan sekali lagi. Kalau kita tidak bekerja, nescaya kita akan menerima padah," katanya.