Pasti ramai yang menggeleng kepala apabila membaca Malaysiakini hari ini, apabila Sasterawan Negara A. Samad Said atau ramai membahasakannya sebagai Pak Samad menyeru Perdana Menteri meletak jawatan kerana kononnya itu suara rakyat yang dibanci melalui facebook.
Bukan itu saja, Pak Samad juga menyifatkan Dato' Sri Najib sebagai Perdana Menteri yang kejam dan mahu memerintah negara ini secara kuku besi. Pak Samad juga berharap agar BN yang memerintah negara sejak merdeka akan tumbang dalam PRU akan datang.
Status yang dianugerahkan kerajaan sebagai Sasterawan Negara rupanya bukan jaminan untuk kewarasan akal dan fikiran. Malang sekali jika benar berita ini, seorang penerima anugerah tertinggi sastera negara hanya sekadar itu bahasa lidahnya, tidak setaraf dengan kedudukan dan penghormatan negara kepada dirinya.
Ketajaman pena dan kepakaran dalam menggubah puisi dan bersajak tidak menjamin ketajaman akal fikir dalam menilai tindakan dan bahasa politik negara. Tidak semestinya orang yang pandai bersyair itu punyai kepandaian sama dalam mengelak dirinya daripada diperalat sebagai lidah kepada ahli-ahli politik pembangkang.
Pak Samad jangan merelakan diri diperalat
Tanpa berniat sedikit pun untuk memperlekeh sasterawan tersohor itu, namun gesaannya sebagaimana yang disiarkan dalam portal pembangkang itu tidak sesuai langsung dengan usia dan pengalamannya.
Apa yang Pak Samad mahukan sebenarnya pun kita tidak tahu, selain daripada hanya menjadi lidah kepada manusia-manusia yang sering kali mahu mencari peluang memburukkan negara.
Kedudukan Pak Samad adalah lebih mulia daripada Anwar Ibrahim yang dikaguminya itu. Apatah lagi ianya lebih mulia daripada kambing hitam Anwar Ibrahim yang ditugaskan menghuru-harakan negara dengan himpunan jalanan 9 Julai lalu.
Namun jika Pak Samad terus merelakan dirinya untuk diperkotak katik oleh Anwar Ibrahim, usahlah bersedih jika orang tidak hormat pada dirinya lagi. Kalau harapan Pak Samad adalah untuk menagih dicalonkan di satu kerusi dalam PRU akan datang, usah berangan terlalu tinggi kerana Anwar nyata sekali tidak pernah ada perancangan ke arah itu.
Nasib Anwar sendiri pun belum pasti lagi.