Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (N.45) Galas akan diadakan pada 4 November sementara penamaan calon pula pada 26 Oktober 2010.
Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar selepas suruhanjaya berkenaan bermesyuarat lebih dua jam pada pagi tadi.
Menurut Wan Ahmad, pilihan raya kecil kali ini akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 Sepember lalu.
“Seramai 11,553 pengundi yang melibat 11,426 pengundi biasa manakala 127 pengundi pos layak mengundi dalam pilihan raya kecil Galas.
“SPR juga menamakan Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustaffa Wan Abdul Halim sebagai pegawai pengurus pilihan raya yang akan dibantu oleh tiga penolong pengurus,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di sini.
Bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen Wan Ahmad berkata, SPR telah bersetuju untuk menubuhkan tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang diketuai oleh seorang Pegawai Penguatkuasa bagi setiap pasukan.
“Bagi tujuan menjalankan pilihan raya kecil N.45 Galas, SPR akan menggunakan bilik gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sebagai Pusat Penamaan Calon dan Dewan Sivik Gua Musang sebagai Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.
“Sebanyak 11 buah sekolah, sebuah balai dan dewan akan digunakan sebagai tempat mengundi membabitkan 25 saluran mengundi,” katanya.
Beliau berkata, seramai 323 petugas pilihan raya telah dilantik oleh SPR bagi melincinkan perjalanan pilihan raya itu.
Sementara itu ketika ditanya, sama ada peratusan keluar mengundi akan merosot kerana SPR mengadakan hari pengundian pada hari bekerja, Wan Ahmad berkata: “Soal mengundi pada hari bekerja atau hari minggu tidak timbul kerana jumlah pengundinya tidak ramai.
“Selain daripada itu, majoriti pengundi di Galas adalah penduduk di kawasan itu dan kebanyakan mereka bekerja sendiri dan menjalankan aktiviti pertanian. ”
Jelasnya, SPR turut menjangkakan peratusan keluar mengundi adalah tinggi mungkin melebihin 81 peratus seperti yang dicapai pada pilihan raya umum yang lalu.
Bagaimanapun, Wan Ahmad menegaskan bahawa, perkara tersebut bergantung kepada faktor cuaca pada hari pengundian.
“Pada pilihan raya kecil di Galas kita tidak melantik mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau perjalanan pilihan raya kecil kali ini.
“Namun kita sedia berbincang dengan Badan Pemantau Pilihan Raya (Mafrel) mengenai pemantauan pilihan raya kecil kali ini,” katanya.
Katanya, kos perbelanjaan pilihan raya kecil Galas adalah tinggi sekitar RM1.3 juta kerana ia melibatkan penggunaan perkhidmatan helikopter di beberapa kawasan yang sukar dihubungi menggunakan jalan darat.
Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan ekoran kematian peyandangnya, Che Hashim Sulaima akibat barah usus pada 27 September lalu.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chek Hashim, 48, mendapat 4,399 undi menewaskan Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) daripada Barisan Nasional dengan majoriti 646 undi.
Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Paloh.
Berikut adalah tarikh-tarikh penting bagi pilihan kecil DUN Galas:
Tarikh keluar writ: 6 Oktober 2010 (Rabu)
Tarikh Keluar Notis Pilihan Raya: 7 Oktober 2010 (Khamis)
Tarikh Penamaan Calon: 26 Oktober 2010 (Selasa)
Tarikh pengundian : 4 November 2010 (Khamis)