Malam tadi (19/3/2010) Kg. Galok dalam DUN Chetok, Pasir Mas mencatat sejarahnya yang tersendiri kerana sejak sekian lama UMNO tidak dapat mengadakan ceramah umum di kubu kuat Pas ini.
Kawasan Peti Undi Galok merupakan "simpanan tetap" undi kepada Pas di Pasir Mas sejak beberapa pilihanraya umum sebelum ini. UMNO tidak pernah berpeluang untuk mengadakan aktiviti besar apatah lagi ceramah umum seperti ini.
Tetapi inisiatif yang diambil oleh Biro Penerangan UMNO Pasir Mas yang diketuai oleh Hj Ahmad Rosdi Mahmad untuk mengadakan Ceramah Perdana di kawasan ini wajar diberi pujian. Pemilihan lokasi di Kg. Galok adalah tindakan yang berani oleh Ahmad Rosdi dan AJKnya dalam Biro Penerangan.
Lokasi yang dipilih adalah di perkarangan Rumah Abg. Zin, seorang tokoh veteran di Kg. Galok, kira-kira 15 km dari bandar Pasir Mas.
Ceramah Perdana malam tadi menampilkan undangan istimewa; Sdra. Ezam Mohd Noor, bekas Setiausaha Politik Anwar Ibrahim yang juga antara pengasas parti keadilan. Kemunculan Ezam amat ditunggu-tunggu orang ramai untuk mendengar sendiri cerita mengenai Anwar Ibrahim daripada orang yang paling rapat dengan ketua pembangkang itu.
Ternyata kehadiran Ezam menjadi tarikan utama kepada orang ramai menyebabkan berlakunya kesesakan jalanraya di sekitar tempat ceramah. Tetapi kecekapan pasukan RELA berjaya mengawal lalulintas daripada bertambah teruk.
Antara lain Ezam mengatakan dosa besar Anwar adalah meletakkan kepentingan diri untuk menjadi Perdana Menteri melebihi daripada segala-galanya sehingga merosakkan apa yang sudah dibina sejak sekian lama.
Ezam menceritakan Anwar pernah mengatakan pemimpin Pas umpama sarkas politik yang kerjanya ceramah setiap malam untuk menghiburkan orang yang kesunyian. Menurut Ezam, Anwar juga melabelkan Nik Aziz sebagai Ulamak Terompah, yang hanya layak dibawa ke dalam tandas.
Ketika menjadi Menteri Kewangan, Nik Aziz pernah memohon kepada Anwar untuk mendapatkan bantuan menaiktaraf kemudahan bekalan air bersih kepada rakyat Kelantan tetapi Anwar tidak setuju dengan alasan kononnya Tan Sri Annuar Musa yang cadangkan tidak beri bantuan itu kepada Kelantan.
Tetapi apabila Anwar dipecat daripada kabinet, Tun Dr. Mahathir arahkan serta merta bantuan berupa pinjaman RM600 juta untuk pastikan rakyat Kelantan tidak terus dibekalkan dengan air tidak berkualiti.
Menurut Ezam juga beliau berperanan besar dalam membantu pembebasan Anwar dari penjara. Apabila diminta oleh Wan Azizah untuk berikhtiar beliau berusaha membawa sendiri Wan Azizah dan anak-anaknya berjumpa Pak Lah yang ketika itu Perdana Menteri, memohon Anwar dilepaskan dan diberi kebenaran berubat di luar negara.
Tetapi apabila bebas, Anwar bukan sahaja tidak berterima kasih kepada Pak Lah malah menghentam dan mengkritik Pak Lah.
Ezam juga melahirkan rasa kesal kerana sepanjang 7 tahun Anwar dalam penjara, beliau tidak putus-putus berjuang untuk membebaskan Anwar kerana pada masa itu percaya Anwar di pihak yang benar tetapi setelah diberi petunjuk oleh Allah SWT tentang siapa sebenarnya Anwar, beliau berasa kesal kerana telah melakukan kesilapan terbesar dalam hidupnya. Ezam mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan isytiharkan menarik balik semua pembelaannya terhadap Anwar sebelum ini.
Ezam juga mempersoalkan kenapa Anwar tidak berani bersumpah, sebaliknya sentiasa berhelah apabila diminta bersumpah.
Pada akhir ucapannya Ezam mencabar Anwar Ibrahim dan Wan Azizah agar menyamannya di Mahkamah jika apa yang beliau dakwa malam ini tidak benar. Beliau bersedia berdepan di mahkamah dan akan mendedahkan lebih banyak lagi berkenaan Anwar pada masa yang sesuai.
Ceramah Ezam yang berlangsung kira-kira 1 jam lebih dilihat begitu menarik hati hadirin yang kebanyakannya tidak berganjak dari tempat duduk dan menunggu untuk bersalaman dengan Ezam.
Secara keseluruhannya ceramah Perdana malam tadi berjaya dan menjadi suntikan semangat kepada UMNO. Kehadiran hampir 2,000 hadirin menjadi petunjuk baru penerimaan rakyat terhadap UMNO untuk kembali memenangi hati rakyat.
Di pihak Pas pastinya merasa gundah dengan keadaan ini kerana kubu kuat mereka sudah ditembusi, lantaran itu mereka akan membuat serangan balas dengan mengaturkan ceramah pada 22 Mac ini di kawasan PASTI, kira-kira 200 meter dari tempat ceramah perdana UMNO malam tadi.
Apa pun kejayaan ceramah malam tadi dilihat permulaan kepada masa depan yang lebih cerah kepada UMNO di Pasir Mas.
CEKATI TEMBAGA mengucapkan tahniah kepada Biro Penerangan khasnya dan UMNO Bahagian Pasir Mas amnya. Saksikan detik-detik menarik ceramah berkenaan..
Ustaz Omar Khalid memulakan ceramah mengupas penyelewengan yang dilakukan Pas
Dato' Haji Hanafi Mamat menyampaikan salam Dato' Mustapa Mohamad, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan kepada seluruh hadirin
Ezam mendedahkan Anwar adalah Master of Perception
Ezam mencabar Anwar dan Wan Azizah menyaman beliau jika apa yang dikatakannya tidak betul, beliau sedia berdepan di Mahkamah
Hadirin turut merakam kenyataan Ezam
Sebahagian lagi masyarakat Pasir Mas yang hadir
Hadirin terpaku mendengar pendedahan Ezam
Sebahagian lagi yang hadir
Setelah majlis bersurai masih lagi menunggu untuk bersalam dengan Ezam..