MUHAMMAD Muhd. Taib bermesra dengan penerima program bantuan rumah pada majlis perasmian Bangunan Pejabat RISDA Jajahan Kelantan Utara di Pasir Mas, Kelantan, semalam.
Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menyifatkan Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak layak untuk tinggal di negara ini kerana tidak memahami adat dan budaya masyarakat di sini.
Beliau berkata, sikap Karpal yang bermulut celupar itu juga tidak sesuai dan selari dengan rakyat negara ini terutama orang Melayu yang beradat dan beradab.
"Karpal sejak 15 tahun dulu bermulut celupar apabila menghina sultan dan yang terbaru menggelar Pemuda UMNO sebagai celaka, ini tidak sesuai dengan negara kita, orang Melayu ada adat dan adab.
"Siapa hendak duduk negara ini kena faham semua perkara ini. Sebagai contoh, hendak masuk rumah orang pakai kasut tidak salah, cuma kalau masuk ke dalam rumah orang Melayu pakai kasut, mungkin kita kena tumbuk," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat RISDA Jajahan Kelantan Utara di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Abd. Jabar Che Nai dan Ketua Pengarah Risda, Datuk Mohammad Izat Hassan.
Utusan Malaysia semalam menyiarkan kenyataan Karpal yang menyifatkan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sebagai budak kecil dan juvenil.
Kenyataan tersebut adalah maklum balas daripada desakan Khairy supaya Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mengemukakan bukti dalam tempoh 24 jam berhubung tuduhannya yang mendakwa Pemuda UMNO bertanggungjawab mengirim dua butir peluru kepadanya.
Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Karpal sewajarnya menunjukkan contoh yang terbaik kepada orang muda.
"Saya minta Karpal tunjuk contoh terbaik kepada orang muda, kalau tidak pandai jaga mulut itulah akibatnya, orang muda cepat panas.
"Itulah jadinya jika kita tidak pandai layan anak-anak, ibarat kita baling bola ke dinding ia akan melantun kena kita balik dengan kelajuan yang sama," katanya.
Tambahnya, peguam veteran itu sebenarnya seorang penakut dan hanya berani mengeluarkan kenyataan serta berselindung di sebalik kekebalan Parlimen.
Ditanya adakah UMNO Selangor akan mengambil tindakan terhadap anggota Pemuda negeri itu yang menimbulkan kekecohan di Parlimen kelmarin, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata:
"Kita perlu melihat kejadian ini berpunca daripada siapa, Karpal yang memulakannya dahulu dengan mulutnya yang celupar sehingga menimbulkan kemarahan mereka."
.