Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar memanggil sidang tergempar dewan itu Selasa depan untuk membahaskan dua usul yang boleh mengusutkan lagi krisis politik negeri tersebut.
Beliau menggunakan kuasanya bawah peraturan tetap 8 dan 11 DUN itu untuk membahaskan isu-isu utama yang menjadi ketegangan pokok antara Pakatan Rakyat dan BN sejak awal bulan ini.
Usul pertama, mengesahkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah sebelum ditumbangkan dalam rampasan kuasa BN.
Kedua, membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihanraya peringkat negeri diadakan seperti hasrat Pakatan Rakyat sebelum ini.Krisis politik di negeri itu tercetus susulan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat meninggalkan kerajaan campuran itu dan menyatakan sokongan kepada BN.
Speaker membenarkan kesemua Adun hadir di persidangan khas itu kecuali mereka yang telah digantung pada 18 Feb lalu, iaitu Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya. Tiga wakil rakyat bebas - yang dianggap telah mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat peletakan jawatan mereka - juga dilarang menyertai sidang tersebut.
Jika larangan itu dipatuhi, barisan wakil rakyat BN akan tinggal 21 orang, sementara Pakatan Rakyat 27 orang, tidak termasuk Sivakumar. Sidang tergempar DUN ini akan mencetuskan satu lagi babak tegang dan tidak menentu perebutan kuasa antara BN dan Pakatan.
Menurut Bernama, Sivakumar memberitahu media di Ipoh bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan persidang biasa DUN dan bukannya untuk sidang tergempar.
Katanya, arahan telah diberikan kepada Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong, untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua 49 Adun yang dibenarkan hadi bagi menyertai sidang itu.
Ditanya sama ada tindakannya memanggil sidang tergempar itu tanpa perkenan Sultan Azlan Shah akan dianggap sebagai tidak menghormati baginda, Sivakumar berkata beliau hanya mengikut Perintah Tetap dewan.
Beliau juga enggan mengulas tindakan selanjutnya jika kesemua Adun BN enggan menghadiri sidang tergempar itu atau jika kesemua 10 wakil rakyat yang dilarang itu tetap hadir ke sidang tersebut, lapor agensi berita itu lagi.
Sementara itu, bekas exco kanan Perak semasa kerajaan Pakatan Rakyat, Datuk Ngeh Koo Ham dilaporkan berkata penasihat undang-undang negeri Datuk Ahmad Kamal Mohd Shahid cuba menghalang notis sidang tergempar itu dikeluarkan. Tambahnya, tindakan sedemikian boleh disifatkan menghina dewan dan boleh dikenakan tindakan oleh DUN tersebut.
p/s : PEMBANGKANG DI PERAK SUDAH MENJADI TIDAK KETENTUAN, TINDAKAN MEMANGGIL SIDANG DUN TANPA PERKENAN SULTAN PERAK SAMA SEKALI TIDAK MENEPATI KEHENDAK PERLEMBAGAAN NEGERI.
.