Nukilan Sasterawan Negawa Usman Awang untuk dihayati oleh orang Melayu yang mengaku dirinya Melayu dan mahu terus menjadi Melayu.. Sama-samalah kita memastikan Melayu tidak akan layu 
.
Melayu itu orang yang bijaksana 
Nakalnya bersulam jenaka 
Budi bahasanya tidak terkira 
Kurang ajarnya tetap santun 
Jika menipu pun masih bersopan 
Bila mengampu bijak beralas tangan. 
.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya: 
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu Banjar juga disebut Melayu, 
Minangkabau memang Melayu,Keturunan Acheh adalah Melayu, 
Jakun dan Sakai asli Melayu, Arab dan Pakistani, semua Melayu 
Mamak dan Malbari serap ke Melayu 
Malah mua’alaf bertakrif Melayu.
.
Dalam sejarahnya Melayu itu pengembara lautan 
Melorongkan jalur sejarah zaman 
Begitu luas daerah sempadan 
Sayangnya kini segala kehilangan
.
Melayu itu kaya falsafahnya 
Kias kata bidal pusaka 
Akar budi bersulamkan daya 
Gedung akal laut bicara 
.
Malangnya Melayu itu kuat bersorak 
Terlalu ghairah pesta temasya 
Sedangkan kampung telah tergadai 
Sawah sejalur tinggal sejengkal 
Tanah sebidang mudah terjual
.
Meski telah memiliki telaga 
Tangan masih memegang tali 
Sedang orang mencapai timba.
.
Berbuahlah pisang tiga kali 
Melayu itu masih bermimpi 
Walaupun sudah mengenal universiti 
Masih berdagang di rumah sendiri. 
.
Berkelahi cara Melayu 
Menikam dengan pantun 
Menyanggah dengan senyum 
Marahnya dengan diam 
Merendah bukan menyembah 
Meninggi bukan melonjak.
.
Watak Melayu menolak permusuhan 
Setia dan sabar tiada sempadan 
Tapi jika marah tak nampak telinga 
Musuh dicari ke lubang cacing 
Tak dapat tanduk telinga dijinjing 
Maruah dan agama dihina jangan 
Hebat amuknya tak kenal lawan 
.
Berdamai cara Melayu indah sekali 
Silaturrahim hati yang murni 
Maaf diungkap senantiasa bersahut 
Tangan diulur sentiasa bersambut 
Luka pun tidak lagi berparut 
.
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan 
Selagi yang ada sanggup diberikan 
Sehingga tercipta sebuah kiasan: 
.
“Dagang lalu nasi ditanakkan 
Suami pulang lapar tak makan 
Kera di hutan disusu-susukan 
Anak di pangkuan mati kebuluran” 
.
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu 
Masihkan tunduk tersipu-sipu? 
Jangan takut melanggar pantang 
Jika pantang menghalang kemajuan; 
Jangan segan menentang larangan 
Jika yakin kepada kebenaran; 
Jangan malu mengucapkan keyakinan 
Jika percaya kepada keadilan 
.
Jadilah bangsa yang bijaksana 
Memegang tali memegang timba 
Memiliki ekonomi mencipta budaya 
Menjadi tuan di negara Merdeka. 
.
(Usman Awang) 
.