SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

26 October 2008

Kelantan bentang bajet 2009 dengan anggaran defisit RM20.28 juta


KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan membentangkan bajet defisit bagi tahun 2009 dengan anggaran perolehan hasil sebanyak RM339.98 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM360.26 juta.

Dengan tema "Bajet Berimbang", kerajaan negeri menjangkakan jumlah defisit pada tahun 2009 sebanyak RM20.28 juta, berkurangan berbanding dengan defisit Bajet 2008 yang berjumlah RM23.73 juta.

Bajet kali ini dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Datuk Husam Musa berikutan keuzuran Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Husam berkata anggaran hasil negeri bagi tahun depan sebanyak RM339.98 juta itu meliputi hasil cukai sebanyak RM80.13 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM169.30 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM90.55 juta.

"Penurunan hasil pada tahun 2009 adalah berpunca daripada penurunan beberapa sumber hasil tertentu akibat semakan semula oleh jabatanjabatan setelah mengambil kira pungutan sebenar hasil yang diperolehi pada tahun bagi tahun 2007," katanya.

Beliau berkata hasil tanah menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM116.97 juta atau 34.41 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil diikuti sektor perhutanan iaitu RM94.97 juta atau 27.93 peratus. Pungutan royalti air pula dijangka kekal sebanyak RM3.41 juta.

Dalam usaha meningkatkan hasil negeri, kerajaan akan memberi kesedaran kepada pemilik tanah supaya menjelaskan premium dan cukai tanah dan tunggakan manakala agensi seperti pihak berkuasa tempatan, Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) perlu berusaha untuk tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan negeri, katanya.

Beliau berkata anggaran perbelanjaan mengurus tahun 2009 berjumlah sebanyak RM360.6 juta berbanding RM424.73 juta dalam tahun 2008, iaitu menurun sebanyak RM64.47 juta atau 15.20 peratus, merangkumi Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM35.99 juta dan Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM324.28 juta.

Peruntukan pembangunan bagi tahun 2009 pula berjumlah RM184.46 juta yang dibiayai di bawah peruntukan negeri.

Husam berkata tema Bajet Berimbang dapat dizahirkan menerusi tiga aspek utama iaitu penjanaan ekonomi berterusan untuk semua rakyat, pembinaan insan yang berteraskan Islam dan pembelaan berterusan golongan daif, miskin, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim, ibu tunggal (armalah) dan warga emas.

Kerajaan negeri juga akan memberi perhatian serius dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur yang menjadi pemangkin kepada pembangunan fizikal dan sosial yang lain dengan sebanyak RM26.50 juta peruntukan bagi tujuan itu, katanya.

Untuk sektor pertanian diperuntukkan sebanyak RM2.05 juta, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM1.55 juta), Jabatan Perikanan (RM410,000) dan pelancongan (RM1.9 juta), katanya.

Bagi program memartabatkan agama Islam, peruntukan awal RM8 juta disediakan untuk pembinaan Kompleks Islam di Gua Musang, Machang, Pasir Puteh dan Bachok manakala RM1.1 juta untuk bantuan masjid dan surau dan RM5.50 juta untuk projek pembinaan dan pembaikan masjid seluruh negeri.

Sebagai usaha berterusan membela golongan daif, miskin, golongan OKU, armalah dan warga emas, kerajaan negeri menyediakan sejumlah RM1.20 juta untuk Program Pembelaan Rakyat Miskin, RM200,000 untuk program penempatan semula penduduk, RM800,000 untuk Projek Bantuan Bekalan Air Dan Elektrik, dan RM2 juta untuk subsidi baja padi.

"Kerajaan juga meneruskan program bantuan kesihatan rakyat miskin yang menghidapi penyakit kronik dengan jumlah RM300,000 diperuntukkan, juga peruntukan sebanyak RM600,000 untuk OKU. Untuk membantu golongan armalah pula, sebanyak RM2 juta diperuntukkan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga merancang membina beberapa projek Perumahan Awam Kos Rendah dengan peruntukan sebanyak RM22 juta, selaras dengan dasar kerajaan negeri menyediakan peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

- BERNAMA
.