SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

26 October 2008

Pembangkang dakwa bajet negeri Kelantan tidak mampu tingkat hasil

KOTA BAHARU: Bajet Kelantan yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) Kelantan hari ini disifatkan pembangkang sebagai tidak mampu menjana peningkatan hasil kerajaan negeri yang terus menyaksikan jumlah hutang Kelantan terus tinggi.

Timbalan ketua pembangkang di DUN itu, Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubor) berkata bajet yang bertemakan "Bajet Berimbang" itu sebenarnya langsung "tidak berimbang" dan banyak merugikan kerajaan Kelantan.

"Hutang awam Kelantan kini sudah melebihi aset iaitu sebanyak RM326 juta tahun lalu akan terus meningkat pada masa depan dan jika tidak ada usaha untuk berbuat sesuatu keadaan hutang Kelantan semakin membimbangkan.

"Titah Sultan Kelantan juga harus diambil kira apabila menegur ada beberapa hasil kerajaan negeri yang tidak dimasukkan dalam hasil wang yang disatukan," katanya ketika membahaskan Bajet 2009 itu.

Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan bajet defisit bagi 2009 dengan anggaran hasil yang diperolehi sebanyak RM339.98 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM360.26 juta.

Walaupun kerajaan negeri menjangkakan jumlah defisit pada 2009 sebanyak RM20.28 juta, jumlah itu bagaimanapun berkurangan berbanding defisit bajet 2008 sebanyak RM23.73 juta.

Bajet itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa (PASSalor) berikutan keuzuran Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Noor Zahidi berkata rakyat Kelantan terus "digulagulakan" seperti Ladang Rakyat yang belum lagi ditanam dan mendatangkan hasil tetapi sudah diberikan dividen.

"Saya ingin bertanya adakah hasil penebangan balak untuk tanaman ladang rakyat itu dimasukkan ke dalam hasil wang yang disatukan," katanya.

Beliau berkata adalah menghairankan apabila bajet kerajaan negeri itu dimaklumkan peruntukan yang tidak pernah cukup sedangkan Kelantan kaya dengan hasil yang boleh memberi keuntungan kepada negeri.

Noor Zahidi juga mempersoalkan skim penanaman getah klon balak di hutan simpan sama ada di hutan simpan itu tidak mempunyai balak atau sebaliknya.

"Apa yang dikhuatiri penanaman klon getah ini akan menjadi seperti penanaman sentang yang akhirnya perkara ini tidak berlaku," katanya.

Beliau juga hairan mengapa kerajaan negeri memperuntukkan kos yang begitu tinggi untuk menyelenggarakan sekolah agama seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) sebanyak RM40 juta.

Katanya jika sekolah-sekolah agama itu diserahkan kepada kerajaan Pusat untuk ditadbir, kerajaan negeri akan dapat menjimatkan perbelanjaan.

"Sekolah YIK ini kebanyakannya sangat daif dan memerlukan peruntukan besar untuk menyeliakannya," katanya.

Menurutnya kerajaan negeri juga boleh menjimatkan lagi perbelanjaan dengan membenarkan kerajaan Pusat membina laluan bertingkat landasan keretapi di Pasir Mas. Katanya, tidak ada faedah untuk kerajaan negeri berlumba-lumba membina laluan bertingkat itu sedangkan tidak mampu untuk berbuat demikian.

Beliau juga menyelar bajet itu meminggirkan terus manifesto PAS pada pilihan raya umum lalu seperti tiadanya tabung untuk peniaga wanita.

Sementara itu di luar dewan, ketua pembangkang Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) meminta kerajaan negeri supaya tidak memasukkan peruntukan pemberian baja sebanyak RM2 juta dalam bajet berkenaan. Katanya kerajaan Pusat telah memberi baja kepada semua petani di Kelantan tanpa mengira fahaman politik dan peruntukan kerajaan negeri itu boleh disalurkan kepada perkara lain.

"Kerajaan negeri juga tidak melaksanakan manifesto PAS untuk memberikan cuti bersalin kepada 90 hari dan pembinaan kompleks sukan untuk wanita," katanya.

- BERNAMA


.