SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

23 June 2008

Isa Samad bebas hukuman gantung 3 tahun

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad mengesahkan bahawa penggantungan keahliannya sebagai anggota Umno bagi kesalahan politik wang yang berkuatkuasa 24 Jun 2005, telah berakhir. Isa yang memenangi jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti 2004, sebelum didapati bersalah atas tuduhan itu, berkata beliau menerima surat daripada ibu pejabat Umno, Jumaat lepas yang memaklumkan penggantungan keahliannya berakhir hari ini.

"Saya bersyukur dan hanya tersenyum ketika menerima surat itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.Ditanya langkah seterusnya sama ada akan bergiat semula dalam politik termasuk bertanding pada pemilihan parti Disember ini, Mohamed Isa, yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1982 hingga 2004, berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan dan masih memikirkannya.

Lembaga Disiplin Umno menggantung keanggotaan Mohamed Isa, 58, selama dua penggal atau enam tahun selepas mendapati beliau bersalah terhadap lima daripada sembilan pertuduhan politik wang semasa pemilihan parti pada 2004. Mohamed Isa memenangi jawatan Naib Presiden Umno bagi penggal 2004/2007 dengan jumlah undian tertinggi iaitu 1,507 diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Berikutan hukuman itu, Mohamed Isa turut digantung semua jawatannya dalam parti termasuk sebagai Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang. Tempoh penggantungan keanggotaan Mohamed Isa kemudian dikurangkan dari enam tahun kepada tiga tahun selepas beliau mengemukakan rayuan pada 6 Julai 2005.Selepas digantung keahlian, Mohamed Isa telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 17 Oktober 2005.

Sementara itu Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata kedudukan seseorang anggota Umno yang digantung keahliannya akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti apabila tempoh penggantungan itu berakhir.

Beliau berkata ini proses biasa dilalui oleh semua anggota Umno yang digantung keanggotaan atas pelbagai kesalahan melanggar disiplin parti termasuk politik wang.

"Biasanya ia akan dibincang dulu oleh Jawatankuasa Pengurusan dan kemudian akan dibawa ke MT. MT akan bincang dan buat keputusan. Keputusan MT muktamad.

"Macam kes (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Zaid (Ibrahim), beliau tidak (boleh) secara automatik pegang balik Ketua Bahagian Kota Baharu. Kena pergi balik (kepada pucuk pimpinan parti), apa keputusannya, ini macam mana (kesnya)," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Muhammad, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diminta mengulas mengenai kenyataan bekas naib presiden Umno Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad yang mendakwa telah menerima surat dari ibu pejabat Umno pada Jumaat lalu, memaklumkan tempoh penggantungan keahlian beliau selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 berakhir hari ini. Mengulas lanjut, Muhammad berkata beliau percaya Jawatankuasa Pengurusan parti akan membincangkan kedudukan Isa dalam mesyuarat mingguan mereka yang lazim diadakan pada setiap Rabu.

"Tunggu Jawatankuasa Pengurusan membincangkannya," katanya sambil menambah kata status Isa juga mungkin dibincang semasa mesyuarat MT yang dijadual Khamis ini.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengesahkan bahawa status setiap anggota Umno yang digantung keanggotaan akan dibincang dalam Jawatankuasa Pengurusan sebelum dibawa kepada MT untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun Bernama difahamkan jawatankuasa itu tidak bermesyuarat minggu lalu kerana Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Timbalan Presiden Umno yang mempengerusikan jawatankuasa itu bercuti.

Isa pada mulanya digantung keanggotaan selama enam tahun atau dua penggal, selepas didapati bersalah dalam lima daripada sembilan tuduhan politik wang pada pemilihan Umno pada September 2004.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut digantung semua jawatannya dalam parti termasuk sebagai Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang.

Bagaimanapun selepas rayuan, tempoh penggantungan keahlian Isa yang menerima undi terbanyak untuk jawatan naib presiden pada pemilihan itu dikurangkan kepada tiga tahun.Sementara itu, Zaid pula yang sebelum ini mengetuai Umno Bahagian Kota Baharu pernah digantung keahlian selama 18 bulan selepas beliau enggan memohon maaf ekoran kenyataan terbukanya yang dianggap menghina Lembaga Disiplin Umno.

Penggantungan keahliannya bermula 27 Jun 2005 dan berakhir pada 1 Jan lalu.

Sehubungan itu Umno Kota Baharu mendesak pucuk pimpinan agar jawatan ketua bahagian dikembalikan kepada Zaid, sementelah beliau juga telah dilantik Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyertai Kabinet yang dibentuk selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

MT Umno dalam satu mesyuarat pada 2006 memutuskan manamana Ketua Bahagian yang digantung keahlian perlu bertanding semula untuk menyandang jawatan mereka.

- BERNAMA
.