Cekati Tembaga memetik daripada Mstar
Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib tegas dengan pendiriannya 
sebelum ini bahawa penggunaan kalimah Allah khusus untuk orang Islam dan
 penganut agama lain tidak berhak untuk menggunakannya.
Penegasan itu sekaligus bercanggah dengan pendirian pakatan 
pembangkang pada Selasa seperti diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul
 Hadi Awang bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam tetapi
 tidak wajar disalahguna oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam 
sehingga menimbulkan kekeliruan.
Namun demikian menurut Harun pula, penggunakan kalimah Allah 
merupakan soal akidah umat Islam yang perlu dipertahankan dan penganut 
agama lain termasuk Kristian harus dilarang sama sekali daripada 
menggunakan kalimah itu dalam apa jua keadaan.
"Bukan Islam tak boleh guna (kalimah Allah) sebab mereka tak percaya 
kepada Allah. Perkataan 'God' dalam Bible bermaksud Tuhan. Kalau mereka 
kata mereka juga percaya kepada kewujudan Allah, maka dengan sendirinya 
mereka tak boleh menggunakan Bible, kena guna al-Quran.
"Kalau mereka percaya kepada kewujudan Allah, maka berimanlah kepada Allah. Mengapa masih menganut Kristian," katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.
Selain itu menurut Harun, penggunaan kalimah Allah dalam Bible dikuatiri akan merosakkan akidah generasi akan datang.
"Sekarang mungkin tak timbul masalah, tapi masa depan macam mana? 
Kalau Kristian pun pakai kalimah Allah iaitu nama tuhan orang Islam... ia
 akan menimbulkan kecelaruan. Ini sangat bahaya," tegasnya.
Menerusi sidang media khas pakatan pembangkang pada Selasa, Abdul 
Hadi berkata Pakatan Rakyat mempertahankan keputusan dua tahun lalu 
untuk membenarkan kalimah itu digunakan penganut agama lain.
Katanya, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan 
kalimah itu dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal 
seperti dalam al-Quran.
Sementara itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membuat 
ketetapan bahawa kalimah Allah yang khusus untuk umat Islam tidak boleh 
digunakan di negeri itu oleh mana-mana agama bukan Islam.
Polemik penggunaan kalimah Allah muncul semula apabila Setiausaha 
Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan Krismas pada 24 Disember lalu 
menggesa kerajaan membenarkan penggunaan kalimah itu dalam Bible bahasa 
Melayu memandangkan ia dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun 
lalu.
