Cekati Tembaga menulis...
KUALA TERENGGANU 10 Julai - Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang membidas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan nasib orang Melayu di Pulau Pinang adalah lebih baik daripada di Kedah dan Terengganu.
Menurut beliau, kenyataan Anwar itu umpama menegakkan 'benang yang basah' dan ia dibuat semata-mata untuk mengambil hati pemimpin DAP di negeri tersebut.
Katanya, memang sangat tidak adil untuk membandingkan nasib orang Melayu yang berada di bawah pimpinan parti itu dengan di Terengganu yang dipimpin oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Di Terengganu umpamanya, kita (orang Melayu) merencana, mengurus dan membuat keputusan sendiri. Tapi, bolehkah orang Melayu di sana (Pulau Pinang) buat macam apa yang kita buat sekarang ini?
"Atas sebab itulah saya cakap, nasib orang Melayu Pulau Pinang sebenarnya boleh diibaratkan seperti 'mentimun dan durian', digolek terluka, menggolek pun terluka. Itulah keadaannya selagi negeri itu masih lagi di bawah pimpinan DAP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang enggan membandingkan nasib orang Melayu dengan orang Cina di negeri itu, sebaliknya membuat perbandingan tersebut dengan di Kedah dan Terengganu.
Anwar membuat kenyataan itu ketika menyampaikan amanat semasa Konvensyen Pilihan Raya Umum PKR Pulau Pinang kelmarin yang berlangsung dalam suasana hambar apabila dihadiri oleh kira-kira 200 orang sahaja.
Dalam pada itu, Tengku Putera berkata, Anwar perlu sedar kenyataan yang membandingkan nasib orang Melayu di Pulau Pinang dengan di tempat lain boleh mengundang kemarahan kaum tersebut.
"Jadi, janganlah cuba untuk pertahankan 'benang yang basah' lagi kerana semua orang tahu apa yang berlaku di sana (Pulau Pinang)," ujar beliau.