KOTA BHARU 4 Mei — Kewujudan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan yang dibina dengan kos RM140 juta adalah bukti nyata bahawa kerajaan Pusat sama sekali tidak meminggirkan Kelantan daripada arus pembangunan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kewujudan RTC yang turut menempatkan pejabat enam agensi kerajaan Pusat juga menafikan fitnah pembangkang terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Kesemua pembinaan RTC termasuk enam buah pejabat agensi kerajaan Pusat membabitkan kos sebanyak RM250 juta dengan RTC yang paling besar sekali.
"Ini jelas mematikan fitnah pembangkang yang mengatakan Kelantan dipinggirkan sedangkan walaupun Kelantan diperintah pembangkang namun kerajaan pusat tidak pernah mengabaikan Kelantan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran RTC Kelantan di Bandar Baru Tunjong di sini hari ini.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, jika BN menguasai Kelantan, lebih banyak pembangunan akan dibawa oleh kerajaan Pusat.
"Bukan setakat RTC sahaja, namun masalah lain seperti air bersih dan lebuh raya juga akan dibina jika BN menguasai Kelantan," katanya sambil menambah kehadiran sebegitu ramai orang pada majlis pelancaran ini membuktikan sokongan rakyat terhadap BN sudah jauh berubah.