SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

20 July 2011

Ramadhan - Bekas Menteri Besar Kedah jelaskan mengapa BN tutup pusat hiburan..

Berikut dilampirkan ulasan dan kekesalan Tan Sri Sanusi Junid terhadap sikap PAS yang semakin tunduk pada "Abang Long"

..apabila Abang Long semakin berkuasa, bagi PAS Agama boleh dikompromi, Ramadhan tak mengapa dicemari,

..bagaimana jika pembangkang takluk Putrajaya.. yang pasti Malaysia akan menjadi pusara tempat berkuburnya Daulah Islamiah..


DARI MATLAMAT MEWUJUDKAN NEGARA ISLAM KE NEGARA KEBAJIKAN
MENUTUP 13 JENIS PUSAT HIBURAN DI BULAN RAMADHAN

1. Pada ingatan saya peraturan dan undang-undang pusat hiburan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan telah lama wujud di Kedah dan dirapikan lagi sejak tahun 1997 di waktu saya menjadi Menteri Besar Kedah.

2. Pindaan yang dibuat pada tahun 1997 ini memberi kuasa kepada pihak majlis-majlis tempatan untuk menutup pusat-pusat hiburan berkenaan dari pukul 6 petang pada hari Khamis malam Jumaat sehinggalah pukul 2.30 tengahari pada hari Jumaat, dan juga pada sepanjang bulan puasa.

3. Dengan pindaan Enakmen inilah maka pada setiap malam Jumaat semua pusat hiburan di Kedah telah ditutup kecuali di Langkawi kerana banyak pelancong. Setakat yang saya tahu tidak ada lesen pusat hiburan yang dikeluarkan kepada Umat Islam.

4. Umat Islam pula tidak dibolehkan oleh ugama Islam untuk melawat pusat-pusat hiburan tertentu bukan sahaja di bulan puasa dan malam Jumaat tetapi untuk sepanjang masa.

5. Pada waktu Enakmen ini dipinda pada tahun 1997 semua pihak setuju termasuk pemimpin dan ADUN PAS yang pada waktu itu parti mereka masih bercita-cita hendak mewujudkan negara Islam.

6. Pihak ADUN bukan Islam juga tidak menentang pindaan Enakmen ini malah ada pihak kumpulan wanita bukan Islam yang menyatakan sokongan atas penutupan pusat-pusat hiburan pada malam Jumaat kerana mereka lebih suka suami mereka berada di rumah bersama keluarga.

7. Saya dapat memahami sebabnya pemimpin MCA pusat tidak menyetujui pelaksaan Enakmen ini di bulan puasa kerana ianya tidak dilakukan di negeri lain.

8. Saya juga dapat memahami sebabnya PAS Kedah ingin melaksanakan Enakmen yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional Kedah untuk mewujudkan pindaan yang memberi kuasa menutup pusat-pusat hiburan di bulan Ramadhan.

9. Apa yang saya tidak faham ialah sebabnya PAS terpaksa tunduk kepada desakan DAP yang baru saja berjaya merobah matlamat PAS dari mewujudkan negara Islam kepada negara kebajikan.

10. Saya menjadi lebih kesal apabila Enakmen ini hendak dipinda kononnya disesuaikan dengan selera bukan Islam.

11. Jika di dalam sesebuah negara kebajikan, dan bukan Islam sekalipun, menutup pusat-pusat hiburan atau maksiat, tidaklah bertentangan, malah lebih baik untuk kebajikan.

12. PAS sepatutnya tidak takut untuk memberi kursus kepada DAP betapa PAS disokong oleh rakyat kerana PAS bercita-cita mewujudkan negara Islam.

13. Kemenangan PAS dan PKR di Kedah dalam Pilihanraya Umum ke 12 juga disebabkan ramai pengundi Melayu, termasuk ahli-ahli UMNO, yang bosan dengan kemimpinan kerajaan pusat yang rasuah, menyeleweng dan tidak cekap selain kepimpinan kerajaan negeri yang kelihatan boros.

14. Tindakan kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan PAS masa kini untuk menutup pusat-pusat hiburan di bulan Ramadhan pasti boleh membantu mereka dalam pilihanraya akan datang. walau pun UMNO pasti meletak calon yang baik dan bersih dalam PRU ke 13.

15. Menteri Besar Kedah sepatutnya tidak berunding terus dengan wakil peniaga-peniaga China sebelum pemimpin berketurunan China dalam Pakatan Rakyat, yang memahami politik PAS di Kedah berjumpa dahulu dengan mereka untuk memahamkan tujuan kerajaan itu.

16. Orang ramai di Kedah tidak akan menghormati seseorang pemimpin yang membuat keputusan sebelum meneliti dahulu implikasinya dan selepas itu merobah keputusan semata-mata kerana gagal meyakinkan pihak peniaga atas sebab musabbab keputusan itu dibuat.

17. Jika masyarakat China di Kedah masih menyokong Pakatan Rakyat maka mereka tidak akan menyusahkan Menteri Besar untuk merobah keputusan. Jika masyarakat China di Kedah sudah tidak lagi menyokong Pakatan Rakyat di Kedah kerana Pemimpin Pakatan Rakyat di peringkat pusat dikatakan bergelumang dengan maksiat, maka merobah keputusan menutup pusat-pusat hiburan di bulan Ramadhan yang mulia itu, tidak akan membuat mereka menyokong lagi Pakatan Rakyat.

18. Mungkin juga tidak ada pemimpin China dalam Pakatan Rakyat di Kedah yang boleh diharapkan oleh Menteri Besar Kedah untuk memberi petunjuk, sepanjang masa, mengenai kebajikan dan kepentingan perniagaan orang-orang China.

19. Mungkin juga peluang-peluang perniagaan di Kedah sangat terbatas sehingga hidup mereka terpaksa bergantung kepada perniagaan maksiat.

20. Saya percaya bahawa faktor utama yang menyebabkan perubahan pendirian kerajaan PAS di Kedah ialah kerana desakan dari PAS pusat.

21. PAS pusat pula tidak dapat mengelak daripada kenyataan bahawa keputusan mereka itu adalah disebabkan oleh desakan, atau ultimatum, daripada Karpal Singh.

22. Adakah PAS pusat akan membatalkan keputusan kerajaan negeri yang begitu baik dan Islamik jika Karpal tidak menggertak? Sudah tentu tidak. Mereka pasti sedar dengan dosa kerananya.

23. Pemimpin dan ahli PAS hendaklah mengenal siapa dia Karpal Singh ini. Beliau bukanlah satu-satunya tokoh politik dari keturunan Punjabi di duniaa. Perdana Menteri India juga 'Singh' bernama Dr. Manmohan Singh anak kepada Shri Gurmukh Singh dan Shrimati Amrit Kaur.

24. Dr. Manmohan Singh telah melawat Malaysia baru-baru ini dan begitu gembira dengan keadaan orang-orang keturunan India di sini. Sebagai seorang Singh beliau memakai serban, dan beliau tidak perlu membuang serbannya, tetapi berjaya menjadi Perdana Menteri India, walau pun ethnik Punjabi adalah golongan minoriti di India.

24. Banyak pemimpin PAS seperti Murshidul 'Am dan Presiden PAS yang memakai seban walau pun lilitannya berbeza; kalau yang mengikut Arab tidak menutup telinga dan kalau yang dari kalangan Punjabi menutup telinga dengan meninggal sedikit ruang di bawah untuk menjelaskan pendengaran.

25. Pemimpin PAS patut suruh Karpal Singh memakai serban dan bukan Karpal Singh yang mengganggu serban tokoh-tokoh PAS walau pun sudah berjaya menghapuskan matlamat usaha mewujudkan negara Islam kepada negara kebajikan.

26. Pemimpin-pemimpin Melayu Islam tidak perlu takut mempertahan prinsip perjuangan kerana menghambat kemenangan. Kejayaan atau kegagalan sesuatu matlamat ditentukan oleh Allah s.w.t. sementara cara menuju matlamat itu tidak boleh diheret melalui taktik dan cara yang mungkar.

27. Tidak hairanlah saya apabila seorang pelajar UIA yang dikatakan fanatik ugama menyatakan PAS patut ubah nama kepada PKS yang bererti Parti Kebajikan Sementara sebagaimana dulunya ia boleh di panjangankan daripada PAS ( pa - alif - sin ) yang berti Parti Islam Sementara.

28. Karpallah, yang menjadi pembela Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam mahkamah, yang menentukan masa depan Pakatan Rakyat.

29. Semua ini disebabkan ketagih kepada kuasa yang belum dapat dan takut hilang kuasa yang sudah ada.

30. Rasa takut begini sudah menular dalam hati sanubari pemimpin-pemimpin Melayu Islam, dan akan kekal begitu, selagi UMNO dan PAS terus berpecah seperti sekarang.

31. Bangsa Melayu sangat memerlukan pemimpin yang ikhlas dan tegas dan tidak dikungkung oleh cita-cita semata-mata

32. Perkara begini tidak akan berlaku dalam PAS di zaman Allahyarham Dato' Fadzil Noor. Al Fatihah.

Posted by Sanusi Junid at 4:18 PM