Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan dalam titahnya semasa merasmikan sidang Dewan Rakyat hari Isnin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Perdana Menteri bulan hadapan. Baginda berharap, peralihan kepimpinan itu akan berjalan lancar agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan.
"Sehubungan ini, Beta merakamkan penghargaan kepada kepada Memanda Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi di atas kepimpinan dan segala sumbangannya terutama dalam isu-isu integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari," titahnya.
Dalam titahnya juga, Seri Paduka melahirkan rasa kecewa kerana isu-su perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu. Sehubungan itu, baginda menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba memecah belahkan rakyat. Dengan itu baginda mahu seluruh rakyat meningkatkan perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran negara. Baginda turut mengingatkan agar semua pihak menghormati Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Oleh itu, Beta mengingatkan semua piak supaya menghormati kedudukan tersebut dan tidak mempersoalkannya," tegas Seri Paduka.
.