SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

18 May 2008

Rencana dari Utusan

Jangan khianati undi rakyat

Ahli-ahli Parlimen harus mengutamakan kepentingan rakyat berbanding politik mereka.
Pada 8 Mac lalu, pengundi memilih calon wakil rakyat bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri masing-masing. Dua bulan sudah berlalu. Pihak yang diberikan amanah sepatutnya berusaha memberikan buah fikiran dan perkhidmatan demi kepentingan negara dan rakyat.

Namun, perkara yang diheboh-hebohkan dan masih dicanangkan ialah kisah lompat parti dan keghairahan menubuhkan Kerajaan Pusat yang baru.

Pendedahan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan di Parlimen minggu ini yang mendakwa dirinya cuba "dibeli" hingga membolehkannya "hidup senang-lenang sampai tiga generasi" membayangkan gerakan mempengaruhi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyertai parti pembangkang ada asas.

Jika benar dakwaan pemimpin muda Sabah itu, sumber kewangan dan dalangnya perlu didedahkan. Budaya sogokan ini cukup serius. Pihak pembangkang seolah- olah sudah "kemaruk" kuasa sehingga sanggup merasuah.

Seorang rakan di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur tidak menolak wujud perbuatan memancing ahli Parlimen BN terutama di Sabah supaya melompat masuk ke dalam 'gerabak' parti pembangkang.

Cuma soal untuk membuktikan siapa yang menjadi dalangnya yang menjadi masalah. Ini kerana mereka mengguna khidmat orang tengah.

"Pemimpin parti pembangkang itu pun bijak. Sekarang, apabila Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sabah membuat laporan polis atas kenyataan Abdul Rahman mengenai sogokan lumayan itu, orang tengah berkenaan yang menggelabah.

"Tindakan membuat laporan polis itu pun satu taktik PKR untuk memberi kekuatan semula kepada ahlinya setelah perbuatan mereka menampakkan hasil," kata rakan penulis sambil berceloteh tentang 'kegilaan' ahli politik kini yang serba-serbi mahu membuat laporan polis.
Angkara siapakah yang membawa budaya menyogok wang untuk wakil rakyat mengkhianati parti masing-masing? Sejarah politik Sabah pernah menyaksikan lompatan beramai-ramai ahli DUN ke dalam UMNO hingga tumbang kerajaan negeri pimpinan Parti Bersatu Sabah.

Bukan rahsia kepada semua ahli BN terutama UMNO, dan tidak akan lupa taktik licik pemimpin pembangkang itu merampas kuasa pada 1990-an. Sekarang, taktik kotor itu cuba dilakukan sekali lagi di Negeri di Bawah Bayu.

Pemerhati politik, Datuk Dr. Abdul Razak Omar berpandangan adalah tidak wajar Pakatan Rakyat mempunyai tanggapan ahli-ahli Parlimen BN Sabah cukup mudah dibeli. Setakat hari ini, belum ada seorang pun mengisytihar sudah masuk barisan pembangkang.

"Ini menunjukkan, nilai perjuangan politik mereka bukan rendah hingga sanggup menerima tawaran lumayan untuk hidup mewah sampai tiga generasi.

"Jangan lupa, jika mereka 'pakar lompat' sudah pasti BN Sabah tidak akan menjadi penyumbang kerusi yang banyak kepada BN," kata Abdul Razak.

Pelbagai andaian dibuat tentang adanya usaha beberapa ahli Parlimen BN untuk menyeberang sempadan menyertai Pakatan Rakyat. Dengan 82 kerusi Parlimen berada di sebelah pembangkang, bermakna 30 kerusi lagi diperlukan untuk 'dicuri' daripada 140 kerusi BN.
Jika berjaya, pembangkang mampu membentuk kerajaan pusat yang baru dengan majoriti mudah iaitu 112 kerusi berbanding BN yang tinggal 110 kerusi sahaja.

PembangunanPun begitu, penubuhan kerajaan baru dengan majoriti mudah tidak akan menguntungkan mana-mana parti. Sebaliknya kata Abdul Razak, banyak keputusan pelaksanaan projek pembangunan untuk dinikmati rakyat akan tergendala kerana tiada keputusan dicapai.

Apakah agenda sebenar di dalam kepala pemimpin PKR yang beriya-iya mahu 'membeli-belah' ahli Parlimen BN Sabah sedangkan mereka sedar tindakan itu adalah 'rasuah' yang terang-terangan?

Ahli-ahli Parlimen yang pernah didatangi ejen-ejen atau orang tengah dengan dijanjikan habuan wang lumayan elok diperingatkan bahawa sekali maruah dan harga diri dijual, luput sudah kepercayaan rakyat kepada mereka buat selama-lamanya.

Jika benar dakwaan ahli Parlimen Sabah bahawa jumlah habuan melompat parti sangat besar sehingga boleh hidup senang lenang selama tiga generasi, kita tertanya-tanya kemewahan dan kemampuan kewangan pihak terbabit.

Sekiranya setiap seorang ditawarkan melebihi RM3 juta, bayangkan berapa jumlah yang terpaksa diberi untuk mendapatkan 30 ahli Parlimen BN itu? Rakyat sudah pasti ingin tahu, dari mana parti berkenaan memperoleh biaya 'dana' tersebut?

Dalam suasana kepimpinan negara masih mencari formula untuk meredakan kegelisahan rakyat, ekoran kesan kenaikan harga barangan dan suasana politik yang belum stabil, pemimpin politik pembangkang cekap mengambil kesempatan.

"Penyebaran pengaruh dan gelombang itu sudah berlaku. Kerajaan BN perlu bersedia sebarang kemungkinan jika ahli Parlimennya melompat parti," kata Malike Brahim. Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia itu berpandangan kerajaan BN perlu bersiap sedia menghadapi impak besar ketika kebanggaan kerajaan pimpinan selama 50 tahun bagaikan berada di penghujung jalan.

"Apa mekanisme BN jika berlaku lompat parti hingga hilang majoriti mudah. Adakah Perdana Menteri akan minta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat atau membubarkan Parlimen," kata Malike Brahim.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh turut bersetuju bahawa BN harus mengawasi dan meneliti dengan serius tentang segala kemungkinan berlakunya tindakan melompat parti seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR.

"Tidak kira apa statusnya, ia tetap mewujudkan suasana tidak menentu dan agak mengganggu.
"BN tidak punya pilihan. Jika terdapat kemungkinan tindakan melompat parti ini didorong oleh perasaan tidak puas hati berkaitan dengan tuntutan-tuntutan tertentu, Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi BN harus bertindak segera mencari penyelesaian yang total," jelas Hashim.
Anti lompatMenurut Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia itu lagi, jika dibiarkan suasana tidak menentu ini berterusan, ia akan hanya membuka ruang yang lebih luas untuk menggugat kestabilan negara.

"Ia berpotensi menimbulkan krisis keyakinan yang cukup parah. Pilihan terakhir yang ada hanyalah kembali kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya umum semula," jelas Hashim.
Barangkali ahli Dewan Rakyat yang tinggal beberapa hari untuk bersidang ini perlu memikirkan penggubalan undang-undang anti lompat parti supaya amanah pengundi tidak disalah gunakan untuk mana-mana pihak atau parti politik.

Ahli Parlimen jangan sombong ingin melompat ke sana sini. Apabila seseorang ahli Parlimen atau ADUN melompat parti, bermakna mereka telah mengkhianati undi majoriti daripada rakyat. Wakil rakyat yang tahu maruah dan harga diri mesti melepaskan jawatan untuk membenarkan satu pilihan raya baru diadakan untuk pengundi membuat pilihan semula.

Sedih jika demokrasi berparlimen yang diamalkan negara ini membiarkan perbuatan ahli Parlimen atau ADUN melompat parti atas pengaruh sogokan wang tanpa tindakan hukuman. Badan Pencegah Rasuah perlu membuka fail untuk memantau gerakan ini.

Integriti kerajaan terletak di atas bahu wakil-wakil rakyat yang amanah dan tidak rasuah. Apakah makna pentadbir dan pemimpin kerajaan jika mereka adalah golongan yang mudah dijual beli.