Tepat bagai dijangka, Mesyuarat Biro Politik PKR semalam yang dicanangkan seluruh negara akan mengambil tindakan tegas terhadap Zulkifli Noordin hanya sekadar perjumpaan untuk minum teh sahaja.
Kita dari awal lagi sudah menduga, biarpun pelbagai bayangan diberi oleh pimpinan kanan PKR termasuk Anwar Ibrahim sendiri kononnya Zulkifli akan berdepan tindakan tegas parti itu, namun keputusan yang dibuat adalah untuk hanya menghadapkan Zulkifli ke Jawatankuasa Disiplin PKR.
Bukankah dalam mana-mana parti, Biro Politik adalah jawatankuasa tertinggi? Bukankah mereka berkuasa membuat apa jua keputusan melibatkan parti tetapi Biro Politik PKR dalam hal ini mengambil sikap berlepas tangan dengan merujukkan Zulkifli kepada jawatankuasa Disiplin parti?
Inilah sandiwara terbaru ciptaan Anwar Ibrahim. Ia tidak lebih daripada sekadar untuk menawarkan alasan bagi mengelak ditohmah takut berhadapan dengan Zulkifli.
Khabarnya majoriti ahli biro politik PKR mahukan Zulkifli dipecat serta merta kerana dianggap menjadi duri dalam daging kepada pakatan pembangkang.
Tetapi apakah Anwar berani berbuat demikian?
Kenapa Anwar tidak berani berhadapan dengan Zulkifli?
Sebabnya bagi Anwar Ibrahim, Zulkifli Noordin bukan kawan biasa. Zulkifli juga bukan ahli parlimen PKR biasa seperti mana beberapa kerat ahli parlimen Melayu PKR lain yang masih ada. Zulkifli Noordin lain daripada yang lain. Zulkifli adalah satu-satunya orang yang diharapkan Anwar sebagai membawa imej Islam dalam PKR.
Anwar banyak terhutang budi kepada Zulkifli kerana Zulkifli adalah salah seorang daripada deretan panel peguam belanya dalam kes liwat 10 tahun lepas. Pastinya sebagai peguam bela, Zulkifli tahu banyak perkara yang orang lain tidak tahu pasal kes itu.
Memusuhi Zulkifli adalah tindakan yang paling tidak rasional kepada masa depan karier politiknya. Memusuhi Zulkifli umpama membuang perisai paling kukuh dan mendedahkan diri kepada risiko yang amat besar.
Dan Anwar tidak mampu lagi menanggung risiko!