Dalam seminggu ini isu Bai'ah Takliq Talak 3 Pas menjadi topik utama didebatkan oleh bukan sahaja pemain-pemain politik malah mereka yang tidak terlibat dengan politik juga cukup berminat mengulas isu ini. Cekati Tembaga telah membuat ulasan isu ini pada minggu lepas setelah ia didedahkan oleh blogger Mahaguru58. Bagi tuan-tuan yang belum membacanya sila ke sini.
Apabila isu ini semakin tersebar di media perdana, malah disahkan sendiri oleh YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, isu ini seakan tiada penghujungnya. Ia menarik minat ramai sehingga diulas oleh pemimpin negara, tokoh-tokoh agama, aktivis sosial, pelajar dan semua golongan.
Cubaan Presiden Pas, Haji Hadi Awang dan Nik Aziz menafikan tahu menahu hal bai'ah ini dengan tujuan untuk menutup isu ini dipandang sepi sahaja. Malah semakin dinafi oleh Nik Aziz, semakin ramai memberikan komentar dan ulasan mengkritik dasar bai'ah ini.
Adalah mustahil Hadi Awang dan Nik Aziz tidak ketahui kewujudan bai'ah ini kerana sebagai Pesuruhjaya negeri, kedua-duanya secara logiknya terlibat secara langsung dalam majlis bai'ah ini. Bukankah pendedahan yang dibuat mengatakan bai'ah ini diikrarkan secara beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri?
Hadi Awang dan Nik Aziz usah bersikap munafik dalam hal yang semua orang sudah tahu. Mengapa harus dinafikan perkara yang sudah berlaku kerana ia tidak dapat mengubah apa-apa. kalau tindakan mereka berdua ini adalah untuk menunjukkan ia hanya tuduhan liar, ia hanya sia-sia kerana ia diakui sendiri oleh pimpinan Pas seperti Khalid samad.
Dalam hal ini kita tabik pada Khalid Samad (gambar) kerana berani berterus terang mengakui beliau juga bertaklik perkara yang sama. Walaupun kemudiannya melahirkan rasa kesal kerana mendedahkan perkara ini Khalid wajar dipuji kerana keberaniannya itu. Pastinya ramai pimpinan atasan Pas yang tidak puas hati atau marahkan Khalid tetapi percayalah tindakan Khalid mendedahkan isu bai'ah demi kebaikan umat Islam dalam Pas terutama kaum muslimatnya.
Terkadang kita terfikir mengapa sejak akhir-akhir ini, Nik Aziz sendiri sentiasa berdepan dengan pelbagai gelora dalam pemerintahannya. Sejurus menimbulkan hasrat mahukan EGM Pas diadakan ekoran mahu bersihkan Pas dari dua tiga kerat pemimpin yang didakwanya bermasalah, Nik Aziz juga dikejutkan dengan serbuan SPRM ke Pejabat Menantunya ekoran dakwaan penyelewengan dan salahguna kuasa.
Tidak cukup dengan itu, ketenangan yang diharapkan Nik Aziz sebelum mengerjakan haji minggu depan pun tidak menjadi kenyataan apabila debaran degup jantungnya disentap dengan dakwaan yang timbul betapa perbelanjaan Nik Aziz mengerjakan haji ditaja oleh individu tertentu yang dirahsiakan. Apabila dibuktikan dakwaan ini, mahu tak mahu Nik Aziz terpaksa mengakui dirinya memang ditaja tetapi menegaskan ianya tidak salah dan tidak mempunyai unsur rasuah.
Kita bersangka baik dalam hal ini dan percaya memang Nik Aziz tidak teringin pun ke Mekah dengan duit tajaan jika ada unsur rasuah. Tapi sejauh mana dapat meyakinkan rakyat kerana Nik Aziz bukan orang biasa, tapi sebagai Menteri Besar Kelantan. Masakan orang naik habiskan duit berpuluh ribu tanpa harapkan balasan apa-apa!
Hari ini timbul lagi isu baru, pemecatan blogger terkenal Kickdefella dari jawatannya sebagai Pegawai Perhubungan Korporat, Perbadanan Menteri Besar yang diterajui oleh menantu Nik Aziz. Malah khabarnya surat pemecatan itu ditandatangani sendiri oleh menantu kesayangan Nik Aziz itu. Dan blogger terkenal itu khabarnya akan mendedahkan perkara yang kita tidak jangka yang lama bergelora di pejabat menantu Nik Aziz itu. Macam-macam benda yang akan timbul nampaknya.
Perkara ini akan kita ulas sedikit hari lagi tetapi kita tertanya-tanya dalam usia menjelang 80 tahun, setelah hampir 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan, mengapa satu demi satu isu yang berkait langsung dengan Nik Aziz dan keluarganya timbul?
Sekali fikir mahu juga dinyatakan di sini agar biarlah Nik Aziz habiskan sisa-sia usia pemerintahannya dengan tenang. Usah diganggu beliau meniti hari-hari terakhir menjelang persaraannya.
Tetapi ini soal prinsip. Prinsip yang dipegang tidak harus digadaikan dengan tolak ansur atas dasar perikemanusiaan.
Soalnya kenapa masalah yang dihadapi Nik Aziz semakin bertimpa-timpa sehingga langsung tidak memberinya peluang untuk menghela nafas lega?
Apakah ini kifarat Allah atas sebagai balasan doa laknatnya terhadap UMNO? Allah sahaja yang tahu.
Walau bagaimanapun percayalah Tok Guru.. pintu taubat masih terbuka. Moga di depan Kaabah nanti akan dibukakan Allah tabir yang menutupi kebenaran yang terselindung.
Kita sentiasa doakan Tok Guru akan kembali ke jalan yang benar.
.