Keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan Putrajaya, semalam (Jumaat) mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu, yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, menunjukkan dengan jelas bahawa tindakan Sultan Perak melantik Datuk Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang baru adalah berasaskan undang-undang.
"Tindakan Sultan Perak memanggil 31 orang ADUN sebelum membuat keputusan sama ada untuk membubarkan dewan atau tidak, adalah tindakan yang betul. Maka apa sahaja kata-kata yang mendakwa perlantikan Zambry sebagai tidak sah sudah menjadi akademik dalam situasi ini.
"Dengan keputusan ini krisis di Perak boleh dianggap sudah berakhir. BN menganggap kejayaan ini sebagai satu mercu tanda kerana kini kedudukan di Malaysia sama dengan negara-negara Komonwel yang lain di mana hak untuk melantik Perdana Menteri atau Menteri Besar adalah hak Raja atau Ratu," kata peguam UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Sehubungan itu beliau berharap suasana politik negeri Perak akan kembali tenang dan berjalan seperti biasa.
“Sekarang kita mempunyai seorang Menteri Besar yang sah, sejak 6 Februari lalu. Keputusan Mahkamah Rayuan adalah keputusan yang tidak boleh dipertikaikan. Jika Datuk Nizar mahu membuat rayuan, kami sudah pasti akan lawan," tambah Hafarizam yang dikerumi wartawan sebaik beliau keluar ke mahkamah.
Sementara menunggu keputusan, keadaan di luar mahkamah sesak dengan wartawan dan penyokong kedua-dua pihak. Berpuluh-puluh wartawan sudah berada di mahkamah sejak 1.30 petang dan terpaksa beratur untuk mendapatkan pas masuk. Bagaimanapun hanya 15 orang wartawan dibenarkan masuk dan selebihnya terpaksa menunggu di lobi bersama kira-kira 200 penyokong Zambry dan Nizar.
.