agendadaily.com
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau tidak takut ditahan di bawah ISA sekali lagi demi memperjuangkan bangsa, agama dan negara.
"Walaupun dah masuk ISA dua kali, saya tak takut masuk kali ketiga atau keempat. Tetapi sungguhpun begitu, saya tak pernah menuntut ISA dihapuskan," katanya ketika berucap di Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Perkasa Negara, di Kuala Lumpur Ahad.
"Saya bukan macam sesetengah orang, apabila kena ISA, dia salahkan orang lain. Sikit-sikit kata konspirasi. Kami sedar siapa sebenarnya dalang yang merosakkan bangsa, agama dan negara," katanya.
Dalam ucapannya, Ibrahim turut mendesak kerajaan supaya berhenti bersikap apologetik dalam membela nasib pribumi dan Melayu dan meminta kaum lain di negara ini supaya tidak lagi mempersoalkan isu kesamarataan kerana keadilan yang sebenar-benarnya masih belum memihak kepada pribumi.
"Semua pihak mesti sedar dan insaf bahawa kewujudan keistimewaan pribumi Malaysia masih jauh ketinggalan, terutama di segi pencapaian ekonomi. Tahap pendidikan dan kesejahteraaan Pribumi juga masih mundur dan kurang selesa dibandingkan dengan bukan Pribumi.
"Setelah merdeka selama 52 tahun, adalah ironik apabila soal pribumi, khususnya soal Islam dan orang Melayu masih dijadikan kontroversi oleh segolongan rakyat Malaysia sehingga kitasemua berasa tercabar dan hilang sabar. Tetapi kita tetap memilih langkah perjuangan yang bermaruah, berhemah dan berdisiplin. Setakat ini kita tidak memilih untuk bertindak berjuang di luar skop adat budaya, susila dan undang-undang.
"Semua pihak mesti menerima, menghormati dan jangan mempertikaikan hak pribumi dan Orang Melayu lagi kerana golongan yang enggan menerima hakikat ini hanya akan menggugat keharmonian, kesejahteraaan, keamanan dan keselamatan rakyat Malaysia. Status pribumi termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan kaum lain tidak seharusnya melupakan atau menafikan hakikat sejarah.," katanya.
"Kaum pribumi, khususnya orang Melayu boleh bertolak ansur, baik hati dan tidak buruk sangka, tetapi apabila maruahnya diinjak-injak, keitismewaannya dipertikai, Rajanya dihina dan agama Islam dipermainkan, mereka tidak akan bersabar lagi.
"Perkasa tidak mahu bergalas dengan NGO bukan Melayu yang lain. Kami juga tidak akan menyokong NGO yang menggelar dirinya Pribumi Malaysia kononnya yang mendukung aliran perjuangan Malaysian-Malaysia.
"Perkasa diwujudkan untuk memperkasakan hak dan kedudukan pribumi menerusi jalan yang tidak berkonfrontasi. Kami tidak mahu menentang NGO bukan Melayu yang lain, tetapi kalau NGO itu sopan, kita lagi sopan. Kalau mereka kritik, kita lagi kritis dan kalau mereka kurang ajar, kita sedikit kurang ajar," tegasnya.
.