Isu Ahli Dewan Undangan Negeri PKR kawasan Bukit Lanjan Selangor Elizabeth Wong tidak terhenti setakat penyebaran gambar bogelnya yang didakwa diambil secara curi. Tidak ada siapa pun yang waras fikiran merestui perbuatan rakam curi yang ikut istilah Wong ‘menceroboh privasinya’.
Apa yang Agendadaily dengar menjadi soksek di kalangan ahli-ahli PKR sendiri ialah pimpinan parti itu khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tengah cukup berserabut memikirkan bagaimana nak tangani isu Wong tanpa melondeh pekong yang bakal nak ‘meletup’.
Buat sementara mereka boleh halakan senapang ke arah sandiwara tuduhan biasa ia tindak tanduk jahat Barisan Nasional nak jatuhkan wakil rakyat Barisan Pembangkang. Namun tidak berapa lama lagi orangramai akan mula sedar apa isu sebenarnya di sini. Ia bukan sekadar gambar tetapi lebih melibatkan soal moral seorang pemimpin dan wakil rakyat PKR. Wong bukan beragama Islam maka tidak hairanlah seperti yang dikatanya dengan tegas dalam sidang akhbarnya di ibupejabat PKR pagi Selasa beliau tidak merasa ada buat apa-apa yang salah dan tidak malu dengan seksualitinya sebagai wanita bujang.
Sebab itu soal adanya lelaki dalam rumahnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya yang didakwa ambil gambarnya itu bukan jadi isu baginya. Yang jadi isu baginya ialah gambar yang dirakam curi itu saja yang jejaskan reputasinya sebagai wakil rakyat. Apa yang pasti Wong yang berstatus wanita bujang berusia 37 tahun itu kenal baik atau intim sekali dengan lelaki yang berada dalam rumahnya itu.
Jika tidak mana mungkin lelaki itu boleh berada di dalam rumahnya apa lagi ketika dia sedang tidor di atas sofa. Namun apa yang cuba ditutup dan jadi perkara yang amat dibimbangi oleh para pemimpin PKR sekarang takut-takut ia ‘meletup” dan menjejaskan imej parti ialah teman lelaki Wong dikatakan seorang Pemuda Melayu Islam. Lebih membingung mereka lagi ialah teman lelaki itu dikatakan ahli PKR sendiri dan berkhidmat sebagai pembantu kepada seorang ahli parlimen PKR di Selangor.
Kalau betul bagai dikata ini sudah jadi kes bersekedudukan antara seorang wanita bukan Islam dengan lelaki Islam sama-sama ahli PKR. Jadi bagaimana mereka nak rasionalkan hal ini di kaca mata orangramai dan para penyokong khususnya yang beragama Islam.
Cuba bayangkan bagaimana rakan parti itu dalam Barisan Pembangkang khususnya PAS nak turut sama mempertahankan Wong apabila kelak tahu ia melibatkan kes bersekedudukan dengan seorang lelaki Islam ahli PKR. Ketika mereka cuba mendakwa BN tidak bermoral cuba menjatuhkan wakil rakyat mereka rupa-rupanya insan yang mereka cuba lindungi itu sendiri tidak bermoral dari kaca mata orang Islam. Sungguh anih sidang akhbar Wong tidak ada sesi soal jawab.
Kenapa beliau takut nak bersoal jawab dengan para wartawan. Beliau juga mengelak untuk bercakap lebih mengenai identiti teman lelakinya. Apakah ini kerana takut para wartawan korek perihal teman lelakinya itu seorang pemuda Melayu beragama Islam. Anwar sendiri mengelak ketika ditanya wartawan dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen petang Selasa adakah kemungkinan gambar Wong yang berbogel itu dirakam oleh ahli PKR dan mereka yang rapat dengan wanita itu, Bayangkan ini jawapan Anwar, "Saya tak tahu, saya tak mahu campur, sesiapa yang ambil kerja ni kerja jahat, siapa yang edar kerja ni kerja yang aibkan orang..jadi saya tak tahu,”. Mana mungkin Anwar tidak tahu siapa teman lelaki Wong kerana Penasihat PKR itu sendiri kata beliau dan isterinya Datin Seri Wan Azizah Ismail sudah menemui ADUN Bukit Lanjan itu untuk mendengar penjelasannya.
Untuk mengelak lagi beliau sekadar menjawab,"Kita dengar penjelasan beliau dan berasa simpati terhadap apa yang beliau tanggung berhubung usaha untuk menyerang peribadinya yang sangat jahat.” Soal yang semua orang nak tahu siapa sang penjahat yang ambil gambar curi Wong .Itu Anwar belum cakap secara pasti kecuali main sandiwaranya menuduh BN. Satu sumber yang rapat dengan pimpinan PKR memberitahu Agendadaily sebenarnya ada kalangan pimpinan PKR sudah lama tahu teman lelaki Wong itu ada simpan sesuatu “pasal Wong” dan telah cuba memujuknya agar tidak bertindak menyebarnya.
Sumber itu mengakui insiden penyebaran gambar itu lebih berpunca dari pertelingkahan peribadi antara seorang lelaki dan seorang wanita yang ' ada hal'. Ditanya mengapa BN pula yang dituduh sedangkan pekong itu sukar nak ditutup,sumber itu hanya tersenyum sambil selamba berkata, “ biasalah tu.”
.