Oleh : Ibrahim Yahaya
Wakil rakyat bertukar parti bukan satu perkara yang luarbiasa. Ada wakil rakyat yang berpindah parti ketika masih menjadi Adun atau Ahli Parlimen. Ada juga yang menyertai parti lain selepas tamat menjadi wakil rakyat. Ada juga yang tidak pernah menjadi wakil rakyat tetapi bertukar parti selepas berbelas tahun berjuang dalam parti sejak zaman muda lagi. Mereka mempunyai alasan tersendiri.
Apabila ahli atau pemimpin parti pembangkang menyertai Barisan Nasional (BN), persepsi ramai ialah individu itu mungkin akan diberikan ganjaran tertentu sama ada dalam bentuk jawatan atau pengiktirafan. Ada yang diberikan serta-merta dan ada juga dalam tempoh tertentu. Nasib badan masing-masing.
Bagi yang menyertai BN menjelang Plihanraya Umum, sudah pasti persepsi masyarakat ialah individu itu akan dipilih sebagai calon BN terutama di kawasan asalnya. Keadaan ini adakalanya menimbullkan rasa kurang senang terutama bagi mereka yang sudah menanam cita-cita untuk menjadi wakil rakyat menyebabkan BN tidak mendapat sokongan sepenuhnya kerana ada pihak yang merajuk atau membawa diri. Yang lebih menyedihkan berlakunya perbuatan sabotaj daripada mereka yang diketepikan.
Ada juga individu yang menyertai BN khasnya UMNO kerana tertarik dengan pendekatan pemimpin tertinggi seperti dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan kagum dengan kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Namun ada juga yang menyatakan Dr Mahathir yang berusaha memujuk DSAI menyertai UMNO agar pemimpin ABIM itu tidak menyertai PAS. Selebihnya adalah sejarah.
Tahun lalu, orang kanan DSAI, Ezam Mohamad Nor, yang pernah menjadi ahli UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai semula UMNO kerana yakin dengan kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ezam amat menyanjungi usaha Paklah menghapuskan rasuah dan penyelewengan.
Ezam turut berkempen di Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu yang tentu ingin mendedahkan segala penyelewengan DSAI selama ini. Malangnya, ramai yang merasakan usaha beliau itu bukan saja tidak memberi kesan tetapi juga menyebabkan banyak kerja “memperbetulkannya” selepas itu.
Kebelakangan ini, beberapa pemimpin UMNO menyertai pembangkang termasuk Kapten (B) Zahar Hashim yang menyertai PAS. Ada yang menyatakan tindakan itu ada kaitan dengan permohonan projeknya ditolak atau tidak mendapat tempat lagi di kalangan pemimpin tertinggi parti.
Ahad lalu, ADUN Bota, Perak Datuk Nasarudin Hashim menyertai PKR kerana yakin parti itu boleh menjadi parti alternatif untuk orang Melayu di samping tidak senang dengan pergolakan yang berlaku dalam UMNO terutama kemelut kepemimpinan dan politik wang.Dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR, DSAI, Adun Bota itu berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan DUN Bota. Apa pula kata mengundi? Perlukah Nasaruddin meletakkan jawatan?
Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Kapten (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Beliau memperoleh 6,556 undi. Nasaruddin adalah wakil rakyat BN pertama menyertai parti pembangkang selepas pilihan raya umum ke-12. Dengan penyertaan itu, pakatan pembangkang kini mengukuhkan lagi penguasaan mereka di Perak dengan 32 kerusi DUN berbanding 27 daripada BN.
Penyertaaan Nasaruddin dalam PKR tidaklah satu perkara mengejutkan kerana memandangkan apa yang berlaku kepadanya kebelakangan ini. Beliau yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen Parit diminta bertanding di DUN Bota pada PRU ke 12 yang lalu. Selain itu, jawatan beliau sebagai Pengerusi Felcra tidak disambung dan kekalahannya dalam pertandingan Ketua Bahagian Parit tahun lalu pasti meruntun jiwa. Hati mana yang tidak panas jika tidak terpilih menjadi Ketua Bahagian kerana faktor tertentu.
Persepsi ramai sudah tentu menyatakan tindakan Nasaruddin itu sebagai orang yang kecewa atau tidak mempunyai harapan lagi dalam parti. Itu mungkin pandangan orang jika dilihat daripada peristiwa yang berlaku dalam kerjaya politik Nasharuddin. Bagaimanapun, faktor sebenar hanya beliau saja yang tahu.
Bagaimanapun, ada pula yang menyatakan kemasukan Nasaruddin dalam PKR sebagai persediaan pembangkang untuk menukar Menteri Besar Perak sekarang. Alasan yang dinyatakan mereka ialah Datuk Seri Nizar Jamaluddin tidak mampu menghadapi tekanan daripada pemimpin DAP terutama Pengerusi DAP Negeri yang dikatakan berlagak sebagai “diktator” yang membuat pelbagai arahan kepada Nizar.
Arahan terbaru DAP agar diberikan tempoh 999 tahun kepada pemilik tanah di Kampung Baru menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin Melayu pembangkang yang melihat ini adalah tindakan menghakis “Ketuanan Melayu” dari segi pegangan tanah di negara ini.
Oleh itu, pemimpin pembangkang Melayu Perak mengkehendaki seorang MB yang lebih tegas dan tidak bertindak seperti lembu dicucuk hidung yang mengikut sesiapa saja yang menariknya. Pemimpin baru itu mesti berani menghadapi DAP terutamanya isu yang membabitkan kepentingan bangsa Melayu.
Pemimpin baru itu mesti mengetahui apa yang dilakukan oleh DAP selama ini termasuk “menyerbu masuk” SEDC dan Perbadanan Pertanian Perak untuk melihat apa yang boleh mendatangkan keuntungan kepada penghuni kampung baru di samping untuk mendapatkan undi bukan Melayu.
Ini penting untuk dijadikan hujah ketika berbincang dengan pemimpin DAP agar segala tindakan pembangkang di Perak bukan saja menyakitkan hati bangsa Melayu tetapi juga Sultan Perak yang amat mengambil berat dengan perkembangan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.
Berbalik kepada tindakan Nasaruddin, ramai pemimpin Perak termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali menyifatkan tindakan Adun Bota itu sebagai amat mengecewakan dan tindakan seorang pembelot kepada parti serta bangsa Melayu. Tindakan yang amat jelik dan menjengkelkan.
Mereka juga berharap Nasaruddin akan pulang ke pangkal jalan bagi membantu UMNO menghadapi pembangkang dalam PRU ke 13. Penyertaannya dalam PKR bukanlah satu perkara besar tetapi menjejaskan imej UMNO Perak dan pasti mengecewakan Paklah dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagi DS Najib, adalah tidak wajar wakil rakyat BN meninggalkan parti semata-mata kerana masalah peribadi atau perasaan tidak puas hati. Tidak puas hati dengan siapa?
Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah juga tidak wajar bagi wakil rakyat BN mengetepikan parti ketika sokongan dan kesetiaan mereka kepada parti amat diperlukan. Tidak pernahkah Adun Bota terfikir apa yang telah diberikan oleh parti kepadanya?
''Semua wakil rakyat yang berniat meninggalkan parti mesti faham bahawa UMNO dan BN telah terlalu banyak menabur jasa kepada rakyat dan negara pada keseluruhannya,'' katanya selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Gerakan di Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Najib ditanya tindakan Nasaruddin menyertai PKR.
Ditanya sama ada beliau akan bertemu Nasaruddin berhubung tindakan tersebut, Najib berkata, beliau tidak berbuat demikian sebaliknya akan berjumpa DS Tajol Rosli sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak untuk mengetahui cerita sebenar.
"Saya agak terkejut dengan perkara ini. Walaupun dua hari lalu kita ada dengar ura-ura beliau akan melompat parti, tetapi ia masih lagi memberikan kejutan kepada kita," katanya. Ditanya adakah BN akan mengambil tindakan memujuk Nasaruddin supaya membatalkan hasratnya, Najib berkata: "Saya berharap ini boleh dilakukan.
''Tetapi nampaknya dia (Nasaruddin) bersungguh-sungguh dan sangat serius dengan tindakannya, jadi kita akan tengok apakah yang boleh dilakukan".
Sementara itu bercakap kepada pemberita di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA di Kuala Lumpur, Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO menafikan ada ramai lagi ADUN yang akan meninggalkan BN.
Beliau berkata, cakap-cakap berhubung kemungkinan lebih ramai ADUN BN menyertai pembangkang hanyalah khabar angin dan tidak boleh dipercayai.
"Semua itu khabar angin sahaja, saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah)," katanya.
Kesimpulannya penyertaan Nasaruddin dalam PKR seharusnya dijadikan satu perkara yang diberikan perhatian berat oleh UMNO bagi memastikan ia tidak menjejaskan imej parti berkenaan.
Walau apapun alasan yang ingin diberikan oleh pemimpin UMNO Perak termasuk menuduh Nasaruddin sebagai seorang yang kecewa tetapi hakikatnya bagaimana seorang pemimpin UMNO yang telah menghayati dasar perjuangan parti itu beralih arah. Apa sudah jadi?
Tindakan Nasaruddin itu sudah pasti memberikan “peluru” kepada parti pembangkang terutama PKR untuk memperbaharui propaganda mereka bahawa lebih ramai wakil rakyat BN akan menyertai pembangkang dan seterusnya membolehkan mereka menubuhkan kerajaan.
Walaupun beliau hanya seorang Ahli DUN tetapi ia satu tindakan “lompat” yang dicanang oleh DSAI selama ini tambahan pula kemenangan PAS yang juga sekutu rapat PKR di Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu P036 yang menyaksikan Mohd Abdul Wahid Endut menewaskan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Jika selama ini, dakwaan DSAI untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008 adalah satu lawak jenaka terbesar tetapi perkembangan terbaru ini pasti memberikan semangat kepada parti pembangkang untuk mewar-warkan bahawa mereka kini sudah bersedia. Apakah kenyataan “apa dah jadi?” akan menjadi “tidak lama lagi akan jadi” yang secara langsung memberi kekuatan baru kepada pembangkang walaupun ia satu pembohongan atau angan-angan mat jenin.