- satu daripada 11 peti undi di DUN Wakaf Mempelam, kawasan kubu kuat Pas yang diwakili Mohd Abdul Wahid sejak lima penggal lalu;
- empat daripada sembilan peti undi di DUN Batu Buruk;
- tiga daripada 11 peti undi di DUN Ladang; dan
- tiga daripada tujuh peti undi di DUN Bandar. Kecuali di peti undi Kampung Tiong dalam DUN Bandar dan peti undi Losong Datuk Amar di DUN Wakaf Mempelam, jumlah undi yang diperoleh BN semuanya merosot.
- Begitu pun, BN menang undi pos dengan memperoleh 1,039 dan Pas cuma dapat 86 undi. Jumlah undi pos ialah 1,302.
Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk menjadikan calon sebagai faktor tunggal kekalahan BN di Kuala Terengganu, walaupun tindakan pembangkang menyebarkan pelbagai fitnah terhadap peribadi Wan Ahmad Farid, termasuk pada saat akhir menjelang hari mengundi, sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi.
Kekalahan BN kelmarin juga, kali kedua selepas Parlimen Permatang Pauh sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, bukan juga petanda rakyat menolak BN. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, walaupun keputusan itu satu tamparan kepada BN, ia hanyalah pilihan raya kecil yang keputusannya banyak dipengaruhi faktor tempatan.
"Ini pilihan raya kecil... banyak faktor yang boleh tentukan keputusan dan faktor tempatan tidak boleh dibaca sebagai pertimbangan politik peringkat nasional. Kita akan terus berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan tawar hati dengan keputusan ini. Kita akan meneruskan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik lagi serta membangun dan memajukan negara sehingga mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi, insya-Allah," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar sejurus selepas keputusan rasmi diumumkan malam kelmarin.
Berdasarkan kenyataan Najib itu, kajian terperinci BN dan Umno terhadap kekalahan ini tidak lama lagi perlu dibuat secara jujur untuk mencari punca sebenar, walaupun pahit bagi memastikan ia tidak berulang pada pilihan raya kecil selepas ini. Memang majoriti agak besar yang diperoleh pembangkang agak mengejutkan, termasuk di kalangan Pas dan Pakatan Rakyat, apa lagi kerana mereka juga mempunyai masalah dalaman, terutama berhubung pemilihan calon kali ini.
Malah, pada peringkat Pakatan Rakyat pun percanggahan berlaku dalam tempoh beberapa hari selepas penamaan calon sehingga kelompok tertentu dalam pimpinan Pas negeri dikatakan tidak mahu pemimpin luar bukan daripada parti itu datang berkempen. Apabila ceramah Pas oleh pemimpin tempatan dilihat kurang sambutan, barulah mereka bersetuju dengan kehadiran pemimpin Pusat.
Pada pihak BN pula, kehadiran hampir semua pemimpin kanan parti dan perhubungan Umno/BN negeri lain berkampung di Kuala Terengganu lebih kepada berganding bahu dengan pemimpin tempatan menjaga kawasan peti undi, daripada menonjolkan diri masing-masing seperti berlaku pada pilihan raya kecil sebelum ini. Walaupun ada yang mengambil kesempatan berkempen untuk pemilihan Umno, ia dilakukan secara senyap oleh -ejen mereka di lobi hotel penginapan selepas ceramah.
Justeru, kehadiran orang luar tidak boleh dijadikan faktor kekalahan, apa lagi pemimpin dan penyokong pembangkang, termasuk daripada DAP sendiri turut berkampung di Kuala Terengganu sejak dua minggu lalu. Barangkali bezanya ialah jentera pilihan raya Pas pada peringkat cawangan lebih kemas dan ikhlas berbanding jentera Umno, yang hingga pada saat akhir dilaporkan masih mempunyai masalah sehingga memaksa pemimpin peringkat negeri turun menyelesaikannya.
Salah satu punca masalah ini ialah rasa tidak puas hati pengundi, termasuk ahli Umno sendiri terhadap kebanyakan ketua cawangan yang juga pengerusi jawatankuasa kemajuan kampung, terutama yang terlalu lama memegang jawatan itu. Disebabkan mereka ini tidak dapat dikalahkan sewaktu pemilihan parti pada peringkat cawangan, ahli parti melahirkan protes melalui peti ini.
"Faktor ada ahli Umno sendiri dan pengundi atas pagar membalas dendam terhadap pemimpin akar umbi yang dilihat tidak menjaga kepentingan mereka atau tidak mesra rakyat tidak harus dipandang ringan. Jika tidak kenapa banyak peti undi yang BN kuasai dulu jatuh ke tangan pembangkang dan peratus keluar mengundi agak rendah," kata seorang petugas Umno negeri ketika ditanya pandangannya mengenai keputusan itu.
Jika benar pandangan itu, yang turut disuarakan oleh beberapa pemimpin Umno luar yang bertandang di kampung-kampung di kawasan Parlimen Kuala Terengganu sejak dua minggu lalu, BN dan Umno perlu memberi perhatian kerana ia juga mungkin berlaku di tempat lain, terutama kawasan luar bandar yang penduduknya amat bergantung kepada pemimpin akar umbi dalam menyelesaikan masalah dan menjaga kepentingan mereka.
Pilihan Raya Umum Ke-13 akan tiba kira-kira empat tahun lagi dan jika masalah tempatan seperti ini berlaku di banyak kawasan, tidak mustahil ia boleh mencorakkan landskap politik nasional.