Tan Sri Rafidah Aziz hari ini kecewa kerana pelan peralihan kuasa Wanita Umno diketepikan selepas tiga bulan ia diumumkan, dan naibnya sendiri sanggup mencabarnya walaupun berjanji enggan berbuat demikian.
Tambahnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang bersetia ingin mendukung pelan itu sendiri sanggup mengubah pendirian apabila mendapat cukup pencalonan untuk jawatan teratas pergerakan itu.
"Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan, maka pasti exco (Wanita) akan membatalkan sahaja pelan itu.
"Dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan ketua dan naib ketua," katanya.
"Tetapi 'bantahan' ditimbulkan selepas mereka telah mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, maka baru membantah, dengan berbagai alasan yang sebenarnya tidak berasas."
Dalam kenyataan bertulisan tangan setebal 10 halaman, ketua Wanita Umno turut mengumumkan untuk mempertahankan jawatan pada pemilihan parti Mac depan bagi penggal penuh 2009-2011 sebagai menyahut cabaran Shahrizat yang tidak lagi menghormati pelan peralihan kuasa yang diputuskan Ogos lepas.
"Sekarang kerana pelan peralihan telah diengkari dan jawatan ketua akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan jawatan yang saya sandang sekarang ini," katanya.
"Saya dengan ini akan mempertahankan jawatan ketua yang saya sandang sekarang, dan insya Allah, akan bertanding untuk jawatan tersebut untuk tempoh 2009-2011."
Rafidah telah menerajui Wanita Umno sejak 1984, melainkan untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman. Beliau yang memenangi semula jawatan itu daripada Siti Zaharah pada pemilihan 2000, buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lalu.
.