SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

16 September 2008

Isu ISA : Syed Hamid jawab Zaid

dipetik dari utusan online
.
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Penahanan tiga orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kelmarin adalah keputusan kerajaan dan ia tidak sepatutnya dipersoalkan oleh mana-mana menteri termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberi peringatan itu sebagai reaksinya kepada kenyataan Zaid di Kota Bharu hari ini bahawa kerajaan tidak sewajarnya menggunakan ISA untuk menahan mereka sebaliknya perlu diadili mengikut sistem perundangan negara.

Menurut beliau, tindakannya meluluskan penahanan di bawah ISA itu adalah bagi pihak kerajaan yang memerintah, selaras dengan kedudukannya sebagai menteri Kabinet, bukannya ‘orang di luar kerajaan’.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa Malaysia akan berdepan krisis pemerintahan jika setiap menteri yang ada pandangan tersendiri mula mempersoal dan membahaskan tugas menteri yang lain secara terbuka melalui media.

“Zaid ada dalam Kabinet, jika dia ada pendapat yang tersendiri, dia seharusnya membawa kepada Perdana Menteri. Jika setiap ahli Kabinet yang ada pendirian sendiri berbahas secara terbuka dalam media, kita akan berdepan dengan krisis pemerintahan.

“Kalau seorang ahli Kabinet melaksanakan tugasnya, yang lagi satu mengkritiknya secara terbuka, saya tak tahu ke mana kita dan saya tak tahu apa akan terjadi,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kenyataannya kepada pemberita hari ini, Zaid yang tidak bersetuju dengan penggunaan ISA dalam penahanan terbaru itu memberitahu, pelbagai undang-undang terdapat di negara ini yang boleh digunakan bagi mengadili atau menghukum individu yang dikatakan menimbulkan ketegangan kaum.

Zaid juga sama sekali tidak menerima alasan Syed Hamid untuk menahan ketiga-tiga individu terbabit iaitu dilakukan selepas polis mendapat cukup bukti bertujuan mengelakkan ketegangan kaum dan mengancam keselamatan negara.

Kelmarin, tiga orang ditahan di bawah ISA dalam satu operasi polis ke atas individu yang terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Mereka ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 73 (1) akta berkenaan. Bagaimanapun Hoon Cheng dibebaskan di Pulau Pinang pada pukul 3.30 petang semalam.

Syed Hamid mengakui bahawa di kalangan anggota Kabinet perlu ada tanggungjawab bersama tetapi katanya, sebagai anggota Kabinet, Zaid tidak sepatutnya mengkritik dirinya secara terbuka.

“Saya faham berkenaan apa makna tanggungjawab bersama. Saya percaya yang terpenting adalah disiplin untuk memelihara keutuhan Kabinet.

“Mesti ada semangat setiakawan dan berpasukan dalam kerajaan, saya bertindak sebagai kerajaan, lain pula kalau saya di luar,” jelasnya.

.